Hazel Desmond bangga menjadi 'frontliners' sampaikan mesej nasionalisme sempena Hari Malaysia

Iklan
20220916_101916_0000

PADA Jumaat lalu, sambutan Hari Malaysia disambut dengan penuh keterujaan dengan semangat patriotisme dan yang menyala-nyala.

Secara umumnya, hari bersejarah itu diraikan adalah untuk memperingati pembentukan Malaysia apabila persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura disatukan (sebelum Singapura kemudian menarik diri).

Iklan
Iklan

Justeru, sangat bertepatan apabila kami mendapatkan Hazel Anak Desmond Daie sebagai wajah muka hadapan SinarPlus.

Iklan

Berdasarkan portfolionya, Hazel yang merupakan anak kelahiran Kuching, Sarawak telah mengabdikan diri sebagai penyampai berita, wartawan penyiaran dan pengacara di saluran RTM lebih sedekad lamanya.

Sudut pandang seorang pengamal media tentang Hari Malaysia sememangnya bernas. Kata wanita itu, hari berkenaan ialah cuti umum bagi rakyat Malaysia, tetapi bukan untuknya dan rakan sejawat lain.

Iklan

"Sebagai wartawan di stesen penyiaran awam, sudah pastinya kami antara barisan hadapan yang sibuk menyampaikan kandungan berbentuk kesedaran yang sarat dengan mesej kenegaraan. Tarikh 16 September juga merupakan hari yang cukup bermakna untuk saya sebagai penduduk Bumi Kenyalang," ujarnya.

Seperti Hari Kemerdekaan Malaysia, kata Hazel, banyak rintangan yang terpaksa dirempuh ketika gagasan Malaysia hendak dibentuk. Justeru, hampir enam dasawarsa usaha digembleng rakyat, pemimpin terdahulu dan kini, tidak harus dipandang enteng.

BATASAN

Miss Fair and Lovely World Harvest Festival 2007 itu berkata, majoriti rakyat Malaysia kini semakin matang dan bijak menilai fakta. Mereka tidak mudah tunduk kepada anasir yang cuba memporak-perandakan kemakmuran negara.

"Seperti sambutan hari jadi, tarikh 16 September sepatutnya menjadi titik pembaharuan untuk rakyat Malaysia memperkukuh azam, bersatu hati dan mengeratkan perpaduan seluruh penduduk rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.

Nampaknya dasar langit terbuka dan ledakan internet yang mencambahkan lagi maklumat tanpa batasan sangat dibimbangi Hazel.

Masakan tidak, ujarnya, ada sahaja individu yang licik dengan menyebar luaskan info yang boleh menggugat keharmonian negara.

"Dengan muntahan maklumat yang kini mudah disebar sekelip mata, saya berharap pengguna media alternatif lebih berhemah," pesannya.

Pada Hazel, adalah lebih murni seandainya platform berkenaan dijadikan satu hab menghimpunkan kisah-kisah positif yang boleh menyulam perpaduan rakyat.

"Memandangkan attention-span generasi muda agak pendek, bagi saya maklumat berbentuk bite-size info atau info lebih ringkas amat dialu-alukan agar mereka senang faham," katanya.

Satu perkara yang terlintas pada benak penyampai Berita Perdana itu, buku Sejarah yang berkaitan Pembentukan Malaysia perlu ditambah baik di peringkat sekolah rendah. Idea itu difikirkan sangat signifikan kerana pendedahan awal akan lebih menyuburkan semangat nasionalisme.

PRINSIP 10,000 JAM

Kami menoktahkan perbualan tentang Hari Malaysia. Penulis tidak mahu terlepas untuk mengetahui sisi peribadi wanita keturunan Bidayuh-Iban tersebut terutama kesetiaannya dengan RTM.

Tatkala ditebak soalan itu, beliau terus mengimbau kenangan tahun 2009. Katanya, ketika itu, sebaik mengetahui uji bakat program realiti, Penyampai Ikon RTM diadakan, tanpa berlengah, dirinya terus membeli tiket kapal terbang dari Kuching ke Kuala Lumpur.

"Daripada 6,000 peserta, saya dan 16 peserta terpilih untuk diberi pendedahan mengenai dunia kewartawanan televisyen, pengacaraan, kemahiran berkomunikasi di hadapan kamera dan tugasan di lapangan.

"Selepas tiga bulan program itu tamat, saya ditawarkan berkhidmat sebagai wartawan Meja Am dan Politik sebelum ke Meja Ekonomi. Pada masa sama, saya ditugaskan menjadi penyampai Berita Semasa selama lima minit," ceritanya.

Berdasarkan prestasi yang meyakinkan, Hazel dilantik menjadi penyampai Berita Perdana, pukul 8 malam. Menariknya, beliau merupakan wanita dari Sarawak pertama yang diberi kepercayaan itu.

"Saya menghargai keyakinan yang diberikan pihak pengurusan RTM. Selain Berita Perdana, saya juga menggalas tanggungjawab sebagai penyampai Berita Tengah Hari dan pengacara bagi program Biz Malaysia termasuk Bicara Naratif," katanya yang sudah beberapa kali berpengalaman mengendalikan siaran langsung dalam pelbagai acara kenegaraan seperti Hari Kemerdekaan.

Adakah Hazel sudah berasa puas dengan prestasi sekarang? Sambil tersenyum, Hazel berkata, dirinya berpegang kepada Prinsip 10,000 jam (10,000-Hour Rule) yang digariskan oleh Malcolm Gladwell dalam karya berjudul Outliers: The Story of Success.

Gladwell antara lain berkata, seseorang mengambil masa lebih kurang 10,000 jam untuk betul-betul mahir dalam menguasai sesuatu kemahiran dan menjadi pakar.

"Maka, kalau dicongak, saya rasa sudah pun memenuhi syarat tersebut sepanjang 12 tahun bekerja," selorohnya.

TOLAK POPULARITI, LEBIH BERSEDERHANA

Kefasihan Hazel berkomunikasi dalam bahasa Melayu memang tidak dapat disangkal. Namun, wanita itu sebenarnya dibesarkan dalam persekitaran mereka yang bertutur dalam bahasa Iban dan Inggeris.

"Di rumah saya berbahasa Iban dan akan berbahasa Inggeris apabila bersama teman-teman. Begitupun, asas bahasa Melayu itu memang sudah ada.

"Ketika mula berkhidmat di RTM, banyak juga benda yang saya tak tahu. Saya terus menggenggam matlamat untuk memperkasakan diri dan ‘berkerja keras secara senyap‘," tuturnya.

Selain perbanyakkan membaca, Hazel berkata, beliau mendapat tunjuk ajar daripada rakan-rakan senior RTM, Ivan Toh dan Azrul Amila Amir.

Pada masa sama, tuan punya badan memandang tinggi dan banyak belajar secara diam dengan pengacara terkenal RTM, Sayed Munawar Sayed Mustar.

"Menguasai bahasa Melayu adalah satu kepuasaan buat diri saya, baik dalam pertuturan mahupun penulisan rasmi," ungkapnya jujur.

Kata orang, memiliki rupa paras yang jelita, ditambah kelebihan-kelebihan lain, pastinya Hazel boleh mengorak langkah lebih jauh.

Mudah kata, beliau pastinya akan disambar oleh mana-mana stesen televisyen yang dikatakan lebih glamor.

Mengakui tidak dahagakan populariti, peminat rona hitam dan putih itu dengan tegas berkata, personaliti semula jadi beliau membuatkannya lebih senang untuk bersederhana dalam segenap hal.

"Saya tak nafikan memang ramai muka baharu yang cuba mengikut laluan penyampai lain dengan memilih stesen yang lebih popular. Saya sendiri, sudah tiga kali ditawarkan tempat di stesen swasta.

"Pun begitu, saya memilih untuk mengenali diri sendiri terlebih dulu, sebelum dikenali ramai. Saya berpandangan perkara pertama sebelum anda ingin dikenali dalam sesuatu perkara, anda mesti belajar tentang diri anda sendiri. Hal itu merupakan satu-satunya cara untuk membentuk dan mengumpul keyakinan diri," ulasnya.

Beritahu Hazel lagi, sebagai bekas pelajar jurusan Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara, urusan dan hal ehwal kerajaan sangat dekat dengannya.

"Apabila berkhidmat di RTM, saya antara barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat, polisi dan dasar terkini kerajaan. Itu juga adalah satu kepuasan," katanya yang turut tidak dapat melupakan detik pilu membuat liputan kehilangan pesawat penerbangan MH370.

Perbualan kami yang panjang lebar pada Sabtu lalu diakhiri dengan pertanyaan yang lebih santai.

Mengenai penjagaan suara yang merupakan aset penting bagi seorang penyampai berita dan pengacara, Hazel mengakui tidak menyimpan sebarang tip.

"Saya cuma kurangkan minum air batu atau sejuk. Saya juga seorang yang percaya bahawa nada suara yang bagus datang daripada keyakinan dalam diri. Untuk penjagaan diri pula, saya amalkan cuci muka dua kali setiap hari," kongsinya.

Selain itu, Hazel juga gemar berjoging pada setiap hari dan melakukan power walking. Ia adalah latihan olahraga berjalan kaki dengan menekankan pada kecepatan dan gerakan tangan yang lebih aktif.

 

"Saya juga sedaya upaya melengkapkan 10,000 langkah setiap hari, selain mendaki sekurang-kurangnya sekali seminggu," kata peminat sukan badminton itu yang menganggap sukan tersebut dapat menyatukan setiap rakyat Malaysia.

Terbaharu, Hazel menambah satu lagi senarai minatnya iaitu meneroka alam semesta.

Ketika ditemu bual, Hazel berkata, beliau baru sahaja kembali daripada berkhemah dan berkayak di Algonquin, Ontario, Kanada.

Terakhir, apa pelan perancangan wanita penuh pesona itu pada masa depan?

Beliau yang mengidolakan Oprah Winfrey meletakkan impian untuk mengacarakan program berbentuk pendidikan psikologi dan kesihatan mental.

"Itu merupakan impian saya yang sehingga kini masih tersimpan kemas dan ia adalah hal-hal yang ingin saya lakukan dalam hidup ini," ujar Hazel yang kaya dengan sifat kesantunan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan