PENYANYI popular Indonesia, Tulus teruja bakal kembali ke Kuala Lumpur menerusi sebuah konsert istimewa, Fabulous Friday presents Tulus yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 Januari depan.
Kehadiran penyanyi yang baru sahaja memenangi tujuh anugerah di Anugerah Muzik Indonesia 2022 (AMI2022) pada Oktober lalu itu pasti dinanti peminat setia di Malaysia yang turut teruja untuk mendengar lagu-lagu daripada album Manusia dibawakan secara langsung di Kuala Lumpur.
Tidak ketinggalan seleksi lagu hitsnya sebelum ini yang tentunya bakal menggamit nostalgia pada album-album terdahulu.
Tulus juga sudah tidak sabar untuk bertemu para peminat di Malaysia yang banyak memberikan sokongan kepada kerjayanya sebelum ini.
"Lama betul tidak bertemu dengan para peminat di Kuala Lumpur. Semoga rindu ini menghilang ketika kita bertemu di Dewan Plenari kelak. Kita bakal menyanyi bersama-sama,” ujarnya.
Shiraz Projects yang sebelum ini membawakan Tulus secara perdana di Kuala Lumpur melalui Konsert Tulus Live at Istana Budaya dan seterusnya Konsert Sewindu Tour Kuala Lumpur di Dewan Plenari sebelum ini sekali lagi menggalas tanggungjawab melunaskan kerinduan peminat menerusi konsert Fabulous Friday presents Tulus.
"Adalah menjadi tanggungjawab kami membawakan semula Tulus ke Kuala Lumpur. Kita sedia maklum bahawa Tulus akan muncul dengan lagu-lagu berkualitinya yang akan dibawakan bersama bandnya yang cukup kompak.
"Kehadiran Tulus, saya percaya bukan sahaja akan melunaskan kerinduan para peminat tegarnya tetapi juga kita dapat belajar tentang produksi dan karya yang baik daripada rakan seni seberang.
"Saya percaya bahawa hal-hal seperti ini wajar kita kongsi dan bawakan untuk dipersembahkan bukan sahaja sebagai hiburan tetapi pengalaman,” ujar Shiraz yang merupakan Pengarah Urusan Shiraz Projects.
Tiket Fabulous Friday presents Tulu situ dijual dengan harga RM250, RM350, RM450, RM550 dan RM950 (VIP). Pembelian boleh dibuat menerusi www.myticket.asia.