Natasha Elyzza belajar daripada kesilapan

Iklan
NATASHA ELYZZA

SETIAP manusia pastinya tidak pernah terlepas melakukan ­kesilapan­. Daripada kesilapan itu, kita biasanya belajar untuk berubah lebih matang.

Begitu jugalah kisahnya dengan pelakon berbakat, Natasha Elyzza yang pernah terpalit dengan kontroversi beberapa tahun lalu.

Iklan
Iklan

Dek kontroversi itu jugalah, nama Natasha, 28, perlahan-lahan menghilang dan dilupakan.

Namun berkat doa dan kesabaran, pemilik nama penuh Natasha Elyzza Rohishim ibarat mendapat peluang kedua untuk membuktikan bakatnya.

Iklan

Akui Natasha yang mula menyertai industri seni sejak tahun 2013, kontroversi video menari di salah satu aplikasi yang pernah tular sebelum ini sedikit sebanyak menjejaskan namanya sehingga ‘digam’ daripada dunia lakonan.

"Dua tahun juga saya tidak bekerja, kemudian diikuti pandemik. Memang saya rasa lost, kecewa dan ingat tiada lagi peluang untuk berlakon.

Iklan

"Kebanyakan yang nak ambil saya, pasti ada stigma ‘tak perlulah nanti dia buat hal’. Bagaimanapun, alhamdulillah peluang itu datang sedikit demi sedikit sejak tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Remang.

Tambah Natasha, apa yang berlaku sebelum ini mematang dan mengubah dirinya untuk menjadi lebih baik.

Bahkan pelakon yang mula menyerlah menerusi drama Isteri Separuh Masa dan M.A.I.D itu tekad untuk membuktikan kemampuan diri selepas ini.

"Saya nak buktikan untuk menjadi lebih baik dan bukan macam dulu lagi. Sejujurnya saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku sebab kalau tak jadi semua itu, saya tidak mungkin jadi lebih matang.

"Perlahan-lahan saya belajar cara bercakap dengan orang. Dulu saya tak fikir sebelum bercakap. Bukan itu sahaja, ia juga menyedarkan saya untuk lebih berhati-hati memilih kawan,” jelasnya.

Natasha berkata, dia sangat berterima kasih kepada penerbit dan pengarah popular, Michael Ang yang tidak putus-putus memberi kata semangat dan membantunya untuk bangkit.

"Sejak awal saya ‘jatuh’, Michael banyak memberikan kata-kata semangat dan cuba untuk membantu saya.

"Walaupun susah untuk selitkan nama saya, dia tetap juga cuba bagi sekecil-kecil peranan, sehingga saya diberi peranan besar dalam The Hotel tahun lalu,” ujarnya yang kini membintangi drama Jodohku Babysitter.

Diganggu

Dalam pada itu, berkongsi pembabitannya­ dalam drama bersiri Remang, Natasha berkata, naskhah itu membawakan kompilasi cerita-cerita seram dengan setiap episod berbeza.

[caption id="attachment_89196" width="800"] Dari kiri : Natasya Elyzza, Hariff Ahamat (penerbit), Emma Maembong dan Chacha Maembong antara pelakon yang membintangi Remang.[/caption]

Selain Natasha, drama tersebut turut dibintangi Syafie Naswip, Azrel Ismail, Emma Maembong, Chacha Maembong, Aween Ismail dan ramai lagi.

"Episod saya adalah Pakcik Tumpang, mengisahkan tentang entiti yang menyerupai saya dan mengikut kawan-kawan saya untuk melakukan kerja kursus.

"Penggambaran drama ini dilakukan di sebuah banglo tinggal dan tempat itu memang keras. Saya berdepan dengan pengalaman diganggu seperti mendengar orang menangis dan rasa tidak sedap badan.

"Kru pula ada dengar suara orang dan macam-macam perkara mistik lain lagi,” katanya yang bersetuju menerima naskhah seram untuk mencuba menjadi pelakon versatil.