Tampil anggun berhijab, Nasha Aziz curi perhatian di pertunjukan fesyen Muslimah Munawwareen

Iklan
NASHA AZIZ MUNAWWAREEN

AURA pelakon dan supermodel tersohor, Nasha Aziz setiap kali muncul di pentas peragaan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Setiap langkah dan aksinya begitu mencuri tumpuan lensa kamera dan mata yang melihat.

Begitu juga ketika kemunculannya memperagakan busana Muslimah menawan pada pertunjukan fesyen jenama Muslimah tempatan, Munawwareen yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Muncul pada segmen kemuncak pertunjukan itu, Nasha, 51, tampil anggun berhijab sambil menggayakan rekaan jubah khas rona hijau zamrud bertatahkan jemeki sebagai perincian pada busana.

Walaupun menerima jemputan dalam masa yang singkat, selebriti popular itu mengakui berbesar hati apabila terpilih untuk membuat penampilan khas sempena pelancaran koleksi terbaharu jenama fesyen Muslimah tersebut yang bertemakan Sempurnakan Hijrah Cinta.

Iklan

"Saya bersyukur dengan rezeki yang ALLAH SWT bagi dan berterima kepada pihak Munawwareen terutamanya Datin Hajah Aliza kerana memberi kepercayaan kepada saya.

"Saya hanya melakukan tugas dengan sehabis baik apabila diberikan tanggungjawab. Apa sahaja rezeki yang datang, saya terima.

Iklan

"Bagi saya, dalam apa sahaja yang kita lakukan, buatlah sepenuh hati. Hargailah setiap momen, kreativiti, keindahan dan usaha masing-masing.

"Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat. Walaupun dijemput dalam masa satu minggu, saya bersyukur dapat bersama pasukan yang hebat ini,” ujar bintang filem Talbis Iblis itu ketika ditanya tentang penglibatannya dalam pertunjukan fesyen tersebut.

Pada acara yang diadakan penuh gilang-gemilang dengan kehadiran 300 tetamu itu, sebanyak 21 rekaan dengan jumlah 36 pakaian diperagakan penuh elegan merangkumi segmen Hawa 1 (koleksi telekung), Hawa 2 (koleksi jubah dan abaya), Rijal (jubah dan kurta lelaki) dan Hawa 3 (koleksi jubah dan dres eksklusif).

Kesemua rekaan daripada koleksi Munawwareen itu akan dilancarkan secara berperingkat bermula Oktober 2022 sehingga Mac 2023.

Mengutamakan pakaian patuh Syariah, variasi pakaian jenama initu direka dengan potongan Ionggar dengan pemilihan fabrik yang tidak menampakkan bentuk badan pemakai.

Pengasas dan Pengarah Urusan Munawwareen Holdings Sdn Bhd, Datin Aliza Abu Bakar, berkata, terdapat banyak pakaian Muslimah yang dipasarkan tetapi konsep Muslimah sejati itu tidak sepenuhnya dipraktikkan.

"Munawwareen mahu dikenali dengan identiti fesyen Islamik yang berusaha mengikuti landasan Syariah. Sekarang kita dapat lihat lebih ramai wanita bijak berfesyen meskipun menutup aurat dengan sempuma.

"Jadi Munawwareen ingin menjadi sebahagian daripada gerakan fesyen Islamik yang sentiasa menampilkan rekaan-rekaan segar serta mengikut arus semasa tanpa mengetepikan kewajipan memelihara aurat,” katanya.

Pada pertunjukan fesyen itu juga, Munawwareen turut melancarkan lagu rasmi bagi mewakili jenamanya yang berjudul Munawwareen. Lagu ciptaan Hafiz Hamidun itu dinyanyikan oleh Ernie Zakri.

Pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Anugerah Industri Muzik ke-23 itu tampil buat kali pertama memperdengarkan lagu tersebut kepada umum.

Acara itu turut diserikan dengan persembahan daripada Tomok dan Syamel, selain kehadiran beberapa selebriti popular tanah air termasuk Rozita Che Wan, Hawa Rizwana dan ramai lagi.

(FOTO: INSTAGRAM MUNNAWARREN HQ)