ADHD bukan kerana gajet, telefon bimbit atau sebab salah didikan ibu bapa! Ini penjelasannya

Iklan
Untitled design - 2022-07-02T113322.100

APABILA wajah muka depan SinarPlus, Diyana Hashim, 33, secara terbuka mendedahkan beliau menghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), kami kemudian mengembangkan skop konten ke ruangan Medik pula.

Ketika diwawancara sebelum ini, penyampai radio Traxx FM itu telah didiagnos dengan ADHD pada tahun 2018 iaitu ketika berumur 29 tahun. Sedangkan, lazimnya gejala penyakit itu sudah boleh dikesan pada usia 12 tahun atau seawal tiga tahun lagi.

Iklan
Iklan

Baca juga Dapatkan jurupulih pertuturan untuk bantu perkembangan anak autisme, jangan biarkan mereka begitu sahaja

Seperkara, ramai yang menyimpulkan bahawa krisis kesihatan berkenaan sama dengan autisme termasuk isu kegagalan ibu bapa mendidik cahaya mata mereka dengan baik punca ADHD terjadi.

Iklan

Adakah terdapat kebenaran di sebaliknya? Justeru, SinarPlus mendapatkan Pakar Psikiatri, Kuliyyah Perubatan, Universiti islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria.

Iklan

Ujar Dr Rozanizam, ADHD merupakan antara masalah gangguan perkembangan saraf yang berlaku kepada kanak-kanak pada fasa perkembangan mereka.

Berkongsi statistik global, satu dalam 20 orang atau 5 peratus golongan itu berdepan dengan situasi tersebut. Di Malaysia pula, sekitar 1.6 hingga 4.6 peratus.

"Kajian juga menunjukkan kanak-kanak lelaki lebih lazim menghadapi masalah ini iaitu pada kadar tiga hingga empat kali ganda lebih ramai berbanding kanak-kanak perempuan," katanya.

Jelas beliau, meskipun mempunyai perkaitan sejarah keturunan yang kuat iaitu kira-kira 76 peratus, namun tiada spesifik jenis gangguan genetik yang telah dikenal pasti sebagai penyebab ADHD.

Pakar itu turut menegaskan, biarpun ada yang mengandaikan ADHD terjadi kerana kesan gajet dan media berskrin kepada kanak-kanak, tetapi tiada kajian yang konklusif menyokong fakta tersebut.

"Ini samalah juga seperti mitos bahawa ADHD berlaku kerana ibu bapa yang salah mendidik anak. Hakikatnya, ia terbukti merupakan gangguan biologi yang berlaku pada saraf otak sewaktu fasa perkembangan anak," terangnya.

ADHD vs autisme

Mengulas lanjut, Dr Rozanizam memberitahu, gejala ADHD terbahagi kepada dua iaitu hiperaktif atau impulsif dan kurang tumpuan.

"Bagi si kecil yang hiperaktif, biasanya mereka akan nampak terlalu bersemangat, bercakap berlebihan, sukar untuk menunggu giliran, tidak dapat duduk tenang, menghentakkan tangan atau kaki dan selalu gelisah.

"Selain itu, mereka juga tidak dapat duduk untuk waktu lama, suka berlari atau memanjat dalam situasi yang tak sesuai, tidak dapat bermain dengan tenang, sukar untuk bersantai, sering mengganggu orang lain dan selalu memberi jawapan sebelum habis soalan," katanya.

Kepada yang termasuk dalam kategori kurang tumpuan pula, ciri-cirinya terdiri daripada mudah terganggu, pelupa, mengabaikan orang lain, tidak mengikuti arahan, tidak dapat menyelesaikan pekerjaan atau tugas di sekolah, kehilangan fokus, mempunyai masalah dengan keteraturan dan mengelak daripada tugas yang memerlukan perhatian panjang.

ADHD juga terbahagi kepada tiga iaitu:

Hiperaktif impulsif: Individu mengalami masalah hiperaktif impulsif yang lebih dominan.

Inattentive: Individu ini berdepan masalah untuk fokus yang lebih dominan.

Kombinasi hiperaktif impulsif dan inattentive: Kedua-dua dominan itu boleh diperhatikan dalam individu tertentu.

Bagaimana pula seseorang yang hanya mengetahui mereka mempunyai ADHD ketika sudah dewasa seperti yang berlaku ke atas Diyana?

Menurut Dr Rozanizam, ADHD dewasa adalah lanjutan gejala yang berlaku pada usia kanak-kanak yang berterusan sehingga mereka meningkat umur.

SinarPlus tidak hanya bertanyakan kepada satu pakar sahaja. Soalan lanjutan turut diajukan kepada Pakar Psikiatri, Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Gayatri K Kumarasuriar.

Mengenai gejala ADHD yang dikatakan mirip dengan autisme seperti sukar untuk fokus dan menghadapi masalah komunikasi, Dr Gayatri membantu memberikan jawapan.

Beritahunya, lebih kurang 20 hingga 50 peratus kanak-kanak yang ada ADHD juga mempunyai ciri-ciri autisme.

Apabila seseorang mempunyai dua masalah itu, cabaran untuk dalam menjaga diri sendiri, berkomunikasi termasuk dari segi kognitif dan sosial lebih berat berbanding mereka yang mempunyai satu diagnosis sahaja.

Pada perkembangan berkaitan, Dr Gayatri juga menyangkal kenyataan yang mengatakan bahawa ADHD adalah 'penyakit orang genius.'

"Kenyataan itu tidak benar. Ada pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan risiko sesorang kanak-kanak mendapat ADHD, contohnya faktor genetik, struktur dan fungsi otak, faktor persekitaran dan kesihatan ibu semasa mengandung.

"ADHD juga boleh wujud sendiri atau pun bersama dengan penyakit lain, contohnya epilepsi (sawan). Sebanyak 30 hingga 80 peratus kanak-kanak yang mempunyai autisme juga miliki ciri-ciri ADHD. Mereka yang mengalami kerencatan akal juga boleh mengalami simptom ADHD. Jadi, pandangan itu tidak tepat," katanya.

Dr Gayatri menambah, lebih kurang 50 hingga 60 peratus kes ADHD akan berlanjutan sehingga ke alam dewasa, tetapi tanpa komponen hiperaktif impusif.

"Masalah ketara di sini adalah cabaran dengan tumpuan untuk jangka masa panjang iaitu inattentive," katanya.

Bersabar

Dari segi rawatan dan terapi, SinarPlus mengambil pendekatan mendapatkan sudut pandang daripada Dr Rozanizam dan Dr Gayatri.

Terlebih dulu Dr Rozanizam berkata, biarpun digelar penyakit hiperaktif, hakikat sebenar ADHD sebenarnya lebih daripada itu. Masakan tidak, ADHD menyebabkan berlakunya gangguan dalam banyak aspek kognitif seorang kanak-kanak seperti memori kerja, daya kawalan kehendak, fungsi eksekutif dan daya kawal emosi.

"Justeru, langkah pertama sudah tentu bermula dengan melakukan penilaian dan pengesahan diagnosis oleh pakar. Ini penting bagi mengenalpasti masalah sebenar anak.

"Terapi yang dijalankan oleh jurupulih cara kerja di hospital dan pusat kesihatan adalah antara bentuk sokongan berterusan yang perlu diberikan. Selain itu, modifikasi dan adaptasi oleh guru dan ibu bapa juga merupakan elemen yang sangat penting dalam memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dalam proses pembelajaran," katanya.

Sebagai contoh, kanak-kanak perlu diberi arahan yang jelas, ruang dan masa untuk bergerak aktif di antara sela waktu, pembahagian tugas dan dorongan yang berterusan untuk setiap aktiviti.

Kata pakar itu lagi, ibu bapa juga perlu diberi penerangan yang jelas tentang peranan ubat-ubatan seperti methylphenidate dan atomoxetine yang terbukti berkesan dalam banyak kes, terutama pada kanak-kanak dalam fasa persekolahan.

"Kajian telah membuktikan bahawa lebih dua pertiga kes yang dirawat dengan ubatan memberi kesan yang positif kepada mereka," katanya.

Dr Gayatri turut senada dengan Dr Rozanizam. Kata pakar wanita itu, semua pihak harus faham bahawa semua kanak-kanak ADHD adalah unik dari segi personaliti masing-masing.

"Ibu bapa dan guru kena mengetahui apa yang mereka minat dan mencipta cara-cara untuk menarik minat si kecil. Kena banyak bersabar, memang agak mencabar menjaga kanak-kanak ini, tetapi kita kena faham mereka tidak berkelakuan sedemikian sebab nakal. Jangan putus harapan.

"Mereka juga perlu memahami rentak anak-anak dan mencari cara kreatif untuk menarik perhatian mereka. Sebenarnya, ramai kanak-kanak yang ada ADHD memang pandai, tetapi mendapat markah yang rendah sebab fokus terjejas," katanya.

Seperkara, mak ayah dinasihatkan mengelak memberi diagnosis sendiri kepada anak-anak mereka.

Dapatkan nasihat daripada pakar psikiatri atau pakar psikologi kanak-kanak yang sedia membantu dan memberi sokongan.

Ubat memang diperlukan untuk jangka masa yang panjang - Sophia

RUSNI SYAFIYA mengakui, beliau hanya mendapatkan rawatan menangani Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dengan pakar psikiatari ketika berusia 33 tahun.

Meskipun sudah didiagnos mengalami ADHD sejak zaman sekolah lagi, kurangnya pengetahuan mengenai penyakit hiperaktif itu menyebabkan dirinya culas.

Sukar untuk menolak rasa pilu yang bersarang dalam hati, wanita yang mahu disapa sebagai Sophia itu bagaimanapun reda.

"Ya, siapa yang tak sedih apabila berlainan dengan orang lain? Namun, saya sentiasa berkata kepada diri saya supaya tidak menjadikan ia satu masalah besar dalam kehidupan yang sedang saya jalani sekarang," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran menjadi pesakit ADHD, Sophia kadangkala sukar mengawal tingkah laku sendiri sehingga menyebabkan beliau tidak disenangi orang sekeliling.

Selain itu, peniaga online produk syampu itu memberitahu, ketika melakukan sebarang tugas, dirinya sukar untuk fokus, pelupa, kaki dan tangan sentiasa bergerak walaupun sedang baring atau duduk.

"Dalam satu peringkat, akan berlakunya fasa hiperfokus yang mendorong saya sukar untuk berhenti daripada melakukan sesuatu kerja," ceritanya.

Ketika ini, Sophia masih merujuk dengan pakar di hospital. Beliau turut dibekalkan dengan ubat terkawal iaitu Concerta.

"Dalam kes saya, doktor beri sustained release yang bertahan 10 hingga 12 jam disebabkan saya mempunyai tanggungjawab harian. Ubat memang diperlukan untuk jangka masa yang lebih panjang," katanya sambil memberitahu, tiada ahli keluarganya yang lain menghidap ADHD.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan