PELAWAK, pelakon dan penyampai radio, Johan tidak menafikan menerima apa sahaja tawaran atas kapasiti bayaran yang berbaloi untuk diterima.
Menurut Johan atau nama sebenarnya Yazid Lim Mohamad Aziz, sebagai bapa kepada enam orang cahaya mata, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mencari rezeki buat keluarga.
Apatah lagi bagi lelaki berusia 38 tahun itu, segala rezeki yang datang adalah berkat doa anak-anaknya.
"Saya ada enam anak, isteri, banyak mulut saya nak suap. Kalau rasa ia berbaloi (bayaran yang ditawarkan), saya akan terima.
"Ini semua (tawaran kerja) rezeki anak-anak saya yang sering doakan bapa mereka. Tak adil jika saya dapat rezeki tetapi tak ada bahagian untuk mereka.
"Doa saya, 'Ya Allah, murahkanlah rezekiku'. Tapi doa itu mungkin tidak diperkenankan sebab ada kesilapan yang saya buat. Tetapi doa anak-anak saya tiada hijab dan terus diangkat.
"Pada saya, setiap rezeki yang diperoleh, adalah rezeki anak-anak. Saya sebagai bapa hanya mengagihkan sahaja di samping kegunaan saya,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Biarpun mungkin ada beranggapan dia mementingkan wang ringgit, namun Johan yang kini penyampai Hot FM itu mempunyai visi berbeza.
"Kalau jalan pun kena naik taraf, manusia juga kena begitu. Saya sendiri pernah cakap pada pekerja saya, kalau awak dapat tawaran waima lebih RM20 daripada gaji sekarang, pergi.
"Kita perlu sentiasa naik taraf hidup dan tidak berada selamanya di takuk lama."Lagipun saya sudah ada rumah, kereta dan harta akhirat, isteri, anak. Bila cari duit, saya ini sebagai pengantara rezeki anak-anak sahaja," ujarnya.
Kembali bersama Zizan
Dalam pada itu, mengulas penglibatannya dalam filem Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof, Johan mengakui ramai yang meluahkan rasa teruja melihat dia kembali bergandingan bersama Zizan.
[caption id="attachment_91389" width="800"] Gandingan Johan dan Zizan dirindui ramai.[/caption]
Bagaimanapun berbeza dari dunia realiti, filem yang turut dibintangi Elizabeth Tan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Shuib, Kazar, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir dan Khir Rahman akan menyaksikan mereka sebagai musuh.
"Dalam filem ini, kami berperanan sebagai musuh dan banyak babak dengan dia. Paling susah tentu sekali babak berlawan.
"Tetapi kelebihan Zizan menutup kekurangan saya dan begitu juga kelebihan saya menutup kekurangan dia.
"Walaupun kami ada keserasian itu, tapi bukan mudah untuk kekalkan dalam sesebuah naskhah kerana watak berbeza," tutur Johan yang turut bergandingan dengan Zizan dalam filem Baik Punya Along arahan Datuk Afdlin Shauki.
Johan berkata, apa yang diharapkan adalah penonton dapat menerima wataknya dan Abang Long Fadil 3 menjadi filem yang lebih baik daripada sebelumnya.
"Apa yang boleh dikatakan, saya cuba pastikan setiap babak melibatkan saya meninggalkan impak kepada penonton," katanya.