PERKONGSIAN Aidid Marcelo yang mengambil keputusan memberhentikan anak-anak daripada sekolah biasa untuk dihantar ke tahfiz mengundang sebak ramai.
Satu keputusan yang bukan mudah untuk dilakukan, namun itulah ketetapan yang dilakukan oleh personaliti televisyen terkenal itu.
Semestinya, mana-mana ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak.
Menerusi hantaran terbaharu Aidid di laman Instagram miliknya, beliau mengakui keputusan tersebut dilakukan demi memastikan semua zuriatnya belajar untuk mendalami al-Quran dan ilmu akhirat.
"Berpuluh kali fikir nak kongsikan atau tidak, tapi aku set nawaitu aku bukan untuk riak dan sombong, tapi sebab aku bangga dengan mereka dan gembira dengan panggilan ini.
"Bukan senang nak buat keputusan ini, daripada sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami usaha, sampai sekarang baru dapat, alhamdulillah. Terima kasih kepada @dilla_rayhanah & @ustazjohariabdulwahab kerana banyak sangat membantu kami berdua. Besar betul hikmah silaturrahim ALLAH atur untuk kita semua kenal," tulisnya menerusi kapsyen yang dimuat naik baru-baru ini.
Aidid turut mengakui isteri kesayangannya, Norzie Pak Wan Chek telah sehabis baik termasuk membuat kajian dan mencari maklumat yang terbaik buat anak-anak mereka.
"Beliau (Norzie) jenis yang firm, korek segala maklumat dalam segala apa jua untuk berikan yang terbaik untuk anak-anak. Namun kali ni, kami tidak tahu bagaimana boleh dapat kekuatan, dengan rela hati dan tenang memberhentikan anak-anak daripada sekolah rendah dan menengah untuk masukkan mereka ke akademi ini.
"Mudah betul proses, tidak sampai tiga hari semua proses berhenti dan kemasukan. Masya-ALLAH. Kita memang boleh rancang, tapi DIA yang tentukan. Kalau dulu saya gembira sebab sekolah anak-anak lima minit dari rumah, tetapi sekarang saya bertambah gembira walaupun hari-hari kena redah trafik hantar sejauh 25 kilometer," kongsi beliau lagi.
AYAH YANG MASIH JAHIL
Bapa kepada empat cahaya mata itu turut berkata, nawaitu beliau sebenarnya adalah sekadar untuk mengekspresikan rasa gembira sebagai ayah dan ibu.
"Saya juga ingin katakan, jangan sekali-kali kita sangsi dengan apa yang DIA akan berikan kepada kita. Saya masih jahil, tetapi saya tidak mahu anak-anak terlambat untuk mulakan.
"Tentang masa depan mereka, insya-Allah harapan kami, biarlah anak-anak menjadi sekalipun selepas ni, asalkan al-Quran sudah ada di dada," ungkap Aidid sambil meminta warga maya mendoakan sambil menyebut nama anak-anaknya, Muhammad Iman, Muhammad Yusuf dan Muhammad Ibrahim supaya mereka bertiga dapat menghafal al-Quran dengan lancar dan tenang.
Pada masa sama, Aidid turut memohon maaf sekiranya perkongsiannya seolah-olah ada unsur sombong atau riak.
"Saya hanya seorang ayah yang masih jahil, tetapi terlalu gembira nak kongsikan pilihan perjalanan untuk anak-anak yang tidak pernah kami fikir mampu kami lakukan.
"Semoga dengan perkongsian ni, ada juga kawan-kawan yang 50-50 atau sangsi tentang masa depan anak mereka, terus dapat keyakinan untuk daftarkan anak menghafaz al-Quran, insya-ALLAH." ujar Aidid lagi.
Sumber: aididmarcello
Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi