SEJAK awal tayangan drama Melur Untuk Firdaus, naskhah ini sudah pun menerima komen positif termasuk tular di negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
Sehingga kini, selepas 14 episod ditayangkan daripada 28 episod keseluruhannya, drama yang memperlihatkan gandingan sulung pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2020, Meerqeen bersama, bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019, Anna Jobling, masih hangat diperkatakan ramai.
Mengulas mengenai sambutan yang diberikan, pengarahnya, Zamri Zakaria, meluahkan rasa bangga dan teruja dengan respons positif daripada penonton.
Akui Zamri, pada awalnya, dia merasa bimbang dengan sambutan penonton, lebih-lebih lagi Anna tidak terlalu fasih berbahasa Melayu.
"Saya lihat Meerqeen dan Anna memang ada potensi sebagai pelapis hero dan heroin drama tempatan.
"Cuma pada awalnya saya agak bimbang mendengar sebutan Melayu Anna yang tidak berapa lancar dan ada slang mat saleh.
"Tetapi saya kagum dengan Anna sebab dia berusaha untuk ambil kelas lakonan sebelum masuk ke set penggambaran dan membuahkan hasil,” katanya kepada Sinar Harian.
[caption id="attachment_85050" width="800"] Zamri (duduk di kerusi) bersama barisan kru Melur Untuk Firdaus.[/caption]
Tambah Zamri, walaupun menerima respons positif, Melur Untuk Firdaus juga tidak terlepas daripada komen negatif daripada netizen.
"Biasalah bila sudah tular, pasti ada yang melihat dan mencari kesilapan. Bagaimanapun saya tidak melihat semua komen itu dari sudut negatif.
"Kalau benar ada kekurangan, kesilapan, kami ambil maklum untuk penambahbaikan pada drama yang akan datang.
"Apa pun saya berterima kasih dengan sambutan yang diberikan dan berharap Melur Untuk Firdaus boleh menembusi pasaran drama di negara luar,” jelasnya.
Drama Melur Untuk Firdaus disiarkan di TV3 setiap Rabu hingga Sabtu jam 9 malam, juga boleh ditonton di platform penstriman Disney+ Hotstar.