KUMPULAN rock tersohor, Wings bakal menghiburkan peminat setia mereka dengan persembahan hebat menerusi konsert Naga Keramat yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.
Konsert anjuran MW Mega Production dan Awie Entertainment itu merupakan siri
siri konsert terakhir mereka untuk tahun ini di Kuala Lumpur.
Naga Kramat menjadi pilihan jenama konsert tersebut bagi memberi gambaran tentang kehebatan anggota kumpulan Wings apabila beraksi di pentas besar dan gah.
Wings yang dianggotai Datuk Awie selaku vokalis, Eddie (gitar), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) teruja untuk beraksi di pentas yang semakin popular itu dengan menyampaikan lagu-lagu popular mereka, termasuk daripada album Naga Keramat.
"Saya nak bagi peminat puas dengan pemilihan lagu-lagu terbaik buat mereka yang datang, malah saya ingin mereka mencipta memori setiap kali menyaksikan persembahan atau konsert kami.
"Mereka datang berbayar dan bukan percuma, kami menghargainya dengan membuat persembahan yang terbaik,” ujar Awie.
Sementara Eddie pula berkata, mereka tidak sabar untuk beraksi di pentas Zepp Kuala Lumpur yang sering dicanangkan sebagai pentas gah bertaraf antarabangsa itu.
"Sebelum ini kami hanya dengar komen kawan-kawan yang pernah buat persembahan di sana. Kali ini kami sendiri akan beraksi dan sudah tentu ingin memberikan yang terbaik buat peminat,” katanya.
Tiket konsert mula dijual secara atas talian di www.ticket2u.com.my/nagakramat dengan harga mengikut kategori iaitu RM244 (Bujang Senang), RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama).