KEMUNCULAN istimewa alumni Raja Lawak sebagai tetamu undangan pada persaingan minggu lalu ternyata memberi kelainan dan menerima sambutan hangat daripada penonton setia Awesome Raja Lawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, kemunculan alumni Raja Lawak telah menyumbang peningkatan tontonan sebanyak 2 juta untuk minggu keenam berbanding sebelumnya.
[caption id="attachment_95507" width="800"] Datuk Adam Ilyas[/caption]
"Kami amat berbesar hati dengan kejayaan cemerlang program Awesome Raja Lawak yang sudah pun merekodkan jumlah tontonan terkumpul sebanyak 16 juta sepanjang enam minggu bersiaran di kesemua platform termasuk digital.
"Strategi membawa masuk alumni Raja Lawak ternyata berjaya mendapat sambutan luar biasa daripada penonton. Ini merupakan pencapaian yang amat memberangsangkan.
"Kehadiran alumni bukan sahaja menyuntik elemen kelainan untuk menghiburkan penonton, malah turut mengimbau nostalgia dan memori kegemilangan pentas Raja Lawak sejak mula diterbitkan pada tahun 2007,” katanya.
Tambah Adam Ilyas, pihak produksi membuat keputusan untuk tampil dengan kejutan menerusi Gelanggang Awesome Raja Lawak #Alumni pada malam ini dan semua peserta yang mara pada minggu keenam direhatkan.
"Susulan keberkesanan strategi dan impak tersebut, kami membuat keputusan memperkenalkan pusingan khas ‘Gelanggang Awesome Raja Lawak #Alumni’ sebagai kejutan untuk episod ketujuh pada hari Rabu, 19 Oktober, yang bakal menyaksikan pertembungan sengit secara one-off di antara barisan alumni terpilih bagi merebut ganjaran RM10,000.
"Barisan alumni yang bakal bersaing di pentas khas tersebut ialah Mamak, Abu Mamu, Ajoe Mamu, Man Pos, Caca Dboss, Wann Wala, Achok, Chot, Pak Cu, Che Mat, Faiz, Kijat, Atan, Amir, Momo, Yim dan Idlan.
"Inisiatif menerbitkan episod khas ini juga merupakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada para peminat setia yang tidak pernah jemu menghulurkan sokongan kepada Awesome TV selama ini.
"Besar harapan kami agar taruhan minggu ini dapat mengekalkan momentum program Awesome Raja Lawak dan kami jangkakan sambutan yang bakal diterima akan terus meningkat untuk minggu-minggu seterusnya," jelas Adam Ilyas.
Semakin matang
Sementara itu, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, juri dan penonton telah dapat menyaksikan kematangan dalam persembahan komedi oleh barisan peserta yang masih bertanding di pentas Awesome Raja Lawak.
[caption id="attachment_95508" width="800"] Datin Ezzan Zalilah[/caption]
Ujarnya, pengisian lawak yang dipersembahkan para peserta bukanlah hanya kelakar semata-mata, namun berkait dengan isu semasa yang mudah difahami penonton.
"Respons baik penonton sangat ketara di studio dengan maklum balas positif yang diterima untuk persembahan minggu keenam bertemakan ‘Sejarah/Kenangan’ cukup meriah dengan penampilan istimewa alumni Raja Lawak seperti Amir, Caca Dboss, Mamak, Wann Wala, Man Pos, Abu Mamu, Ajo Mamu, Chot XOXO dan Achok Chilok.
"Keputusan untuk membawa masuk pelawak-pelawak senior kelahiran program Raja Lawak untuk mengiringi setiap persembahan ternyata berjaya memberikan saingan yang sengit pada minggu ini.
"Usaha dan keazaman para peserta juga harus dipuji kerana telah menunjukkan peningkatan konsisten saban minggu sehingga berjaya membuka mata barisan juri dan para penonton. Ini bermakna para peserta sudah mendapat rentak dan mula menunjukkan taring sebenar," ujarnya.
Pada persembahan minggu lalu, kumpulan Mabo menjadi peserta paling menyerlah apabila berada di tempat pertama dengan markah keseluruhan sebanyak 82%.
[caption id="attachment_95509" width="800"] Kumpulan Semmat, Azhar dan Hanif dapat menarik nafas lega selepas pihak juri mengumumkan tiada sebarang penyingkiran pada minggu keenam.[/caption]
Bagaimanapun tiga kumpulan yang mendapat markah terendah iaitu kumpulan Semmat, Azhar dan Hanif dapat menarik nafas lega selepas pihak juri mengumumkan tiada sebarang penyingkiran pada minggu keenam.
Persembahan para peserta diadili Khir Rahman, Ayda Jebat dan Saiful Apek, manakala Ajak Shiro, Atu Zero dan Tauke menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar atau Mentor.
Awesome Raja Lawak disiarkan setiap hari Rabu, jam 9 malam menerusi saluran Awesome TV (Astro 123) & MyTV (112), menyaksikan Nizam Jentik-Jentik bergandingan bersama Chiwan Chilok sebagai pengacara.