Liza Hanim teruja, kembali ke pentas AJL selepas 20 tahun
Iklan
liza hanim
SETELAH dua dekad tidak beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Liza Hanim teruja kembali tersenarai sebagai salah seorang finalis anugerah muzik berprestij tanah air yang akan berlangsung pada 12 Februari tahun hadapan.Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abd Halim, 43, menempah tiket menerusi lagu duet bersama Shila Amzah, Bahagiakan Dia, sebuah karya ciptaan Aliff Iskandar dan lirik oleh Que Afiq.Penyanyi bersuara gemersik itu meluahkan rasa syukur masih diterima ramai, biarpun perlu bersaing dengan artis generasi baharu."Alhamdulillah memang bersyukur sangat lagu ini berjaya dibawa ke AJL37, sekali gus membawanya ke satu tahap lebih tinggi lagi. Rezeki kami bersama."Dalam masa sama saya juga teruja kerana dapat kembali beraksi di pentas berprestij ini setelah kali terakhir layak pada tahun 2002 menerusi lagu Gelisah Mimpi."Ketika itu saya belum berkahwin dan kini selepas 20 tahun saya kembali. Perasaan teruja yang sukar untuk digambarkan,” ujarnya yang ditemui ketika acara Separuh Akhir Muzik Muzik baru-baru ini.Mengulas tentang kelebihan lagu Bahagiakan Dia, Liza menyifatkannya sebagai sebuah karya indah dengan gabungan unik antara penyanyi berpengalaman sepertinya bersama komposer generasi baharu."Pertama kali ketika mendengar lagu ini, saya dapat merasakan ia sebuah karya yang sangat indah dan terus terdetik kalaulah ia dapat dibawa ke AJL."Berduet pula dengan penyanyi seperti Shila yang saya percaya akan menjadikan lagu ciptaan Aliff Iskandar dan Que Afiq ini menjadi lebih menarik."Kerjasama ini sangat unik kerana ia menggabungkan orang lama dan baharu dalam satu karya. Satu gandingan yang sangat positif dan saya kira baik untuk industri,” kata ibu kepada lima anak itu lagi.