Lembaran baharu Hawa Rizwana

Iklan
HAWA RIZWANA

MESKIPUN baru setahun jagung dalam industri seni, namun nama Hawa Rizwana Ahmad Redzuan bukan lagi asing.

Sejak awal kemunculannya di kaca televisyen pada 2016, nama Hawa Rizwana pantas mendaki puncak populariti sebaik dikatakan mempunyai wajah seiras dengan pengacara popular, Noor Neelofa Mohd Noor.

Iklan
Iklan

Hal itu timbul sebaik kelibatnya kerap muncul membaca berita dan mengendalikan beberapa rancangan di saluran TV3 serta TV9.

Empunya diri yang senang disapa sebagai Hawa, 27, kemudian mengambil langkah berani dengan terjun ke bidang seni pula. Satu cabang yang penuh pancaroba.

Iklan

Bagaikan sudah tersurat, beliau dilamar sebagai pengacara kekal program hiburan popular, MeleTOP menggantikan Neelofa, bersama Nabil Ahmad.

Di sebalik limpahan populariti yang diterima, wanita berdarah keturunan Arab, Siam dan Aceh yang dilahirkan di Illinois, Amerika Syarikat itu mengakui tahun 2022 dilalui dengan penuh cabaran.

Iklan

Tidak mengeluh dengan ujian yang menimpa, Hawa percaya pada akhirnya ada pelangi yang muncul selepas hujan panas.

"Sebenarnya banyak kejutan dan dugaan yang datang pada tahun 2022. Saya pernah melalui zaman kejatuhan. Ramai orang tidak tahu dan ada masanya membuatkan saya menangis hampir setiap hari serta susah nak bangun dari katil.

"Pun demikian, saya percaya setiap dugaan yang berlaku pasti ada hikmahnya. Walaupun melalui ujian yang sangat berat, ALLAH hadiahkan dengan ganjaran yang sangat besar. Jadi, jika anda berada dalam situasi sama seperti saya, bersabarlah kerana ALLAH tidak akan menduga hamba-NYA begitu sahaja," ujarnya kepada SinarPlus ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Rizman Ruzaini RR Cruise 22/23 di RR Flagship Store Shoppes at Four Season Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.

[caption id="attachment_102616" width="800"] Walaupun semakin dikenali ramai, Hawa masih mengekalkan sikap mesra dan mudah didekati oleh sesiapa sahaja.[/caption]

Tidak mahu mengenang semula apa yang telah berlaku, graduan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) itu berdoa agar tahun 2023 akan dilalui dengan lebih tenang.

"Saya juga harap dapat menjadi individu yang lebih matang, bijak membuat keputusan dan apa sahaja yang saya lakukan akan membahagiakan orang sekeliling terutamanya keluarga serta rakan-rakan.

"Sebagai individu yang dikenali oleh masyarakat, saya sedar apa juga yang dilakukan akan menjadi perhatian dan jika saya silap, ia akan memberi kesan kepada keluarga," ujarnya.

Berlakon

Berkongsi perancangan untuk tahun ini, Hawa berkata, ada beberapa projek yang bakal menyusul sedikit masa lagi. Namun, butirannya masih belum dapat dikongsikan dengan umum.

Apa yang pasti, Hawa mengakui bersedia untuk mencuba beberapa perkara baharu termasuk menjadi seorang pelakon.

"Saya ada banyak hobi seperti memasak, berbasikal dan menari. Saya suka mencuba pelbagai benda. Begitu juga dengan kerja. Kalau boleh saya mahu menjadi personaliti serba boleh, bukan hanya sebagai pengacara tetapi lebih daripada itu.

"Sejujurnya memang ada tawaran berlakon sejak saya jadi penyampai berita lagi. Cuma ketika itu saya rasa tak sesuai untuk saya menerimanya tetapi kini saya berani katakan saya terbuka untuk mencuba," tuturnya.

Tidak mahu tamak dan terburu-buru, bekas pengacara Wanita Hari Ini itu mahu menimba lebih banyak pengalaman bagi merealisasikan impian beliau.

"Bila saya masuk dunia hiburan, saya sedar banyak lagi hal yang saya kena belajar. Saya gembira buat semua benda termasuk sebagai pengacara program hiburan.

"Cuma sekarang saya nak fokus cari kekuatan dan perbaiki kelemahan serta elakkan perkara yang tidak perlu seperti kontroversi," katanya yang tidak menolak untuk mengendalikan program seperti game show sekiranya beliau diberikan peluang.