SEBUT sahaja perkataan 'diet', pasti ramai antara kita akan terbayangkan hanya memakan salad dan batang saderi tanpa nasi. Hakikatnya anda boleh menurunkan berat badan dengan cara selamat tanpa perlu mengelakkan sesetengah makanan. Pendek kata, anda boleh makan apa sahaja!
Berat badan berlebihan ialah apabila peratus lemak badan seseorang individu itu melebihi paras normal. Berat dikategorikan berlebihan apabila ia melepasi tahap ini iaitu 25 peratus bagi lelaki dan 35 peratus untuk wanita.
[caption id="attachment_99950" width="800"] Kredit foto: Pexels[/caption]
Obesiti turut memberi kesan kepada pergerakan dan ketahanan fizikal tubuh. Apabila tubuh ‘berat,’ pergerakan secara automatik menjadi perlahan, pernafasan juga semakin laju terutama ketika melibatkan aktiviti fizikal.
Ramai dalam kalangan mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan berusaha untuk menurunkannya dengan melakukan pelbagai cara. Mungkin ada yang mengamalkan cara berikut:
1. Ambil makanan 500 kalori sehari.
2. Amalkan puasa tanpa sahur.
3. Lompat tali (skipping) dan jogging setiap hari.
4. Mengelakkan pengambilan gula, hadkan atau tidak mengambil karbohidrat dan tidak mengambil makanan yang diproses.
5. Makan produk-produk tertentu yang dikatakan dapat menurunkan berat badan.
Awas, cara-cara diatas memang dapat menurunkan berat badan tetapi persoalannnya berapa lama anda sanggup untuk bertahan dengan gaya hidup sebegitu?
Mungkin cara yang diamalkan itu mampu menurunkan 10 kilogram (kg) berat dengan pantas namun ramai orang yang mengalami kenaikan semula selepas tidak dapat konsisten dengan amalan-amalan tersebut.
Justeru, amat penting untuk anda memilih kaedah menurunkan berat badan yang boleh diamalkan secara berpanjangan dan selesa. Barulah seronok! Cuba lakukan dengan cara ini.
TIP TURUN BERAT SIHAT, ELAK NAIK SEMULA
1. Ambil makanan seimbang dengan mengamalkan cara diet suku-suku-separuh (SSS).
2. Buat senaman yang anda suka. Rutin khusus yang dilakukan setiap hari sangat membantu menurunkan berat badan dengan lebih cepat.
3.Tidak perlu mengelak sebarang jenis makanan, cuma kurangkan makanan yang tidak berkhasiat mengikut kemampuan diri anda.
4. Elakkan membeli produk-produk yang kononnya membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan sebaliknya laburkan ia untuk mendapatkan ilmu atau bimbingan daripada mereka yang bertauliah.
Jika keempat-empat perkara ini diamal secara konsisten, ia mampu menurunkan berat badan anda sebanyak 10kg dalam tempoh tiga bulan dengan izin-NYA.
INFO TENTANG PENURUNAN BERAT BADAN
1- Saranan penurunan berat badan yang selamat adalah setengah kilogram hingga satu kilogram seminggu.
2- Penurunan berat badan melebihi satu kilogram seminggu tidak digalakkan.
3- Pengurangan pengambilan makanan dan peningkatan aktiviti fizikal menyebabkan sumber simpanan iaitu lemak badan akan digunakan untuk memenuhi keperluan tenaga.
4- Wanita disaran untuk mengehadkan pengambilan diet mereka kepada 1,500 kcal sehari manakala lelaki 2,000 kcal.
5- Tingkatkan aktiviti fizikal harian dan kurangkan sedikit pengambilan makanan supaya anda tidak terlalu lapar mahupun kepenatan.
Sumber: Taufiq Tajuddin, Myhealth.gov.my
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi