MENGAKUI tidak mudah untuk menempatkan diri dalam industri seni, penyanyi Fieya Julia sentiasa bersikap terbuka dalam mendepani segala cabaran yang mendatang.
Percaya diri dan positif dalam apa juga yang dilakukan, pemilik nama sebenar Nur Syafiah Sejali, 23, tidak pernah putus harapan untuk terus berkongsi bakat nyanyian yang dimiliki kepada umum.
Biarpun single pertamanya, Perasaanku mendapat perhatian ramai, diikuti dengan beberapa lagu lain seperti Penantian dan Seperti Ini, anak kelahiran Sarawak ini akur apabila kehadirannya masih terlihat asing dalam industri.
"Memang saya akui sebelum ini ramai yang lebih mengenali nama dan lagu-lagu nyanyian saya berbanding diri saya sendiri.
"Saya tidak kisah dengan situasi itu kerana bagi saya apa yang penting lagu saya sentiasa dimainkan di radio dan diterima ramai.
"Biarpun berdepan dengan banyak cabaran untuk membina nama, saya bersyukur kerana masih terus dapat peluang menghasilkan single demi single termasuk lagu-lagu cover untuk peminat,” ujarnya.
Menurut Fieya yang juga merupakan peserta program Big Stage musim kedua itu, selepas pandemik Covid-19 semakin reda, beliau kembali merencana kerjaya nyanyiannya dengan sebaik mungkin.
Terbaru, anak bongsu daripada tiga beradik itu bakal tampil dalam siri Jelajah 90 Suria yang akan berlangsung di empat lokasi terpilih seluruh negara sepanjang Ogos ini.
Melihat siri persembahan tersebut sebagai satu peluang untuk beliau kembali aktif di pentas persembahan dan menghiburkan peminat secara bersemuka, Fieya berharap segala perancangan yang diatur berjalan lancar.
"Saya sangat teruja dan berterima kasih kepada Suria FM kerana memberikan peluang ini. Insya-ALLAH ia akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Apatah lagi apabila persembahan tersebut juga turut disertai artis-artis era-1990an yang pastinya akan memberi pengalaman yang menyeronokkan.
"Kebetulan saya juga saya bakal tampil dengan single rakaman semula lagu Butakah Cinta, nyanyian asal kumpulan Spring yang akan menemui peminat dalam masa terdekat,” katanya.
[caption id="attachment_89019" width="800"] Fieya bakal tampil dalam siri Jelajah 90 Suria yang akan berlangsung di empat lokasi terpilih seluruh negara sepanjang Ogos ini. - FOTO: SURIA FM[/caption]
Ditanya tidakkan beliau pernah berasa kecewa apabila populariti masih belum menyebelahi dirinya secara total berbanding rakan-rakan seangkatan yang berjaya mencari pengaruh dalam masa singkat, Fieya lantas ketawa kecil.
"Tipulah kalau saya kata tidak pernah kecewa. Biarpun bukan itu yang menjadi keutamaan, tetapi saya tidak nafikan ia menyumbang kepada perjalanan kerjaya seni.
"Apa-apa pun saya percaya kepada usaha dan rezeki. Jadi saya akan terus berusaha untuk bergerak ke depan mencari peluang.
"Apatah lagi selepas tampil berhijab sejak tahun lalu, ramai yang fikir saya akan memperlahankan aktiviti seni, hakikatnya saya semakin bersemangat merencana kerjaya seni ke tahap lebih baik,” ujarnya yang turut menjanjikan single baharu berbeza genre selepas penghasilan single cover Butakah Cinta.
Masih aktif live streaming
Tidak hanya mahu fokus kepada bidang seni, beliau juga mengakui turut aktif dalam aktiviti permainan atas talian (live streaming) yang mula diceburinya sejak dua tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.
"Pada awalnya saya berjinak-jinak dengan live streaming hanya untuk suka-suka dan sebagai hobi baharu ketika pandemik.
"Tidak sangka pula ia dapat menjana pendapatan, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan saya yang ketika itu tidak mempunyai sebarang tawaran kerja.
"Bermula hobi, lama-lama saya jadi seronok dan aktif secara sepenuh masa. Teruja dapat kenal ramai orang dan belajar benda baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Fieya berkata, platform tersebut juga digunakan untuk memperkenalkan diri dan lagu-lagu nyanyiannya.
"Saya melihat ia sebagai satu platform yang baik untuk memperkenalkan diri saya pada peminat baharu yang berbeza latar belakang.
"Saya akui ada yang lebih mengenali saya sebagai streamer berbanding penyanyi kerana mereka berkenalan dengan saya di alam maya.
"Jadi bila ada peluang, saya juga akan memperkenalkan lagu-lagu saya dengan menghiburkan mereka ketika sesi rehat live streaming,” akhirinya.
(FOTO: SURIA FM)