BAJU ketat, seksi dan terdedah sana sini. Itulah penampilan penyanyi Zizi Kirana suatu ketika dahulu.
Sedangkan pantai boleh berubah, inikan pula hati manusia. Demikian juga dengan penyanyi bersuara serak-serak basah itu.
Daripada seorang wanita yang pernah berpenampilan berani, pemilik nama sebenar, Nur Fazelah Mad Tahil kini menyejukkan mata ramai yang memandang usai tampil dengan imej seorang Muslimah.
Perubahan isteri kesayangan, Yusuf Bahrin ternyata meraih perhatian ramai.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, Siti Suryani Yaakop, beliau begitu tersentuh dan kagum dengan langkah berani Zizi dalam menutup aurat dengan cara yang betul.
Beliau antara lain berkata:"Beliau cantik. Masya-ALLAH. Sungguh. Dari dahulu pun, beliau memang cantik. Sekarang tukar pakaian. Beliau ubah semua. Daripada saiz paling kecil menjadi baju paling besar.
"Apakah dengan mengubah, pakai baju gedobos itu beliau jadi tidak cantik? Langsung tidak. Cantik juga. Sama macam biasa.
"Kali ini, beliau kata nak jaga maruah suami. Zizi sedar, ada bahu yang selain boleh disandar, bahu itu punya hak untuk dijaga. Jangan dihenyak berat berlebihan ke atasnya."
BAJU BESAR TETAP STAIL
Tambah Siti Suryani lagi, memakai baju besar tidak membuatkan seseorang wanita itu ketinggalan zaman.
"Pakaian besar tidak buat kita hilang kecantikan. Pakaian besar tidak buat kita lemas terbeban. Pakaian besar tidak menjadikan kita lambat melakukan pekerjaan.
"Zizi membuktikan. Tidak akan ada yang kurang dengan pakaian yang lebih. Kita bukan sekadar wanita. Kita adalah duta keluarga," ungkapnya lagi.
Perkongsian tersebut menyentuh hati warga maya. Rata-rata bersetuju dengan penulisan Siti Suryani.
Berikut adalah antara reaksi warga maya:
"Kita ialah duta keluarga. Subhanallah. Terima kasih untuk nota ini."
"Benar sungguh bagai ditulis. Itu yang saya selalu ingatkan kepada anak-anak."
"Individu yang sangat merendah diri. Ibu minat sangat Zizi. Gigih bawa ibu jumpa beliau. Ingatkan Zizi tidak melayan. Sekali beliau peluk cium ibu, sudah macam emaknya sendiri. Pertama kali jumpa artis begini."
"Tuhan tidak mengurangkan rezekinya walau sedikit, biarpun besarnya baju tidak dilihat mengikut trend."
"Pakaian besar dan tertutup tidak bermaksud pemikiran kita tertutup dan tidak pintar."
Untuk pengetahuan semua, Zizi pernah muncul sekali sebagai penghias wajah muka depan SinarPlus.
Untuk segmen Hiburan pula, sudah banyak kali. Apa yang penulis dengar, Zizi seorang yang lemah lembut, mudah beri kerjasama dan tak cerewet.
Maksudnya, kaca mata netizen selari dengan apa yang dilihat oleh pihak media.
Fesyennya juga kini memang menjadi inspirasi. Menutup aurat, tetapi tetap tampak elegan!
Sumber: Facebook Siti Suryani Yaakop
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan