TIADA lagi penawar untuk sembuh, seorang ibu masih harapkan keajaiban dan terus berdoa tanpa henti.
Kepada SinarPlus, ibu kanak-kanak itu, Ros Asroini Muhammad bercerita panjang lebar.
Ujarnya, tulang belakang yang membengkok dan benjolan sebesar bola golf pada bahagian belakang kepala membuatkan anak tersayang, Mohd Aqil Aqmar Nordin atau Aqil hanya mampu terbaring mengiring.
Lebih menyedihkan, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu bukan sahaja disahkan menghidap penyakit genetik jarang jumpa, Juvenile hyline fibromatosis, bahkan turut menderita ketumbuhan pada gusi dan mulut.
Keadaan tersebut membuatkan mulut Aqil semakin hari semakin membengkak. Bayangkan, bagaimana si kecil itu makan dan minum, apatah lagi mahu 'berborak' bersama mak ayah tercinta.
Ros Asroini memberitahu, kondisi anak syurga beliau itu menyebabkan satu pembedahan terpaksa dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada April lalu bagi 'membuang' gusi yang membengkak.
"Jika dibiarkan, keadaan Aqil dikhuatiri akan menjadi lebih teruk. Sebelum ini pun, Aqil sudah menjalani pembedahan menebuk leher untuk saluran pernafasan dan perut (saluran makanan) pada 19 September tiga tahun lalu.
"Jika diikutkan, sudah dua kali Aqil berdepan prosedur pembedahan. Pada masa sama, kedua-dua tangannya masih tidak boleh diluruskan, manakala jari tangan dan kaki bengkok," cerita ibu berusia 41 tahun itu.
BACA JUGA Suami meninggal ketika hamil, ibu tunggal jadi ketua keluarga sara 6 anak
Kepada penulis, suri rumah itu terus berkongsi rasa pilunya yang sukar untuk dibendung lagi.
Ujar dengan nada penuh sebak, mereka sekeluarga tidak menduga anak bongsu daripada tiga beradik itu diuji musibah cukup besar, sedangkan sepanjang kehamilan, tiada sebarang masalah timbul dan tiada alahan yang teruk terjadi.
"Berbanding dua anak yang lain, mengandungkan Aqil cukup mudah. Walaupun dilahirkan secara pembedahan dan beratnya cuma 2.2 kilogram, namun semuanya dipermudahkan.
"Semasa lahir, Aqil cukup sifat dan normal. Namun, ketika usianya tiga bulan, saya dan suami mulai perasan jari tangannya tidak mampu menggenggam apa-apa dan semakin membengkok dari hari ke hari,” katanya yang menetap di P59, Felda Ulu Jempol, Jengka, Pahang.
Tidak mahu terus diselubungi tanda tanya, Ros Asroini merujuk seorang pakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang.
Namun, beliau menerima perkhabaran yang memeranjatkan apabila doktor mengesahkan si kecil itu menghidapi penyakit genetik jarang jumpa yang menyebabkan tisu kulitnya tidak sempurna, benjolan pada kepala, telinga dan dada selain muncul ketumbuhan.
"Saya dan suami memang terkejut dan terpinga-pinga sebab tidak tahu apa sebenarnya penyakit yang dialami Aqil. Selepas doktor jelaskan, saya hanya mampu terdiam dan termenung panjang. Sedih memang sedih, namun saya kena reda dengan ketentuan takdir. Saya perlu kuat demi Aqil dan menjaganya penuh kasih tanpa membeza-bezakan dengan anak yang lain," katanya.
Terkini, ujar suri hati kepada Nordin Jasni, 41, itu, keadaan putera bongsunya semakin baik dan sudah pandai ‘berbual’.
"Jika sebelum ini bengkak pada mulut membuatkannya susah untuk bercakap, kini Aqil sudah banyak nak bersembang, tetapi dengan bahasa dialah. Saya yang selalu di sampingnya faham apa yang dikatakan berbanding orang lain.
"Sekarang ini, Aqil masih bergantung kepada tiub. Hanya makan biskut, roti dan mi sahaja kerana kurang gemar makan nasi,” katanya sambil memberitahu anaknya juga masih bergantung kepada mesin penyedut kahak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan
Mohon sumbangan
Meskipun tidak mampu berjalan waima berlari seperti kanak-kanak lain, namun Ros Asroini sentiasa mendoakan keajaiban buat anaknya.
"Doktor pun kata, penyakit Aqil ini sudah tiada penawarnya dan akan cacat seumur hidup. Namun, siapalah kita mahu menidakkan ketentuan ILAHI? Cuma saya mengharapkan Aqil diberikan kesembuhan dan sakitnya tidak bertambah kritikal.
"Bukan apa, ketumbuhan pada gusi dan mulutnya tetap akan muncul walaupun sudah dibuang. Begitu juga benjolan yang semakin hari semakin membesar.
"Namun, saya tidak pernah berhenti berharap satu hari nanti Aqil tidak perlu menanggung sakit lagi," katanya yang sudah menitiskan air mata.
Menyentuh tentang kos rawatan yang berterusan, wanita tabah itu memang rungsing.
Masakan tidak, berapa sangatlah gaji suaminya yang berkerja sebagai buruh binaan kampung.
"Pendapatan suami pun tak menentu. Saya pula tidak bekerja kerana menguruskan anak-anak dan hanya bergantung kepada suami semata-mata.
"Kadang-kadang, kalau ada temu janji rawatan di HKL, kami terpaksa berulang alik. Pada saat betul-betul tersepit nak menanggung semuanya, adakalanya tiba-tiba ALLAH datangkan insan berhati mulia membantu meringankan beban kami,” tuturnya penuh kesyukuran.
Kepada pembaca SinarPlus yang ingin membantu adik Aqil dan keluarga yang sedang diuji dengan dugaan hebat itu, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan dana sumbangan terus ke akaun Bank Rakyat 220301411912 (Nordin Jasni).
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan
- ARZIANA MOHMAD AZAMAN