SETELAH lama tidak muncul di kaca televisyen (TV) mahupun layar lebar, pelakon Sharifah Sofia kembali mengubat rindu para peminat menerusi penampilan terbaharu dalam drama Scammer 2.
Menurut Sofia, 36, biarpun pembabitannya dalam drama sekuel arahan Norhanisham Labu Ahmad itu berlaku pada saat-saat akhir dan tidak dirancang, dia berasa begitu teruja untuk mencuba watak dan karakter yang diberikan.
"Tawaran membintangi Scammer 2 memang datang pada saat-saat akhir. Hari ini saya dapat panggilan, esok mereka sudah memulakan penggambaran.
"Alhamdulillah ketika itu saya tidak begitu sibuk dan terbuka hati untuk menerima tawaran tersebut.
"Lagi pun, saya memang sudah mengetahui tentang drama ini daripada musim pertamanya dulu. Cuma saya tidak tahu barisan pelakonnya untuk musim ini sudah bertukar. Walau bagaimanapun, saya seronok dapat bekerja dengan produksi ini,” ujar Sofia.
Menariknya drama 24 episod yang kini sedang hangat disiarkan di Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam sejak 18 April lalu, menyaksikan pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu menjayakan watak antagonis yang menggunakan namanya sendiri, Sofia.
Watak tersebut menyaksikan lakonannya sebagai seorang sebagai bekas scammer yang telah dimasukkan ke penjara.
"Bukan tidak biasa pegang watak jahat, tapi kali ini berbeza kerana penampilan saya sudah bertudung. Dulunya bawa watak jahat yang nakal, sekarang jahat yang sedikit ganas.
"Waktu menerima tawaran ini, saya pada mulanya tidak begitu jelas dengan karakter Sofia ini tetapi bila sudah sampai di lokasi penggambaran, saya mula faham apa yang dimahukan.
"Scammer 2 menampilkan penceritaan yang berbeza dengan musim pertama dulu. Penonton perlu tengok dan fahami isi-isi tersirat dalam drama ini termasuk karakter-karakter dan dialognya yang sangat menarik,” kongsi Sofia.
Kembali aktif
Dalam pada itu, pelakon yang mula dikenali menerusi siri popular Astana Idaman itu mengakui begitu teruja dan seronok dapat bekerjasama dalam satu pasukan dengan pengarah dan barisan pelakon yang hebat.
"Memang seronok dapat bekerja dengan pengarah, Labu dan rakan-rakan pelakon seperti Beto Kusyairi dan Zahiril Adzim yang sememangnya hebat.
"Mereka juga banyak membantu ketika penggambaran dan saya dapat belajar banyak benda baharu,” jelasnya.
Mengulas tentang penerimaan positif penonton terutama para peminat yang lama merindui kemunculannya, ibu kepada dua cahaya mata itu terharu dengan sokongan yang diberikan.
Ungkap Sofia, sebelum tampil dengan Scammer 2, dia sebenarnya sudah kembali aktif berlakon, cuma beberapa buah drama yang dibintangi itu belum disiarkan di kaca TV.
"Sebenarnya dalam tempoh dua tahun pandemik Covid-19, saya sudah mula mengambil tawaran berlakon semula.
"Cuma tidak ramai yang tahu kerana kebanyakan cerita yang saya lakonkan itu masih lagi belum disiarkan di kaca TV,” katanya.