#SiBibirMerah: Kebaikan tidak diceritakan, Adibah membantu ketika PKP, pernah jual rumah, pajak barang kemas

Iklan
F5A5A631-73DF-496D-82E2-DCFDC2F4D25A

JUAL rumah, barang kemas pun di pajak gadai. Itu pengakuan Allahyarhamah pelakon dan penyanyi, Adibah Noor yang membuat pendedahan tentang keadaan dirinya yang turut bergelut dengan masalah kewangan berikutan pandemik Covid-19 lalu.

Setiap orang ada kesukaran pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu termasuk Kak Dib atau Adibah Noor.

Iklan
Iklan

Pendedahan dibuat Adibah menerusi dua video pendek yang dimuat naik di laman Twitter miliknya dua tahun lalu berikutan menerima banyak mesej daripada orang ramai yang meminta bantuan kewangan.

Namun Allahyarhamah tetap membantu sedaya upayanya. Artikel ini dimuat naik semula mengenangkan kebaikan arwah yang sanggup membantu pihak lain walaupun diri terpaksa menjual rumah. Mulia hatinya.

Iklan

Menurut pemilik nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar, 52, penjelasan itu adalah untuk memberikan gambaran sebenar tentang keadaan kewangannya.

"Saya menerima banyak direct message (DM) dan private message (PM) yang memohon bantuan kewangan. Mana yang saya boleh bantu, saya memang akan bantu.

Iklan

"Pekerja-pekerja seni macam saya yang berada di depan kamera dan di atas pentas, memang nampak macam mewah, sering kali muat naik video atau gambar untuk menunjukkan kami masih aktif dalam bidang seni.

"Hakikatnya masa PKP dulu, saya memang tiada pekerjaan langsung sekali gus tiada pendapatan.

"Jadi selepas PKP iaitu pada fasa pemulihan, barulah dapat tawaran kerja sedikit demi sedikit untuk berlakon, menyanyi dan sebagainya,” luah Adibah.

Bagaimanapun, tambah pelantun lagu Istimewa itu, bayaran yang diterimanya selepas PKP tidak lagi sama sebagaimana sebelum bermula pandemik Covid-19, malah jauh lebih rendah.

"Harga yang kita terima tidaklah semewah harga yang diterima sebelum pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, saya ambil sahaja mana-mana tawaran. Sekurang-kurangnya saya ada pendapatan sendiri,” katanya.

Dalam perkongsian yang sama, Adibah turut mengakui terpaksa menjual rumah dan memajak barangan kemasnya untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi sepanjang tempoh PKP lalu.

Baca juga #SiBibirMerah: Sayunya... luahan akhir rakan artis buat Adibah Noor

"Saya tak malu untuk memberitahu, banyak benda yang saya dah jual. Saya jual rumah, barang kemas pun ada di pajak gadai.

"Saya tak malu nak bagitahu yang saya juga mengalami kesusahan atau kesukaran dari segi kewangan, tapi kita cuba cari jalan sendiri,” luahnya.

Disebabkan situasi itu, Adibah menjelaskan, dia tidak dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat.

"Sejujurnya saya nak bagitahu kepada anda yang memohon belas kasihan dan juga bantuan, saya tak dapat nak bantu kerana saya baru kembali bekerja.

"Walaupun ketika PKP saya tiada kerja dan tiada pendapatan, saya tetap perlu bayar gaji pekerja dan menyediakan makanan untuk 37 ekor anak kucing peliharanan saya.

"Saya bukan nak mengadu, ini juga bukan curahan perasaan untuk menagih simpati, cuma saya nak bagitahu hakikatnya saya juga mempunyai masalah saya yang tersendiri.

"Minta maaf saya tak dapat membantu orang lain kerana saya kena bantu diri saya sendiri.

"Apa-apapun saya doakan semoga kita semua dapat mencari rezeki. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan kita," luah arwah dua tahun yang lalu.

Adibah Noor menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada jam 7.30 malam, dipercayai akibat penyakit kanser rahim tahap empat.

Jenazah Allahyarhamah Adibah dibawa ke Masjid Al Ansar, Keramat pada jam 9 pagi untuk dimandi dan dikafankan serta disolatkan. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai pada jam jam 10:30 pagi ini.

Salam takziah buat keluarga.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.