BIARPUN fokus utamanya pada bidang nyanyian, Siti Nordiana tidak menolak untuk lebih kerap tampil dalam bidang lakonan, sekali gus memenuhi permintaan peminat yang mahu melihat dirinya turut aktif sebagai pelakon.
Bagi Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana, dunia lakonan diakui sebagai satu cabang seni yang memberikan banyak pengalaman baharu buatnya.
Namun disebabkan kekangan waktu dan jadual kerja yang padat dengan aktiviti nyanyian, penyanyi lagu Angkara itu terpaksa menolak banyak tawaran lakonan, selain bersikap lebih selektif dalam menerima tawaran.
"Keutamaan saya adalah kepada bidang nyanyian, jadi tawaran lakonan hanya diambil apabila saya tidak sibuk atau terikat dengan aktiviti melibatkan nyanyian seperti rakaman lagu, persembahan pentas, acara hiburan dan sebagainya.
"Mungkin dalam setahun saya hanya dapat berlakon satu atau dua drama sahaja. Itupun terpaksa bersikap selektif dan hanya terima tawaran yang memberi watak berbeza kepada saya.
"Bagi saya lakonan adalah satu bonus untuk mencuba pengalaman baharu, selain memenuhi permintaan perminat yang rindu dan mahu tengok saya lebih banyak muncul dalam drama,” katanya.
Terbaru, bintang berusia 38 tahun itu tampil menerusi drama Selamanya Suri Cinta bergandingan dengan Sham Visa yang kini sedang hangat ditayangkan pada setiap Khamis dan Jumaat, jam 9.30 malam, di TV9.
Mengulas pembabitannya dalam drama 20 episod terbitan Suhan Movies itu, Nana mengakui tertarik dengan kelainan watak Wanda yang diberikan kepadanya.
"Saya memegang watak sebagai Wanda, seorang wanita yang ego, tegas, garang dan sangat dominan dalam rumah tangga.
"Bukan mudah untuk saya jayakan watak ini kerana ia memerlukan emosi yang mendalam, selain karakternya yang cukup berbeza dengan diri saya yang sebenar. Memang agak mencabar bila saya kena buat aksi pukul anak, marah-marah dan sebagainya.
"Bagaimanapun saya bertuah kerana digandingkan dengan barisan pelakon berpengalaman seperti Fahrin Ahmad, Farahdhiya dan Sham Visa yang sangat membantu selain, mudah bekerjasama,” katanya.
Jadual Padat
Nana sebelum ini pernah tampil dalam drama Dia Semanis Honey, Klik! Pengantin Musim Salju, Cekelat semanis Honey, Satukan Rasa dan lain-lain.
Menariknya kebanyakan drama lakonan ibu kepada seorang anak lelaki ini mendapat sambutan ramai, malah sering trending di media sosial.
"Memang seronok tengok reaksi peminat yang suka dan sentiasa tunggu lakonan terbaharu saya. Saya juga suka berlakon dan mungkin akan mempertimbangkan lebih banyak tawaran lakonan selepas ini jika watak dan masanya bersesuaian.
"Bagaimanapaun saya kena aturkan jadual kerja sebaik mungkin. Ini kerana perancangan kerjaya selalunya telah disusun dalam tempoh setahun dan saya tidak mahu ia menganggu jadual sedia ada.
"Dalam masa sama, saya juga tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak yang terpaksa mengikut jadual saya jika berlaku sebarang pertindihan waktu dan sebagainya,” katanya.