PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza mempunyai pandangannya sendiri berkenaan isu selebriti yang menutup wajah anak mereka ketika membuat perkongsian di media sosial.
Menurut Siti yang juga ibu kepada dua cahaya mata, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa, tindakan untuk tidak berkongsi wajah anak atau sebaliknya adalah pilihan masing-masing.
"Bagi saya itu terpulang kepada ibu bapa masing-masing kerana mereka pastinya mempunyai alasan yang tersendiri. Semua orang mempunyai pilihan.
"Saya sendiri pun ada pilihan untuk tidak menunjukkan wajah anak-anak saya atau sebaliknya,” ujarnya kepada SinarPlus.
[caption id="attachment_82206" width="768"] Siti ketika menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Universal Music Malaysia Jumaat lalu.[/caption]
Tambah penyanyi lagu Lip Lap Raya yang ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Universal Music Malaysia pada Jumaat lalu itu lagi, tindakan tersebut tidak harus menjadi pertikaian kerana masing-masing tahu yang terbaik untuk diri mereka.
"Saya menghormati pilihan masing-masing dan percaya apabila sudah bersedia, mereka akan kongsikan wajah anak dan memperkenalkan kepada orang ramai.
"Jadi kita tak perlulah nak pertikaikan kerana itu mereka tahu apa yang mereka lakukan,” katanya.
Terdahulu beberapa selebriti tanah air menerima kecaman daripada netizen apabila memuat naik foto yang menutup wajah anak mereka dengan menggunakan emoji sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.