JIKA kebanyakan bakat baharu memilih untuk memperjuangkan muzik yang lebih komersial, lain pula pilihan empat anak muda yang memperkenalkan diri mereka menerusi kumpulan One Path.
Dianggotai oleh Muhammad Haseef Mohd Amin (Haseef), Ammar Salahuddin (Ammar), Muhammad Afiq Ismail (Afiq) dan Muhammad Shafiq Nor Shah (Shafiq), mereka kini mempunyai misi memberikan nafas baharu dalam industri nasyid yang sering dianggap ketandusan bakat baru berpotensi.
Gabungan pop quartet itu mahu mengangkat mesej dakwah, persahabatan, kemanusiaan dan tauhid menerusi rentak muzik yang lebih segar serta mesra pendengar dalam kalangan generasi muda masa kini.
Walaupun imej kasual yang ditampilkan berserta paduan vokal harmoni, One Path pernah membawa nama mereka menduduki tangga trending di YouTube Malaysia menerusi lagu cover berjudul Yang Terbaik (Here’s Your Perfect versi dakwah), namun One Path tidak pernah berasakan diri mereka sebagai kumpulan jelmaan One Direction atau kumpulan K-pop BTS.
Ammar mewakili anggota One Path yang lain berkata, biarpun mereka merupakan kumpulan nasyid baharu, One Path lebih selesa dengan identiti mereka sendiri yang berpenampilan kasual.
"Dari segi imej, kami lebih terbuka untuk berfesyen mengikut keperluan sesuatu karya dan yang penting kami sendiri rasa selesa.
"Paling utama bagi kami selagi ia masih mematuhi panduan yang digariskan oleh syarak dan ALLAH SWT reda, kami amat terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu,” ujarnya.
Pertaruh Hasbunallah
Sebagai permulaan, One Path yang bernaung di bawah label Tarbiah Sentap Records telah menjalinkan kerjasama bersama produser dari Amerika Syarikat (AS), Mantra yang sebelum ini pernah terlibat dalam pembikinan album artis popular seperti Ne-Yo.
Single berjudul Hasbunallah itu dihasilkan sendiri bersama selebriti dakwah terkenal, Adnin Roslan.
"Ini pengalaman pertama bagi kami bekerjasama dengan pihak dari AS.
"Walaupun kami masih baru, kepercayaan yang diberikan Tarbiah Sentap untuk kami terbitkan single ini bersama pihak luar adalah satu penghargaan besar buat kami,” jelas Haseef.
Tambah penuntut diploma Tahfiz Al-Quran dan Qira’at itu, dia berharap akan ada lebih banyak lagi peluang untuk One Path bekerjasama dengan lebih ramai artis pada masa hadapan.
Single Hasbunallah diterbitkan dalam tiga versi iaitu Hasbunallah, Hasbunallah (Piano Version) dan Hasbunallah (Acapella Version).
Kesemua versi tersebut boleh didapati secara percuma di semua platform digital termasuk TikTok, YouTube, Spotify dan juga Joox.