Hajeedar perjuangkan warisan bangsa, mahu jadikan ICOMOS sebagai platform wacana dalam martabatkan khazanah negara

Iklan
Hajeedar

PENGALAMAN hampir 50 tahun dalam industri seni bina negara mendorong Datuk Hajeedar Abdul Majid, 77, lantang memperjuangkan kelestarian warisan sejarah dan identiti negara.

Dengan penuh penegasan, arkitek tersohor tanah air itu berkata, sesungguhnya, khazanah bernilai tersebut semakin diabaikan dan dipandang remeh khususnya dalam kalangan anak muda.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, beliau turut kesal apabila golongan yang sama seolah-oleh seperti meminggir dan barangkali cuba melupakan sejarah silam negara bangsa.

Iklan

"Inilah masalah yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak. Kita jangan lupa bahawa budaya Malaysia bukan tertakluk untuk Melayu sahaja, tetapi Cina dan India, malah melibatkan kepelbagaian kaum lain.

"Sehubungan itu, amat wajar kita sebagai anak Malaysia mengekalkan kelestarian warisan budaya. Jika bukan kita yang perjuangkan, siapa lagi?," soal pemilik Hajeedar and Associates Sdn Bhd ketika ditemui di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan

Hajeedar menambah, warisan negara sebenarnya adalah asas penting yang menjadi elemen penghubung dan merupakan sebahagian daripada kitaran kehidupan manusia yang mempunyai genetik, kumpulan etnik dan historiografi yang sama.

"Kita perlu memahami prinsip ‘no man is an island‘ yang mana kita bukanlah apa atau siapa tanpa hubungan keluarga besar yang wujud daripada susur-galur sejarah dan budaya nenek moyang terdahulu.

Baca juga Melaka diiktiraf Tapak Warisan Dunia UNESCO, 5 lokasi menarik ini wajib kunjungi

"Kata mudahnya, kita adalah ‘produk akar umbi‘ dan asal usul warisan keluarga terdahulu yang mencatat sejarah pencapaian yang membanggakan dan perkara ini perlu dihargai," ujar mantan Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia itu.

Katanya, negara sangat beruntung kerana memiliki keunikan tradisi Melayu-Polinesia yang sangat kaya dengan identiti tersendiri.

Baca juga Pengembaraan budaya menerusi tiga dokumentari menarik di LongTV

"Jika diimbas semula, sejarah tamadun Melayu sendiri cukup gah dan unggul. Sebagai contoh, Panglima Hitam atau gelarannya Enrique of Malacca dicatatkan sebagai individu pertama belayar mengelilingi dunia.

"Pun begitu, meskipun kehebatan diaspora Melayu diakui dunia, namun sayang sekali semua sejarah nyata dan tidak nyata tersebut hilang dalam rekod, sedangkan semua itu disimpan di negara luar sebagai khazanah yang sangat berharga dan luar biasa," katanya.

ICOMOS sebagai platform

Sehubungan itu, ujar Hajeedar, beliau mahu menjadikan International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) Malaysia sebagai platform wacana yang mengajak semua lapisan masyarakat dan badan bukan berasaskan keuntungan membincangkan mengenai isu-isu warisan bangsa.

ICOMOS merupakan pertubuhan profesional yang berfungsi untuk pemuliharaan dan perlindungan tempat warisan budaya di seluruh dunia.

Pertubuhan yang ditubuhkan pada tahun 1965 di Warsaw, Poland itu juga bertanggungjawab memberikan nasihat kepada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum sesebuah tapak diiktiraf.

Selain itu, penerima Anugerah Emas Pertubuhan Arkitek Malaysia 2012 itu mahu menjadikan ICOMOS sebagai medan mencari jalan penyelesaian konkrit bagi membela khazanah negara.

Hajeedar memberitahu, pihaknya tiada masalah untuk menyumbang idea kritis dalam merealisasikan matlamat tersebut.

"Kami memiliki pakar dan golongan profesional yang boleh membantu memartabatkan semula warisan penduduk asal di benua yang lebih dikenali dengan nama Melayu Nusantara.

"Pada masa sama, kita juga mahukan keterlibatan anak muda untuk berkongsi cerita tentang sejarah dengan bukti agar setiap fakta dapat dikaji, dipastikan, dinyatakan dan seterusnya diperbetulkan," jelasnya yang menyeru agar semua rakyat Malaysia mengambil sikap ambil peduli dan lebih prihatin.

Sebelum menutup tirai perbualan, figura itu mengingatkan kembali rakyat Malaysia. Katanya, untuk menilai tamadun dan sejarah, ia tidak boleh dibina dalam tempoh satu malam sahaja.

"Amat penting untuk kita hargai dan hormat bangsa yang memiliki nilai tamadun serta bermaruah tinggi. Jangan sampai apabila semuanya lenyap nanti, barulah menyesal tidak sudah," kata bapa kepada empat cahaya mata itu yang telah menterjemahkan perjuangan, pengalaman dan bakatnya melalui sebuah karya bertajuk Journey in Architecture pada tahun 2021.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI