BUKAN sahaja jualan pokok hiasan viral dan set periuk yang lalu lalang dalam wall media sosial, terbaharu pinggan mangkuk bercorak pula memukau perhatian.
Dengan corak yang agak moden dengan rona cantik, set pinggan mangkuk ini dijual dengan harga yang agak murah. Padanlah menjadi antara carian paling tinggi untuk dijadikan sebagai bekas makanan raya.
Tidak kurang, ada yang sanggup beratur panjang demi mendapatkan set pinggan yang diinginkan walaupun ketika bulan puasa semata-mata tidak mahu ketinggalan.
Namun apa yang membimbangkan, adakah set pinggan mangkuk viral seumpama itu selamat digunakan?
Kebimbangan sama dikongsikan dalam Facebook Public Health Malaysia sedikit sebanyak membuka mata ramai pihak berikutan dikatakan tidak selamat kerana mengandungi plumbum.
Merujuk kenyataan itu, penggunaan pinggan mangkuk bercorak itu mungkin tidak selamat untuk kegunaan harian kerana mengandungi plumbum (bahan utama) dalam penghasilan produk seramik yang bercorak dan berwarna warni.
Pinggan mangkuk dengan corak berwarna warni dan terang memang cukup menarik. Namun berhati-hati, kerana ia mungkin tidak selamat untuk kegunaan harian!
Bahan yang mengandungi plumbum telah lama digunakan sebagai bahan utama dalam penghasilan produk seramik yang bercorak dan berwarna warni.
Antara ciri ciri pinggan mangkuk yang mungkin mengandungi plumbum adalah:
- Pinggan yang dibuat secara tradisional dengan tanah liat
- Pinggan dengan corak yang dilukis dan menarik
- Permukaan pinggan yang tidak rata, anda dapat rasa corak yang dilukis dengan tangan
- Pengilang yang tidak diketahui (bukan jenama yang diketahui)
- Pinggan dengan pelbagai bentuk
Artikel berkaitan: 5 juadah tradisi negeri Selangor patut dicuba, terpilih destinasi gastronomi Malaysia
Pinggan yang selamat adalah:
- Pinggan berwarna putih tanpa corak
- Corak pinggan di bawah atau luar pinggan
Sebaik baiknya, elakkan mengguna pinggan seperti ini, tetapi jika anda masih ingin menggunakannya:
- Elakkan meletakkan makanan panas
- Jangan panaskan atau masuk ke dalam ketuhar, microwave
- Jangan simpan makanan terlalu lama
- Jangan letak makanan berasid seperti tomato, limau, teh, kopi dan jus buah
- Elakkan basuh dengan sabun, menyental permukaan pinggan dengan dawai kerana ia akan merosakkan permukaan dan menyebabkan bahan plumbum lebih mudah bocor
- Jangan hidangkan untuk kanak-kanak dan warga hamil
Jadi bagaimana? Boleh sahaja mahu bergaya dengan set pinggan mangkuk baharu dan bercorak, cuma perlu bijak memilih demi keselamatan.
Bukan setakat wabak Covid-19 sahaja yang perlu kita awasi, penggunaan set pinggan mangkuk yang menjadi bekas juadah makanan harian pun perlu dititikberatkan.