Sibuk bukan alasan untuk saling berjauhan, Uyaina dan Raja Syahiran sentiasa curi waktu untuk bersama

Iklan
design (5)

SIAPA yang masih ingat tentang kisah pasangan selebriti, Uyaina Arshad dan Raja Syahiran Raja Azharianshah yang terpaksa membatalkan majlis resepsi perkahwinan gara-gara banjir yang berlaku sekitar Disember tahun lalu?

Pelamin yang sudah ditempah ditenggelami air bah. Segala perancangan yang sudah diatur menjadi kelam-kabut. Pun demikian, pasangan itu tetap tenang dan meneruskan majlis pernikahan kerana bagi mereka, itu yang perlu diutamakan.

Iklan
Iklan

Sorotan daripada peristiwa berkenaan, Uyaina mahupun Raja Syahiran bukan sahaja memahat kenangan mereka berdua, tetapi secara tidak langsung membuatkan khalayak turut sama mengingati momen yang penuh bermakna itu.

Mana tidaknya, boleh dikatakan cerita ‘pelamin hanyut‘ pasangan tersebut heboh diperkatakan, seiring dengan rentetan kisah mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan harta benda di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Iklan

Kepada SinarPlus, pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, segala yang berlaku pasti ada rahmat di sebaliknya. Namun, apa yang paling penting, Ramadan dan Syawal pada tahun ini telah membuka dimensi baharu kepada diri beliau.

Iklan

Pertama kali menyambutnya bersama suami tercinta, pelakon drama rantaian Love Elsa itu berkata, mereka berdua saling berusaha mencari masa agar berpeluang berbuka puasa dan solat berjemaah bersama.

Lebih empat bulan melayari bahtera perkahwinan, Uyaina mengakui, statusnya kini telah memberi satu pengalaman baharu yang penuh bererti.

Masakan tidak, jika bergelar anak dara dahulu, segala hidangan sahur dan berbuka diserahkan 100 peratus kepada bonda tercinta. Sekarang, beliau sendiri perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan juadah buat sang suami.

"Syahiran seorang yang suka makan nasi, jadi boleh dikatakan sama ada sahur atau berbuka puasa, nasi memang menjadi menu utama. Selalunya saya akan masak nasi terlebih dulu pada sebelah malam dan hanya panaskan pada waktu sahur.

"Pada era saya masih solo, mama yang akan kejutkan. Saya pula kadangkala jenis sukar bangun pagi lebih-lebih lagi nak bersahur. Sekiranya waktu Subuh pukul 5.50, mama akan kejutkan saya 5.40," katanya seraya melepaskan tawa.

Wanita berusia 30 tahun itu menegaskan, Ramadan bukan hanya bulan untuk menggandakan ibadah dan memelihara hubungan dengan ALLAH SWT, malah pada masa sama, mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Sehubungan itu, sesibuk mana pun, apabila tiba sahaja berbuka, makanan yang terhidang di atas meja perlu dijamah bersama. Begitu juga dengan sejadah yang dihamparkan, sebaiknya biarlah solat dan tarawih dilakukan secara berjemaah.

"Dalam setahun, hanya 30 hari ini sahaja yang kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menziarahi dan bertanya khabar. Sama juga apabila kita meraihkan Syawal kelak. Pada saya, apa jua perayaan, tujuan utamanya adalah untuk memelihara hubungan sesama keluarga," ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Raja Syahiran yang turut serta pada penggambaran tersebut mengiakan apa yang diperkatakan oleh suri hatinya.

"Dahulu hidup bujang, banyak perkara yang hanya memberi fokus kepada diri sendiri. Namun, sekarang saya sudah ada tanggungan di rumah. Komunikasi penting dalam rumah tangga. Walaupun sibuk macam mana pun, suami isteri tetap perlu saling bersemuka.

"Sesekali bergaduh perkara biasa dan sudah menjadi lumrah berubah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Tolak ansur, memahami dan berbincang mencari solusi itu perlu ada dalam diri pasangan," kata penyanyi Biarkan Aku dan If I Could Go Back itu.

Luahan

Pertemuan pada petang itu, kami tidak sekadar bercerita tentang Ramadan dan Aidilfitri sahaja. Inti pati perbualan lebih daripada itu.

