Elak risiko mati mengejut, bersenam secara berperingkat

Iklan
Elak risiko mati mengejut, bersenam secara berperingkat

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai pada ketika itu pastinya melalui tempoh sukar kerana setiap pergerakan terbatas.

Kini, beberapa minggu yang lalu kerajaan telah melonggarkan arahan dan mewujudkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mana orang ramai kini boleh keluar rumah dan melakukan kerja mahupun aktiviti seperti sebelumnya, namun perlu patuh kepada SOP yang telah ditetapkan.

Iklan
Iklan

Oleh itu, pastinya tubuh badan kita juga kini lega dan sedia untuk berkhidmat setelah sekian lama ‘berehat’. Mungkin ada juga yang langsung tak berpeluang bersenam atau melakukan aktiviti-aktiviti regangan di rumah atas beberapa kemungkinan.

Jika sudah lama tidak bersenam atau baru ingin membudayakan gaya hidup aktif seperti berlari atau berbasikal jarak jauh, janganlah sampai badan 'terkejut', seeloknya aktiviti itu perlu dilakukan secara berperingkat.

Iklan

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, jenis atau tahap intensiti senaman mestilah bergantung kepada kemampuan individu dan jika sudah penat, badan tidak boleh dipaksa terus 'bekerja' kerana ia boleh memudaratkan diri dan mungkin boleh mengancam nyawa.

Menurut salah satu portal akhbar tempatan, beliau berkata, setiap individu perlu memahami keupayaan diri dan meningkatkan cabaran senaman apabila prestasi semakin baik.

Iklan

"Secara umumnya, permulaan (senaman) dilakukan dengan perlahan dan konsisten, tingkatkannya secara berperingkat dan peningkatan mungkin selepas beberapa minggu (memulakan aktiviti)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden seperti risiko mati mengejut ketika melakukan aktiviti fizikal yang sering dilaporkan.

Dr Mohd Fikri berkata, sebelum melakukan sebarang aktiviti yang lebih berat, ia harus dimulakan dengan regangan dan senaman pemanasan badan yang ringan terlebih dahulu seperti berjalan.

"Berhenti serta-merta sekiranya rasa pening, rasa sakit dan kesan sebarang rasa tidak selesa pada diri anda.

"Bagi yang berpenyakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes pastikan ia terkawal dan dapatkan nasihat kesihatan sebelum memulakan sebarang aktiviti," katanya.

Dalam pada itu Dr Mohd Fikri turut menasihatkan orang ramai yang tidak pernah menjalani saringan kesihatan supaya berbuat demikian, terutamanya bagi yang berumur 40 tahun ke atas.

"Bagi mereka yang berisiko tinggi untuk penyakit kronik seperti yang alami obesiti, mempunyai sejarah penyakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes dalam keluarga, mereka tidak perlu tunggu umur 40 tahun untuk buat saringan awal," katanya.

Selain itu katanya, kriteria lain seperti pakaian yang bersesuaian dengan aktiviti senaman juga harus dititikberatkan.

"Banyak nasihat dan poster mengenai senaman ini boleh diperoleh melalui portal myHealth Kementerian Kesihatan dan untuk JKN Kedah, boleh juga hubungi Unit Promosi Kesihatan di talian 04-7741000 untuk maklumat lanjut," katanya.