Fattah Amin mahu Padamu jadi terapi jiwa buat pendengar

Iklan
FATTAH AMIN

SATU demi satu kejayaan yang dicapai pelakon dan penyanyi Fattah Amin dalam dunia seni mahu pun kehidupan peribadi tidak pernah menjadikan dirinya lupa dari mana asal usulnya.

Malah menurut Fattah, jika berlaku kegagalan ataupun doa yang belum dimakbulkan, sebagai hamba jangan pernah bersangka buruk kepada ALLAH dan teruslah melafazkan rasa syukur atas segala kurniaan ataupun ujian yang diberikan.

Iklan
Iklan

Berpegang teguh kepada prinsip itu, Fattah menterjemahkan perasaannya itu menerusi single baharu berjudul Padamu hasil ciptaan komposer dan penyanyi Ikhwan Fatana serta Wan Salleh.

Masih mengekalkan konsep ketuhanan untuk buah tangan terbaharunya itu, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin ini mendedahkan lirik asal lagu itu terpaksa dirombak untuk disesuaikan dengan jalan cerita yang dia inginkan.

Iklan

"Lagu ini mengisahkan tentang rasa seorang hamba pada pencipta-Nya yang sentiasa percaya pada-Nya.

"Walaupun sehebat mana kejayaan yang kita kecapi atau sedalam mana kegagalan yang kita alami, kita masih tetap rasa cinta dan syukur di bawah peliharaan serta lindungan-Nya,”.

Iklan

"Melodi asal lagu ini sebenarnya dicipta oleh Ikhwan. Cuma liriknya telah diubah semula setelah saya berkongsi dengan Universal Music mengenai hala tuju dan maksud yang saya mahukan untuk lagu terbaharu saya itu.

"Selepas mendengar kisah yang saya diceritakan, Ikhwan selaku penulis lirik mengubah semula seni kata berdasarkan mesej yang ingin saya kongsikan itu,” kata penyanyi berusia 31 tahun itu.

Dilihat cukup selesa merakamkan lagu berunsur ketuhanan, suami kepada aktres terkenal, Nur Fazura Sharifuddin itu menyifatkan lagu sebegini mampu menjadi terapi jiwa kepada mereka yang mendengar.

"Selepas melancarkan beberapa buah lagu berkonsepkan kerohanian dan ketuhanan, saya sekali lagi terdetik untuk berkongsi rasa dalam lagu yang masih mengekalkan genre yang serupa.

"Cuma kali ini saya guna khidmat komposer dan penulis lirik yang berbeza. Bagi saya lagu sebegini mampu menjadi terapi diri.

"Contohnya untuk pendengar lain termasuk pada kita yang juga hamba-Nya supaya sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan dan sentiasa beringat supaya tidak lupa serta alpa,” pesan aktor tinggi lampai ini.

[caption id="attachment_84817" width="800"] Fattah lebih selesa mengekalkan genre ketuhanan dalam lagu nyanyiannya.[/caption]

Berjalan lancar

Berkongsi pengalaman di studio, Fattah meluahkan rasa syukur kerana proses rakaman lagu itu berjalan lancar.

Beliau berterima kasih kepada Wan Salleh yang banyak membantunya ketika proses rakaman berlangsung.

Antara lagu bergenre kerohanian yang pernah dirakamkan Fattah adalah Kiriman Agung, Sinar Selawat dan Hamba.

Mengulas pembikinan muzik video (MV) lagu itu, Fattah mengakui berdepan cabaran untuk menghasilkannya berikutan tarikhnya bertembung ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Lebaran.

"Lagu ini dilancarkan di semua pelantar digital pada April lalu iaitu berdekatan tarikh perayaan Aidilfitri. Disebabkan itu timbul cabaran apabila lagu ini terpaksa bersaing sedikit dengan lagu-lagu raya.

"Bagaimanapun, kami tidak melihat perkara itu sebagai satu halangan kerana bagi saya yang penting adalah mesej dan rasa yang saya nak sampaikan pada pendengar,"katanya.

MV Padamu boleh ditonton di Youtube rasmi Fattah mulai 9 Jun lalu.