Ya, seperti yang semua orang tahu, medium digital kini sudah diibaratkan seperti gambaran sebenar tentang kehidupan seseorang.

Dalam hal itu, Raja Syahiran yang senang disapa Syahiran berkata, meskipun aktif berkongsi gambar bersama pemilik belahan hatinya, beliau bagaimanapun enggan terlalu mempamerkan sisi peribadi bersama isteri kecuali melibatkan soal kerja.

"Kadangkala ada syarikat yang menggunakan khidmat kami untuk mempromosi atau sebagainya. Jadi, perkara itu sudah pasti akan membuatkan saya mempamerkan aksi ‘bersemut‘ dengan isteri. Namun, sebenarnya saya lebih senang jika tertutup.

"Memang benar, sebagai seorang suami, saya sangat menyayangi Uyaina. Namun, perkara itu cukup sekadar saya, isteri dan keluarga yang mengetahuinya. Tidak perlu untuk terlalu ghairah mempamerkan di media sosial sehingga khalayak tampil buat pelbagai tafsiran.

"Namun, apa yang saya lihat, segelintir kita melihat kehidupan di media sosial itu merupakan 100 peratus asli. Kita melihat orang itu berjaya atau berharta, tetapi adakah kita tahu kisah di sebalik, kepayahan atau kesukaran yang mereka tidak tonjolkan?," soalnya panjang lebar.

Perbualan menjadi semakin rancak apabila Syahiran mendedahkan kepada SinarPlus bahawa terdapat pihak mempertikaikan ‘takdirnya‘ yang menjadi suami Uyaina.

"Mereka kena tahu bahawa setiap manusia mempunyai kehidupan masing-masing di alam realiti. Justeru, janganlah terlalu taasub dengan kisah fantasi yang ditonton di kaca televisyen.

"Mereka mungkin berpendapat bahawa masing-masing mempunyai hak untuk bersuara, tetapi sebenarnya tidak untuk semua perkara, ya. Saya terbuka terhadap sebarang teguran atau kritikan sama ada membina atau tidak, namun belum tentu menerimanya 100 peratus," luahnya.

Tetapkan aturan

Perkara sama turut menimpa Uyaina tatkala beliau mengenakan busana kontroversi yang bertemakan Arabian Night pada majlis perkahwinannya. Menjelaskan mengenai perkara itu, juara Pencarian Nona Manis 2015 itu sejujurnya tiada langsung niat untuk mencuri perhatian, apa lagi mahu mencetuskan publisiti murahan.

Sebaliknya, rekaan busana berkenaan sudah pun dibincangkan dengan kedua-dua belah pihak iaitu di antara dirinya dan Syahiran termasuk orang tua masing-masing.

"Jikalau kita lihat betul-betul, pakaian berkenaan hanya digayakan pada acara tertentu saja. Mungkin khalayak terkejut kerana tidak pernah melihat saya berpakaian seperti itu di kaca televisyen atau media sosial. Bagi saya, ia sama dengan kita bergaya pada hari-hari tertentu atau hadir ke sesebuah acara.

"Mustahil untuk kita berpakaian dengan konsep sebegitu pada setiap hari, melainkan untuk waktu istimewa sahaja."Sejujurnya, saya selesa menggayakan apa sahaja asalkan menutup aurat dan tidak keterlaluan," jelasnya bersungguh-sungguh.

Meskipun demikian, pelakon dan model itu sedar kedudukannya yang mencari nafkah dalam bidang seni. Mahu atau tidak, dirinya perlu reda dengan apa juga situasi termasuk ‘direjam‘ dengan pelbagai kecamaan.

Enggan melihat ion-ion negatif itu terus menghantui diri, Uyaina melakukan inisiatif dengan menetapkan aturan pada akaun media sosialnya.

"Saya tidak akan baca komen yang melampau kerana aturan perkataan telah ditetapkan di media sosial. Justeru perkataan tertentu tidak dibenarkan dan jika masih ada yang bersikap keterlaluan, saya akan sekat pengguna itu.

"Lebih baik kita ketepikan sahaja individu sebegini. Jika benar-benar tidak suka, tidak perlu menjadi pengikut di media sosial," tutur Uyaina.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI