NAMA Syafiq Naser barangkali lebih dikenali sebagai pencipta kandungan di media sosial. Namun dalam masa sama, lelaki berusia 27 tahun itu sudah berjinak-jinak dalam dunia seni suara menerusi single pertama, Lenggang.
Kini, pemilik nama penuh Nur Syafiq Naser kembali dengan single keduanya, Malu, hasil ciptaan sepenuhnya oleh Syafiq sendiri.
Kata anak kelahiran Parit, Perak itu, lagu Malu sudah mula dicipta sejak 10 tahun yang lalu ketika dia berada di bangku sekolah.
"Saya pernah memperdengarkan lagu ini kepada keluarga dan orang sekeliling ketika itu. Alhamdulillah setelah satu dekad berlalu barulah ia direalisasikan. Sudah pasti saya gembira dengan kehadiran Malu dan berharap ia akan diterima baik oleh semula pihak,” ujarnya.
Pun begitu, bagi Syafiq ini mungkin merupakan karya terakhir sebagai seorang penyanyi memandangkan kehadirannya dalam bidang nyanyian kurang mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Jelasnya, sekiranya lagu tersebut mendapat maklum balas dan sambutan yang baik, barulah dia akan mempertimbangkan untuk meneruskan karier sebagai penyanyi.
"Saya pernah menyertai pertandingan nyanyian dan mendapat komen negatif daripada seorang komposer popular.
"Dia tidak suka dengan nyanyian saya dah mahu saya meneruskan dalam bidang mencipta kandungan sahaja.
"Apa yang disebutkan itu memang ‘membakar’ jiwa dan saya mahu buktikan dengan kehadiran Malu ini, saya juga boleh menyanyi dan tidak seperti yang dikatakan,” tegasnya.
Sebagai info, lagu ini menerima Dana Pemasaran Muzik Malaysia 2022 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM).
Dilancarkan secara rasmi pada 28 Oktober, Malu sudah boleh distrim di semua platform digital dan video muzik pula boleh ditonton di YouTube Syafiq Naser.
Cabaran
Dalam pada itu, mengulas cabaran menjadi pencipta kandungan media sosial yang dikenali, Syafiq mengakui perkara tersebut ada kalanya memberi ‘tekanan’ kepadanya untuk terus menghasilkan kandungan yang menarik dan diterima ramai.
[caption id="attachment_96699" width="800"] Pengalaman menjadikan Syafiq lebih berhati-hati.[/caption]
"Memang perkara ini saya sedari sejak kebelakangan ini apabila pelbagai kandungan ‘pelik’ mula dimuat naik oleh segelintir pihak yang tanpa disedari sebenarnya menyentuh sensitiviti pelbagai pihak.
"Sebab itu saya selalu berfikir banyak kali sebelum membuat naik apa-apa kandungan agar tidak bertentangan dengan banyak perkara. Pelbagai kandungan kita boleh lakukan tanpa perlu menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat amnya,” katanya yang popular dengan video parodi.
Dalam pada itu, anak keempat daripada lima beradik itu juga terbuka hati menerima apa sahaja teguran daripada pelbagai pihak termasuklah warga maya dan orang sekeliling sekiranya dia ada memuat naik kandungan yang sensitif.
"Memang banyak komen positif yang ditinggalkan netizen tapi ada juga segelintir yang meninggalkan komen mengarut dan menjatuhkan maruah kita sebagai pencipta kandungan. Biasanya saya hanya buat tidak tahu sahaja dengan komen sebegitu.
"Mereka yang meninggalkan komen negatif ini biasanya tidak faham dengan apa yang cuba disampaikan. Jadi saya tidak perlu ambil pusing dan menjadikan perkara tersebut hal yang besar sampai boleh mengganggu emosi,” ujarnya yang mengakui ada segelintir rakan pernah mengalami gangguan emosi dan dia cuba mengelak untuk melalui situasi serupa.