SETELAH sekian lama tidak tampil mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, akhirnya kumpulan popular dari Indonesia, Gigi akan kembali mengubat kerinduan para peminat di Malaysia.
Kumpulan yang dianggotai oleh Armand Maulana selaku vokalis, Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram) itu bakal tampil dengan persembahan istimewa, Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 5 November depan, jam 9 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Tanjak Adventure & Tour yang berdurasi dua jam itu akan menghimpunkan lagu-lagu popular Gigi seperti 11 Januari, Nakal, Pintu Sorga, Janji, Jomblo dan Andai.
Menurut Gigi, mereka sebenarnya sudah lama menunggu masa sesuai untuk bertemu dengan para peminat di Malaysia.
"Sudah lama benar kita semua tidak bertemu. Jadi jangan lupa untuk berjumpa di
Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur pada 5 November ini,” ujarnya.
Gigi sebelum ini pernah beraksi di Konsert Eksklusif bersama Gigi di Menara PGRM, Kuala Lumpur pada tahun 2003, selain terlibat dalam persembahan Sunburst KL International Music Festival pada tahun 2008.
Kumpulan yang mula dikenali menerusi lagu Terbang itu mempunyai ramai peminat di Malaysia kerana sentiasa tampil dengan karya dan persembahan berkualiti terutamanya vokal dan showmanship vokalisnya, Maulana ketika di pentas.
Pegawai Eksekutif Tanjak Adventure & Tour, Azroy Ramli berkata, pihaknya berharap agar penganjuran konsert tersebut dabat mengubat rindu para peminat Gigi di Malaysia..
"Kami sangat berbangga untuk membawakan kumpulan Gigi yang kita tahu diminati kerana skil dan profesionalisme mereka serta lagu-lagu mereka yang hebat.
”Kami mengharapkan kerinduan para peminat dapat terubat pada 5 November ini di Zepp Kuala Lumpur. Kami turut megalu-alukan sambutan para pemuzik yang meminati permainan kumpulan ini,” ujarnya.
Tiket konsert Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur dijual dengan harga antara RM180 hingga RM450 bermula hari ini menerusi laman sesawang www.myticket.asia.