PELAKON Zarina Zainuddin berdepan detik cemas apabila tayar kereta yang dipandunya tiba-tiba pecah ketika dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Lumpur pada Rabu.
Zarina yang ketika itu bersama ibu dan salah seorang anak kembarnya, Muhammad Razil Azrai atau Azil, berkata, kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba ketika hujan lebat.
"Masa pergi okay, masa balik hujan lebat. Saya tak bawak laju sebab bawa anak dengan mak bersama.
"Ketika tayar meletop, tepi belah kiri ada lori. Kereta saya dah hilang kawalan, saya pegang stering kuat-kuat dan hanya mampu menjerit. Tayar tu dah terbelah, tapi masih lekat pada rim.
"Nasib baik masa kejadian tak ada kereta atau lori belakang kereta. Saya terus halakan stering kereta ke bahu jalan rapat-rapat,” katanya menerusi perkongsian yang dilakukan di laman Instagram.
Tambahnya, mereka bertiga terpaksa bertahan di dalam kereta sehingga bantuan tiba kerana keadaan di tepi lebuhraya itu tidak selamat.
Ibu kepada empat anak itu bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila semuanya selamat selepas mendapat bantuan daripada pihak berkenaan.
Jelas Zarina, kunjungannya ke Ipoh, Perak adalah bertujuan untuk berjumpa ibunya kerana terlalu rindu.
"Saya sampai rumah dengan selamat. Sesampai di rumah ingat nak mengadu dengan suami, akhirnya kena marah. Suami cakap saya suka buat satu benda tu tanpa perancangan.
"Sebenarnya saya terlalu rindukan ibu dan curi-curi masa ke sana kerana kebetulan saya ada kelapangan,” katanya.
(FOTO: Instagram Zarina Zainuddin)