PELAKON dan penyanyi, Diana Danielle mengakui merasa serba salah apabila cerita lama pernah dipukul bekas teman lelaki tular baru-baru ini.
Jelas Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, dia tidak menyangka isu penderaan fizikal yang dikongsikan dalam sebuah program di YouTube mendapat perhatian ramai.
"Saya bercakap mengenai kesihatan mental dan bagaimana cara meneruskan hidup. Sepanjang lebih satu jam berkongsi, tak sangka pula isu penderaan fizikal difokuskan.
"Bagaimanapun saya tidak berniat nak ungkit kisah lama apatah lagi mahu mencari gaduh dengan orang lain.
"Sebenarnya rasa serba salah selepas berkongsi mengenai isu tersebut kerana saya tak maksudkan sesiapa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Rizman Ruzaini RR Cruise 22/23 di RR Flagship Store di Shoppes at Four Season Place pada Selasa.
Tambah isteri kepada aktor dan pengarah Farid Kamil itu, isu penderaan bukan perkara baharu yang didedahkan kerana dia pernah berkongsi kisah tersebut sekitar 10 tahun lalu.
"Ramai yang menghantar mesej secara peribadi dan berterima kasih kerana ada perkara yang disentuh memberi semangat dan ruang bercerita mengenai pengalaman mereka, bukan hanya berkisar mengenai apa yang saya perkatakan.
"Farid juga memahami apa yang saya luahkan itu atas dasar kerja dan dia tenang sahaja," jelasnya.
Terdahulu, aktres kacukan Melayu-Inggeris itu mencuri perhatian ramai apabila secara terbuka berkongsi pengalamannya didera secara fizikal oleh bekas kekasih yang tidak didedahkan identitinya.
Menerusi perkongsian dalam program Studio Sembang bersama Amelia Henderson, dia memberitahu pernah dipukul sehingga mengalami bengkak pada bahagian leher.
Diana kemudiannya berkawan dengan Farid sebelum mendirikan rumah tangga pada 2012. Hasil perkongsian hidup selama sedekad, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Muhammad, 9, dan Nur Aurora, 7 tahun.