KETIKA ini ramai yang tersepit kerana wabak Covid-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Akibatnya ada yang tidak dapat bekerja dan terputus pendapatan.
Syukur, di negara kita masih ramai lagi yang sudi membantu golongan yang terjejas ini dengan pelbagai projek.
Antara projek bantuan tersebut adalah King Dining merupakan satu projek komuniti yang diilhamkan oleh Nando's dengan sokongan rakan strategik badan bukan kerajaan (NGO).
Inisiatif ini akan melibatkan pengumpulan dan pengagihan makanan tahan lama yang akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pengerakan (PKP).
Ketua Pegawai Eksekutif Nando’s Malaysia, Stephen berkata, tindakan ini sebagai salah satu usaha untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.
"Di samping mengumpul barangan makanan untuk golongan yang amat memerlukan, kami juga ingin menunjukkan penghargaan kepada masyarakat Malaysia yang turut menyumbang ke arah usaha ini, menerusi diskaun di Nando’s.
"Situasi kini membuka peluang untuk kita semua mengembeling tenaga dalam usaha memberi apa jua sumbangan yang semampunya.
"Kami berharap agar dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan dan seterusnya menyalurkan lebih banyak sumbangan kepada mereka yang memerlukannya, terutama sekali di ambang hari raya yang bakal disambut tidak lama lagi. Semoga inisiatif ini akan menyemarakkan lagi semangat komuniti di kalangan komuniti kita,” katanya.
Pelanggan yang ingin meyumbang makanan untuk inisiatif ini boleh mengunjungi mana-mana 72 cawangan Nando's di seluruh negara yang beroperasi semasa PKP.
Pelanggan akan menerima diskaun 20 peratus ke atas pembelian hidangan Nando’s setelah membuat sumbangan.
Barangan yang bersesuaian untuk disumbangkan termasuk bungkusan beras, makanan bertin, minyak memasak, minuman berbotol, susu tepung, bijirin, gandum dan gula.
Semua barang mestilah halal, boleh dimakan dan masih belum melepasi tarikh lupus. Pihak yang berminat boleh diminta untuk mengenal pasti senarai cawangan Nando's yang terlibat di dalam inisiatif ini.