KEPADA wanita berhijab dan peminat fesyen Muslimah, jenama MINAZ bukan suatu yang asing lagi.
Barangkali pengasasnya, Hafiza Abd Hamid, 37, atau lebih senang disapa Pija tersenyum bangga mendengar pernyataan tersebut. Tidak salah memiliki perasaan itu kerana beliaulah tonggak utama jatuh bangunnya MINAZ.
Kepada SinarPlus, Pija berkata, dunia perniagaan yang dipelopori sekarang sebenarnya adalah percikan semangat daripada keluarga yang memiliki latar belakang dalam menghasilkan batik.
Maka, tidak hairanlah, beliau yang memiliki kelulusan dalam bidang akauntan beralih kepada dunia fesyen dan menjadikan ia sebagai kerjaya utama.
"Lapangan ini sudah sebati dengan saya sejak kecil memandangkan ibu seorang guru yang juga tukang jahit. Bahkan keluarga kami turut mengusahakan batik.
"Orang kata dari mata turun ke hati. Kecintaan saya dalam seni jahitan, fesyen termasuk kraf membuatkan saya tak kisah untuk beralih bidang," katanya.
Pun demikian, segala yang dilalui bukanlah semudah seperti membutirkan kata. Cerita Pija, pelbagai pancaroba yang terpaksa diharungi.
BACA NI 'Tangan bau asam pedas, pakej mekap.' Gelagat lucu Fattah Amin solek Fazura bikin ramai terhibur
Pada 12 tahun lalu, tiada bangunan yang gah, sebaliknya beliau menjual bermacam-macam produk termasuk pakaian dari Korea Selatan hanya di rumah.
Program pertukaran pelajar di Korea yang disertainya itu tidak sekadar untuk menimba ilmu, tetapi beliau mencuri peluang meneroka lubuk bisnes dalam mendapatkan material.
"Selepas tamat pengajian di sana, minat saya terus terarah kepada bidang fesyen. Saya memang nekad. Perjalanan karier saya dipermudah lagi apabila direzekikan mendapat seorang tukang jahit Pakistan.
"Gedung beli-belah Kamdar juga ibarat ‘tempat mainan‘ saya untuk membeli kain potong. Kemudian saya reka baju dan jual," ungkap graduan dari Universiti Teknologi Mara itu.
RUGI JUTAAN RINGGIT
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itulah yang berlaku kepada Pija. Pada saat permintaan terhadap produk kian bertambah, beliau dikejutkan dengan masalah yang datang bertimpa-timpa.
"Saya bukan sahaja berhadapan dengan masalah tukang jahit tidak mencukupi, malah berlaku kerosakan dan kelewatan barang yang sampai. Kelemahan saya yang kurang ilmu dalam berdepan ragam manusia diambil kesempatan oleh pihak lain.
"Saya mengalami kerugian melibatkan jutaan ringgit gara-gara baju tidak siap, rosak dan ada yang tidak sampai ke tangan saya. Keadaan itu sangat meruncing kerana ia berlaku ketika Hari Raya. Pun begitu, saya enggan mengalah cepat.
Apa yang berlaku, saya jadikan sebagai pengajaran," imbaunya panjang lebar.
Debaran itu seperti dapat dirasai penulis. Bagi meredakan keadaan, kami cuba bersembang tentang hal lain pula.
Seperti yang ramai sedar, dunia fesyen sama seperti kemajuan teknologi yang sentiasa berkembang.
Ditanya adakah MINAZ berdiri seiringan dengan kehendak semasa, sementelah persaingan daripada pelbagai label lain semakin rancak?
Ini jawapan Pija:"Segala yang kita lakukan pasti ada risiko, tetapi itu semua asam garam dalam perniagaan. Trend memang cepat berubah dan saya akui memang tidak terkejar, tetapi yang paling penting sebagai pereka, kita perlu ada desain signatur. Inilah yang membuatkan kita berbeza dengan pesaing yang lain."
Selain popular dengan corak unik batik (custom print), MINAZ juga terkenal dengan elemen bunga-bungaan dalam rekaannya.
"Semestinya karakter yang sinonim dengan wanita seperti kelembutan, kecantikan, kesempurnaan dan seleksi rona juga saya titik beratkan. Dalam koleksi terbaharu, saya tonjolkan nilai-nilai persahabatan dan bunga lily dijadikan sebagai simbol," ujarnya.
Bagi meluaskan prospek bisnesnya, ujar anak kelahiran Selangor itu, beliau tidak hanya sekadar mempertaruhkan busana dan helaian tudung sahaja. Akan datang, skalanya diperluaskan lagi kepada produk lain seperti MINAZ Home dan sepatu pula.
[caption id="attachment_94531" width="533"] Krmunculan awal Rozita Che Wan dan anaknya sebagai duta jenama MINAZ telah meledakkan jenama ciptaan Pija.[/caption]
'TANGAN GHAIB'
Sudah resam ahli perniagaan, kata-kata yang lahir daripada mereka semuanya berkaitan dengan misi dan strategi.
Bercerita soal itu, penulis secara spontan bertanyakan tentang percaturan menjadikan Rozita Che Wan dan anaknya sebagai duta pada awal kemunculan jenama itu. Kelibat pasangan anak beranak memang telah meledakkan jenama ciptaan Pija.
Akui usahawan berkenaan, menampilkan artis terkenal sebagai wajah MINAZ adalah salah satu strategi pemasaran syarikatnya.
"Perencanaan kita banyak dan itu salah satu daripadanya. Saya tak dapat sangkal bahawa cara itu sangat membantu jualan dan mempromosikan label ini. Walaupun melibatkan kos yang tinggi, namun impaknya sangat besar.
"Apabila pelanggan menyarung MINAZ, mereka anggap diri sama seperti idola dan merasakan seperti berada pada satu tahap lain. Secara tak langsung perasaan sayang kepada jenama ini kian bertambah," jelasnya.
[caption id="attachment_94530" width="640"] Jujur mengakui, pemilihan artis terkenal sebagai wajah MINAZ adalah salah satu strategi pemasaran syarikatnya.[/caption]
Menolak tanggapan kononnya MINAZ tidak boleh pergi jauh tanpa selebriti, Pija dengan tenang berkata, kehadiran individu yang mempunyai nama sebenarnya memberi tambah nilai kepada MINAZ.
Itu sebab pengaruh influencer juga digunakan. Selain itu, Pija sendiri tampil menjadi wajah kepada jenamanya sendiri.
"Kami ada beberapa tahap kelompok sasaran seperti cikgu, remaja dan banyak lagi. Sebab itu kami menyusun strategi mengikut kempen yang dikeluarkan," ujarnya yang turut bersyukur kerana percaturan menggunakan sistem stokis dan ejen membuahkan hasil apabila koleksi tudung bawal yang dikeluarkan tahun lalu kini terjual lebih 1.5 juta helai.
Ditebak persoalan mengenai isu plagiat, kedengaran keluhan isteri kesayangan Noor Tamizee Noor Adzman itu.
Beritahunya, isu tersebut sudah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya. Bukan sahaja label kecil sahaja terpalit, malah yang popular pun turut terkena tempias.
MINAZ sendiri pernah terkena apabila rekaan hasil jalinan kerjasama dengan sebuah jenama diplagiat sebelum dilancarkan.
"Ada ‘tangan ghaib‘ yang buat kerja ini dan itu memang memberi dampak buruk kepada kami. Sehubungan itu, bagi mengelak kemelut sedemikian berulang lagi, tanggungjawab kita adalah mendaftarkan sesuatu rekaan menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia bagi memudahkan kita ambil tindakan jika kita menjadi mangsa," tegasnya.
SUAMI TENTUKAN PAKAIAN
Di sebalik kesibukan dalam melaksanakan urusan kerja, ibu muda kepada empat cahaya mata itu mengakui banyak perkara yang terpaksa dikorbankannya.
Menurut Pija, pembahagian masa begitu terhad, namun kelebihan tinggal bersama ibu bapa banyak membantunya terutama dalam menguruskan anak-anak.
"Saya bersyukur dikurniakan suami yang banyak menyokong termasuk ibu dan bapa yang sentiasa mengambil berat. Mereka semua ini ibarat tulang belakang saya. Jujur, memang saya tak terkejar melakukan semua urusan sendirian," ujarnya.
Melihat empayar MINAZ yang semakin utuh, terlintas pada benak Pija untuk mewariskan perniagaannya kepada zuriat yang dikandung.
"Bohonglah andai kata saya tidak mengharapkan anak-anak untuk meneruskan legasi bisnes ini. Pun begitu, saya tidak memaksa, sebaliknya memberi ruang untuk mereka memilih apa yang digemari.
"Memang ada antara anak-anak saya menampakkan ciri-ciri mahu mengikut jejak langkah saya. Mana tidaknya, mereka sama-sama dengan saya sejak dalam perut lagi ketika saya sedang bergelut menghasilkan rekaan baju, pertunjukan fesyen, berjumpa pembekal dan lain-lain perkara," jelas ibu kepada Furqan, Safiyya, Wardah dan Mohamed Youseff.
Setakat ini kata Pija, belum wujud arahan atau perbualan seperti ‘ibu nak kamu jadi begitu dan begini.‘
"Jika ada anak-anak yang berminat untuk bergiat aktif dalam bidang ini, mereka haruslah mengikut acuan yang lebih bagus. Dengan kata lain, lebihkan ilmu, itu yang penting," ujarnya.
[caption id="attachment_94535" width="621"] Keluarga tunjang kekuatan Pija dalam merentasi segala cabaran dalam dunia perniagaan.[/caption]
Hal yang diperkatakan seterusnya memang menarik perhatian penulis. Ujar wanita elegan itu, meskipun beliau ialah pereka bagi MINAZ, tetapi hal ehwal pemilihan pakaian tidak kira untuk acara rasmi atau musim perayaan, ditentukan oleh suami tercinta.
"Ya benar, beliau dominan dalam soal itu. Apa yang saya boleh katakan pemilihan pakaian sedondon kami misalnya pada Hari Raya atau majlis rasmi dilakukannya. Ia memang kena dan beliau memang bercita rasa," katanya sambil tertawa kecil.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi