Pengarah Azhari Zain meninggal dunia

Iklan
azhari zain meninggal dunia

SETELAH sembilan bulan terlantar akibat diserang angin ahmar, pengarah filem, Azhari Mohd Zain, 50, meninggal dunia di kediamannya di Sunway Alam Suria, Shah Alam, sekitar 12.30 tengah malam tadi.

Berita tersebut disahkan isteri Allahyarham, Wahizatul Nureen Azmi sebagaimana dipetik daripada Berita Harian.

Iklan
Iklan

"Arwah berada di rumah, saya berada di sisinya melihat saat akhir sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,” ujarnya.

Nureen juga memohon orang ramai agar mendoakan segala urusan arwah dipermudahkan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Iklan

Penerbit filem yang juga Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG), David Teo, turut berkongsi berita sama, menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagramnya sebentar tadi.

"Berita duka untuk industri perfileman kita. Hilanglah permata yang bersinar. Selamat pergi ke dunia abadi sahabat perjuangan,” tulisnya yang juga merupakan bekas majikan Azhari.

Iklan

Allahyarham yang juga merupakan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) diserang angin ahmar pada Februari lalu, menerima rawatan lanjut di Hospital UiTM selama tiga bulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah untuk rawatan seterusnya.

Difahamkan kesihatan Allaharyaham menunjukkan perkembangan positif pada Julai baru-baru ini, namun kembali merosot sejak seminggu lalu.

Azahari yang memulakan kerjaya seni sekitar tahun 2004 itu pernah mengarahkan filem seperti Santau, 7 Petala Cinta, Hantu Dalam Botol Kicap, Mantra, Flat 3A, Zoo dan banyak lagi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Wahizatul Nureen Azmi dan tiga cahaya mata.

Difahamkan jenazah akan dimandi dan dikafan di Masjid Ar-Raudhah, Seksyen U10, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, Klang, pagi esok.