DALAM perihal mencari jodoh atau memilih pasangan hidup, restu daripada ibu bapa adalah antara kunci keberkatan.
Setiap manusia dilahirkan berpasangan dan ia sudah menjadi fitrah. Niat untuk mendirikan rumah tangga dengan cara yang sah adalah sesuatu yang amat-amat disukai di sisi agama.
Namun atas alasan cinta, wujud anak yang menolak ketepi pandangan dan keputusan ibu bapa sehingga terjadinya isu perkahwinan tanpa restu orang tua. Ada ada yang sanggup berkahwin secara ‘diam-diam’. ‘Tahu-tahu’ sahaja sudah bernikah.
Benar, restu ibu bapa bukanlah syarat sah perkahwinan namun mengabaikan perasaan mereka bermakna kita melukai hati insan yang berjasa menjaga serta membesarkan sejak kecil.
Bagi Bibir Merah, isu ibu bapa tidak merestui calon suami atau isteri ini umpama menarik rambut di dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
[caption id="attachment_95902" width="800"] Pendakwah, Ustaz Azhar Idrus[/caption]
Pendakwah Ustaz Azhar Idrus berkata, selepas kewajipan mematuhi ALLAH dan Rasul, setiap individu perlu mentaati kepada ibu bapa.
Walaupun ibu bapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang dipilih kecuali bagi wali mujbir, Ustaz Azhar menasihatkan anak muda agar tidak mengenepikan pandangan ibu bapa dalam bab pemilihan jodoh.
"Jika tiada restu ibu bapa itu berkaitan dengan agama, misalnya pasangan itu tidak baik perangainya maka kita perlu mematuhi nasihat ibu bapa
"Jika pasangan pilihan kita baik agamanya, tetapi ibu bapa tidak menyukai seseorang yang baik pegangan agama maka kita boleh mendahulukan pilihan sendiri dan kemudian memujuk ibu bapa.
"Namun jika pilihan ibu bapa dan pilihan kita kedua-duanya baik dari segi agama, kita perlu berkahwin dengan pilihan ibu bapa kerana konsepnya tiada ibu bapa maka tiadalah kita,” katanya menerusi saluran YouTube rasmi, Ustaz Azhar Idrus Official.
Pendakwah itu turut menambah, perkahwinan anak lelaki dengan pasangan tidak direstui ibu bapa tetap sah kerana lelaki tidak memerlukan wali.
[caption id="attachment_95900" width="800"] Kredit foto: Pexels[/caption]
Tetapi keputusan berkahwin dengan calon yang tidak disukai orang tua adalah sesuatu yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya.
"Jika kita meletakkan diri sebagai bapa, sukakah jika anak melawan cakap dan berkahwin dengan orang yang tidak kita sukai? Tentunya ramai tidak akan melakukannya.
"Justeru jika kita tidak mahu anak melakukan hal sebegitu maka elakkan berbuat sedemikian kepada ibu bapa pada hari ini. Jika tetap melakukannya ia dikatakan mementingkan diri sendiri,” katanya.
"Jika pilihan kita itu sebenarnya baik dan ibu bapa kita hanya mendengar fitnah orang, maka perbaiki keadaan. Pujuk kedua-dua orang tua dan terangkan dengan baik. Tunjuk kesungguhan bahawa dengan pasangan itu kita berupaya mengecapi kebahagiaan, insya-ALLAH pada satu masa mereka akan merestui,” katanya.
Menurut Ustaz Azhar, dalam hal perkahwinan, ramai yang menjadi ‘buta’ tanpa seseorang itu menyedarinya. Beliau menasihatkan anak muda agar tidak mengenepikan kedua ibu bapa dalam mengejar pilihan hati.
[caption id="attachment_95899" width="800"] Kredit foto: Pexels[/caption]
Bibir Merah berharap kita semua bermuhabasah dan mempertimbangkan baik buruk sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan. Bimbang suatu masa nanti nasi sudah menjadi bubur.
Restu ibu bapa adalah segala-galanya. Ibu bapa tidak pernah menghalang atau menidakkan hak anak untuk memilih pasangan dan kebahagiaan sendiri. Mereka cuma mahukan yang terbaik untuk permata hati dan sebagai anak, buktikanlah dahulu cinta kepada ibu bapa melebihi kasih sayang terhadap si dia.
Si Bibir Merah: Cukup takut bab hati ibu bapa, tidak mampu berkata tidak. Terusik hati mereka, syurga bukan lagi milik kita.
Sumber: YouTube Ustaz Azhar Idrus Official
Kredit foto utama: Pexels
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi