NAMA Dr Zulfati Izazi Zulkifli menjadi fenomena seketika apabila pencapaian hebat beliau menjadi bualan ramai.
Empunya diri sewajarnya menjadi bahan berita lantaran kejayaan wanita itu menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang linguistik pada usia 29 tahun.
Barangkali pada tingkat umur tersebut sebahagian daripada kita tidak sabar untuk membina kerjaya. Pun demikian, Dr Zulfati Izazi atau mahu disapa sebagai Dr Izazi berkecondongan untuk mengejar infiniti ilmu yang tiada batas. Intensiti yang ditonjolkan beliau sangat dikagumi ramai.
[caption id="attachment_87576" width="602"] Pakej lengkap... cantik, bijak sukses.[/caption]
Justeru, selayaknya SinarPlus mengabdikan coretan kisah penuh inspirasi personaliti kelahiran Kuala Lumpur itu sebagai penghias wajah muka depan minggu ini.
Berhubung dengan beliau secara maya dari Seoul, Korea Selatan, Dr Izazi memberitahu, beliau kini sedang meniti pengalaman bertugas sebagai pensyarah di Hankuk University of Foreign Studies.
Membelah awan biru dengan jarak 4,611 kilometer dari Kuala Lumpur ke Seoul, beliau berbesar hati menumpahkan segala ilmu di dada dengan mengajar kursus-kursus berkaitan Bahasa Melayu kepada para pelajar Ijazah Sarjana Muda di universiti berkenaan.
Melihat susur-galur Dr Izazi memang menarik untuk ditelusuri. Rumusan awal penulis memperlihatkan tuan punya badan memang cenderung untuk menguasai dunia linguistik (ilmu tentang bahasa).
Baca ni: Inspirasi! Dr Izazi terima PhD pada usia 29 tahun kini pensyarah di Korea Selatan
Selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, wanita yang baru sahaja menamatkan zaman bujang kemudian menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Linguistik).
Seusai itu, tingkat pengajian diteruskan dengan mengikuti Masters Pengajian Bahasa (2015 hingga 2017) di Universiti Sains Malaysia (USM).
Beberapa bulan berkhidmat sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Malaya, Dr Izazi tanpa menoleh ke belakang mengorak langkah untuk memperluaskan kapasitinya dalam bidang linguistik dengan menjadi pelajar PhD.
Benar kata pepatah, kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Tangga usia yang masih muda ternyata bukan jurang untuk bersama rakan sekuliahnya yang lebih ‘senior‘ untuk menggali pengetahuan bersama-sama.
PECINTA BAHASA
Soroton kisahnya yang berpeluang menempatkan diri menjadi sebahagian tenaga pengajar di sebuah universiti terulung di Korea memang menjadi tumpuan utama.
Justeru, soalan bagaimana tuahnya berjaya memasak kerjaya di sana diajukan.
"Sebenarnya begini, saya tidak memilih untuk bekerja di sini, tetapi peluang itu datang tepat pada waktu. Beberapa hari selepas saya lulus viva (penyelidikan lisan yang berkaitan dengan penyelidikan atau tesis) PhD, saya dihubungi oleh bekas penyelia dari sebuah universiti tempatan, tempat yang mana saya pernah bekerja dahulu," ujarnya.
Beliau antara lain ditanya sama ada berminat atau tidak untuk mengajar di Korea Selatan, sebuah negara metropolitan yang kaya dengan budaya, seni, muzik dan terkenal dengan kecanggihan teknologinya.
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pantas anak sulung daripada dua beradik itu menyatakan minat untuk mencuba sesuatu yang baharu.
"Mahu dipendekkan cerita, selepas itu, saya dihubungkan dengan beberapa pensyarah lain untuk proses seterusnya pula.
"Tidak lama kemudian, saya terima surat yang menawarkan jawatan pensyarah asing di sini (Korea) dan saya terus menerima tawaran tersebut."Memandangkan pada waktu itu saya bakal menamatkan pengajian dan perlu memasuki dunia kerjaya pula, kira aturan itu memang cantik. Alhamdulillah, syukur sangat-sangat," ungkap Dr Izazi yang mengakui keluarga terutama ibu dan ayah serta suami merupakan pendorong utama kepadanya untuk melangkah dengan lebih berani dan berkeyakinan lagi.
Daripada pelbagai bidang, anak sulung kepada pelakon Zulkifli Ismail dan Umi Salbiah Abdul Rahman itu mengakui bidang linguistik menjadi opsyen utama.
Alasannya cukup ampuh. Tutur Dr Izazi, perasaan sentiasa ingin tahu tentang bahasa mendorongnya berbuat demikian.
"Kalau diikutkan, saya meminati beberapa bidang lain, namun kemudian saya menyedari bahawa minat saya terhadap bahasa telah timbul sejak saya kecil lagi. Sesungguhnya, Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri," akuinya.
REAKSI PELAJAR KOREA
Ya, menghuni bumi asing dan merantau sendirian bukan satu hal mudah kepada sesiapa pun, termasuk Dr Izazi.
Namun, sebagai seorang yang berprinsip dan bersedia menempuh segala rintangan yang mendatang, cabaran itu disahut.
"Saya mahu mencuba nasib, ini kali pertama saya merantau ke luar negara seorang diri.
"Jadi, saya perlu lebih berdikari dan berani untuk meneroka tempat dan membuat kenalan baharu," ujarnya dengan penuh penegasan.
Seperkara, meskipun petah berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris, Dr Izazi akui tahap penguasaan bahasa Koreanya masih lagi perlu dipertingkatkan.
"Saya tidak nafikan, kekangan bahasa juga menjadi satu tantangan kerana saya tidak pernah belajar bahasa Korea sebelum ini. Bagaimanapun, sejak berada di sini, saya mula belajar secara berperingkat.
"Walaupun pengetahuan bahasa Korea saya sedikit, ia sebenarnya telah banyak membantu melancarkan kehidupan seharian saya di sini," ujar peminat setia pereka fesyen, Dian Pelangi itu.
Rasanya tidak sah seandainya penulis tidak bertanyakan pengalaman sepanjang menjadi pensyarah kepada sejumlah pelajar Korea Selatan yang mengambil Bahasa Melayu sebagai bahasa asing mereka.
MISI SERAMPANG DUA MATA
Dr Izazi dengan rasa teruja memberitahu, kesemua anak didiknya cukup menghormati guru dan memiliki sifat kosopanan dan tatatusila yang tinggi.
"Pernah ada pelajar yang memberikan tunduk hormat kepada saya dengan bersungguh-sungguh, walaupun ketika itu dia ternampak saya jauh di seberang jalan," katanya.
Mengenai tahap kecenderungan atau dengan kata mudah minat pelajar-pelajar Korea terhadap bahasa Melayu, beritahu wanita penuh pesona itu:"Alhamdulillah, mereka menunjukkan minat yang tinggi terhadap bahasa ibunda yang kita sanjungi ini. Mereka juga sentiasa memberi kerjasama yang baik ketika proses pembelajaran berlangsung."
Sehubungan itu, bagi memastikan momentum itu sekata atau lebih bercambah, Dr Izazi berusaha untuk menyusun bahan pengajian agar lebih interaktif, merangsang minda, menyeronokkan, menarik lagi bersesuaian.
Beliau juga melaksanakan misi serampang dua mata dengan memperkayakan pengetahuan tentang Malaysia dalam sesi pembelajaran.
PJJ
Setelah banyak bercerita tentang itu dan ini, penulis memberanikan diri menyoal tentang perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan suaminya setelah mengetahui beliau bersendiri di negara yang dihuni lebih 52 juta penduduk itu.
Bergelar suri hati kepada Dr Md Yushalify Misro pada awal tahun ini, kedua-dua pasangan sama cantik sama padan tersebut mengambil satu keputusan besar.
"Ya, saya dan suami hidup berjauhan sehingga ke saat ini. Saya masih di Korea, sementara suami yang juga seorang pensyarah matematik di USM sedang berkhidmat sebagai penyelidik jemputan di Shizuoka University, Jepun.
"Bergelar pasangan PJJ semestinya menjadi satu cabaran untuk kami. Walaupun agak sedih, kami sedar keperluan untuk berjauhan ini juga merupakan peluang untuk mengejar cita-cita. Oleh itu, saya dan suami cuba untuk kekal kuat dan saling memberikan semangat kepada satu sama lain," katanya.
Menariknya tentang Dr Izazi dan Dr Md Yushalify, mereka berhubung secara online bukan sekadar untuk bersembang, tetapi menonton dan bermain permainan dalam talian bersama.
"Komunikasi penting supaya kita tetap rasa dekat dengan pasangan walaupun terpisah secara fizikal. Apa yang kami lakukan setiap minggu adalah menonton filem dan drama melalui Netflix.
"Selain itu, kami juga suka bermain catur. Terima kasih kepada aplikasi catur dalam talian, kami tetap boleh bermain bersama-sama walaupun jauh nun di sana," ujar Dr Izazi yang ingin menimba pengalaman sebaiknya sebelum kembali berkhidmat di Malaysia.
Sebelum perbualan ditamatkan, penulis sempat mengorek tip yang beliau akan praktikkan jika berada dalam situasi tertekan.
Tidak lokek berkongsi amalan, wanita penuh iltizam dan sentiasa berfikiran positif itu berkata, dirinya akan melakukan senaman yang boleh membantu melapangkan fikiran seperti yoga. Selain itu, aktiviti berjalan kaki juga dipraktikkan.
"Saya juga mengambil makanan seperti coklat dan aiskrim sambil menonton filem atau drama kegemaran saya. Kalau perlu, saya akan tidur. Kemudian saya akan melihat semula punca stres dan cuba menyelesaikannya mengikut kemampuan," ujarnya lagi.
Sumber gambar: Instagram @zulfatiizazizulkifli
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.