SESEORANG yang memiliki mental dan minda yang sihat pasti mudah selesa dengan diri sendiri, orang lain dan persekitaran.
Malah, mental yang sihat juga memberi gambaran yang baik dan membolehkan seseorang menghadapi cabaran emosi dengan lebih berkesan.
Sebenarnya, bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak juga perlu mempraktikkan kesihatan minda yang baik. Ia boleh diperoleh dengan melakukan aktiviti riadah khusus untuk kesihatan mental.
Pakar Pediatrik dan Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan berkata, riadah mental bermaksud aktiviti yang memerlukan si kecil duduk setempat dan berfikir sejenak.
[caption id="attachment_9489" width="1024"] DR YUSOFF.[/caption]
"Sememangnya aktiviti riadah mental sangat baik untuk kanak-kanak kerana ia membantu merangsang pertumbuhan fizikal dan mental mereka,” jelas Dr Yusoff.
Namun begitu, beliau mengingatkan ibu bapa agar memastikan aktiviti riadah mental berkenaan dapat dilakukan dengan penglibatan ahli keluarga yang lain, barulah menyeronokkan!
Barangkali tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sekarang boleh dimanfaatkan. Berikut cadangan beberapa aktiviti riadah mental yang disarankan untuk dilakukan anak-anak di rumah:
1. Aktiviti seni dan projek DIY
Antara projek riadah mental yang mudah dilakukan di rumah adalah aktiviti seni melibatkan kemahiran seperti melukis dan mewarna.
"Ibu bapa boleh memanfaatkan satu ruang terbuka di rumah dengan menyediakan beberapa peralatan melukis dan mewarna bagi menarik minat anak kecil seperti warna air dan krayon.
"Pastinya anak kecil mudah tertarik dengan variasi warna ketika melakukan aktiviti seni,” katanya.
Selain itu, projek buat sendiri atau DIY dengan menggunakan barangan terpakai seperti kotak, bekas telur dan surat khabar turut boleh dijadikan aktiviti riadah mental. Barangan tersebut boleh diubah suai atau digunakan semula sebagai alat permainan.
2. Memasak, menghias kek
Aktiviti ini amat sesuai dilakukan bersama kanak-kanak yang boleh mematuhi arahan. Biasanya aktiviti riadah minda itu melibatkan anak-anak yang masih di sekolah rendah.
"Aktiviti berkenaan boleh dijadikan program riadah apabila ibu bapa melantik anak sebagai ‘pembantu cef’ ketika sedang memasak di dapur,” jelas Dr Yusoff.
Kanak-kanak juga boleh membantu ibu bapa menuang ramuan ke dalam bekas serta menghias kek dan makanan.
3. Membaca ikut minat
Aktiviti ini bukanlah bermaksud membaca buku sekolah semata-mata. Ia boleh melibatkan pembacaan buku mengikut minat anak masing-masing.
"Aktiviti membaca mengikut minat si kecil dapat membantu perkembangan pemikiran mereka,” jelas Dr Yusoff.
Ibu bapa juga boleh membacakan buku cerita kepada anak-anak. Pada akhir aktiviti tersebut, mereka boleh menilai pemikiran anak-anak dengan bertanya apa yang mereka faham daripada cerita yang dibaca itu.
4. Mengaji al-Quran
Lebih bermanfaat untuk pengisian rohani, ibu bapa boleh bertilawah bersama anak-anak di rumah.
"Banyak kisah nabi yang mengandungi teladan boleh didedahkan kepada anak masing-masing.
"Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat menambah pengetahuan anak-anak malah dapat menjana pemikiran mereka,” katanya.
5. Mainan berpapan, susun suai gambar
Permainan riadah minda adalah mengikut umur anak kecill masing-masing.
"Permainan tersebut boleh dimulakan dengan aktiviti yang mudah terlebih dahulu, misalnya dam ular bagi kanak-kanak yang berusia tiga ke empat tahun.
"Bagi anak yang lebih berusia, boleh bermain Monopoly atau Sahibba," kongsi Dr Yusoff.
Lebih menarik, ibu bapa juga boleh bermain menyusun suai gambar (jigsaw puzzle) bergantung kepada umur anak masing-masing dan tahap kesukarannya.