SEGELINTIR daripada kita mesti ada tahi lalat yang tumbuh sama ada di sekitar badan, tangan atau muka bukan?
Tahi lalat ialah bintik kecil berwarna coklat atau kehitaman yang timbul atas permukaan kulit.
Merujuk perkongsian Facebook Pegawai Perubatan, Anson Bay Medical Centre, Dr Erna Nadia Noordin, tahi lalat tumbuh disebabkan oleh sel pigmen melanosit (melanocyte) yang beri warna pada kulit manusia.
"Tahi lalat terjadi apabila sel-sel itu berkumpul di satu tempat dengan banyak. Warnanya boleh jadi coklat gelap, coklat cerah, warna kulit biasa atau merah jambu sedikit.
"Jika tahi lalat muncul sejak kecil, ia boleh membesar mengikut tumbesaran seseorang dan bentuknya juga boleh menjadi bulat atau bujur,” jelasnya.
Portal kesihatan Alo Dokter dalam artikelnya menjelaskan, sebahagian besar tahi lalat muncul sejak lahir dan ada juga yang tumbuh setelah lahir pada usia 25 tahun ke bawah. Lazimnya, antara 10 hingga 40 bintik kecil.
Baca juga Tahi lalat sejenis ketumbuhan sel yang boleh cetuskan kanser? Ini penjelasannya
Terang Dr Erna Nadia, secara umumnya, tahi lalat yang tumbuh tidak berbahaya, tetapi terdapat juga kes boleh menjadi kanser kulit melanoma.
"Kanser kulit melanoma jarang berlaku tetapi boleh juga terjadi kepada seseorang,” terangnya.
Justeru, Dr Erna Nadia kongsikan beberapa ciri-ciri tahi lalat yang tidak normal. Antaranya:
i. Berubah bentuk, ukuran dan warna.
ii. Menjadi kasar dan tidak rata.
iii. Bentuk tidak simetri.
iv. Mempunyai dua hingga tiga warna dalam satu tahi lalat.
v. Diameter lebih 6 milimeter.
vi. Gatal, sakit dan ada cairan seperti darah atau nanah pada permukaan tahi lalat.
Beliau turut kongsikan risiko lain jika terjadinya kanser kulit melanoma pada seseorang:
i. Ada lebih 50 tahi lalat.
ii. Lahir dengan tahi lalat lebih 5 sentimeter (diameter).
iii. Tekstur dan warna tahi lalat lain daripada biasa.
iv. Sering terdedah kepada sinaran ultra violet (UV).
v. Ada ahli keluarga yang mempunyai sejarah kanser kulit melanoma.
vi. Selalu makan ubat yang membuatkan kulit menjadi sensitif pada sinaran UV. atau mengurangkan kekebalan tubuh seperti antibiotik dan antidepresi.
vii. Kulit sensitif terhadap sinaran UV.
Dr Erna Nadia sempat berpesan sekiranya seseorang mempunyai simptom atau risiko yang dinyatakan, segera ke klinik kesihatan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
"Jika ada sesuatu yang abnormal, doktor boleh melakukan biopsi untuk kenal pasti sel tersebut bermasalah atau tidak,” beritahunya.
Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI