KUTU beras ini memang selalu kita jumpa dalam beras atau tepung, terutamanya yang dah disimpan lama.
Walaupun kecil, serangga ini boleh mengunyah plastik dan juga kertas dengan mudah. Tidak mungkin untuk membuang satu bekas beras hanya disebabkan kutu beras.
Daripada membazir, lebih baik amalkan petua ini untuk mengatasi kehadiran kutu beras. Petua ini bukan sahaja mudah dan berkesan malah selamat digunakan.
1. Daun pandan
Daun pandan adalah antara herba yang mengeluarkan aroma yang kuat dan tidak digemari oleh kutu beras. Selain itu, ia dapat mewangikan beras anda.
Anda juga boleh meletakkan ‘bay leaves’ atau daun salam. Tapi, pastikan daun ini kering sebelum dimasukkan ke dalam bekas.
2. Daun limau purut
Daun limau purut juga mengeluarkan aroma yang kuat dan sekali gus menyahkan bau hapak pada beras. Walaupun ia wangi untuk kita, kutu beras amat tidak selesa dengannya.
Untuk kesan yang lebih efektif, masukkan daun ini di bahagian atas, tengah dan bawah bekas simpanan beras supaya kutu beras dapat diusir dengan cepat!
3. Asam keping
Satu lagi bahan yang tidak digemari oleh kutu beras adalah asam keping atau asam gelugur kering. Caranya mudah, cuma letakkan beberapa asam keping dalam bekas beras yang bertutup dan ia sudah cukup membuat kutu beras berasa tidak nyaman. Selain itu, boleh juga menggunakan daun asam jawa dengan cara yang sama.
4. Kulit kayu manis
Caranya mudah, masukkan saja beberapa kulit kayu manis ke dalam beras. Aromanya yang kuat tidak akan menjejaskan rasa beras, malah turut mewangikan lagi beras anda.
5. Cili kering
Antara cara hilangkan kutu beras yang paling selalu dipraktikkan adalah dengan menggunakan cili kering. Caranya, potong cili kering kepada dua dan letakkan dalam beras anda.
Rasa pedas dan panas ini tentunya akan menjadikan kutu beras tidak selesa. Namun, pastikan anda menggantikan cili kering ini apabila baunya semakin menghilang.
6. Jemur bawah matahari
Jika anda mendapati terlalu banyak kutu beras dalam beras tersebut, anda boleh cuba cara ini. Mula-mula, letakkan cili kering dan jemurkan beras di bawah matahari terik.
Kutu beras akan berpusu-pusu keluar daripada beras. Lebih elok kalau diletakkan semua beras atas dalam dulang yang leper.
Kemudian, setelah beberapa minit, gembur-gemburkan beras supaya kutu beras tidak boleh bersembunyi di balik timbunan beras.
Selamat mencuba!
PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: CANVA, FACEBOOK