Sanggup bergadai emas demi si bulus, kisah wanita ini sentuh hati pencinta haiwan

Iklan
kucing si bulus

KALAU sudah sayang, apa sahaja akan sanggup dilakukan. Demikian sifat terpuji Nor Atikah Mohd Saharuddin yang bukan sahaja sanggup menyelamatkan, malah berbesar hati menjaga 30 ekor kucing jalanan yang ditemuinya.

Kepada yang mungkin tidak tahu, biasanya kucing terbiar memiliki banyak penyakit. Antaranya seperti kurap, jangkitan virus dan buta.

Iklan
Iklan

Apabila ditanya adakah beliau tidak takut berdepan dengan situasi sebegitu, Nor Atikah hanya tergelak kecil.

Ujar wanita itu, disebabkan hatinya cepat tersentuh dan sebak melihat apa jenis haiwan yang sakit atau dibiarkan tanpa pengawasan, beliau tiada masalah menghadap isu sedemikian.

Iklan

"Dengan jiwa yang terbuka, saya akan bawa ‘mereka‘ pulang dan beri rawatan yang sewajarnya sampailah sihat kembali. Bermula daripada seekor, dua, hari demi hari jumlah anak bulus bertambah.

Iklan

"Susah untuk saya ceritakan bagaimana gembiranya saya apabila melihat kucing yang dulunya sengsara, kini semakin aktif dan ceria bermain. Bila ‘budak-budak‘ ini sihat, saya bahagia," katanya.

Baca juga DIY cat feeder untuk kucing jalanan. Boleh praktikkan jika nak balik kampung. Modalnya, guna botol mineral jer. Mudah & praktikal!

Melanjutkan bicara, Nor Atikah yang menetap di Felda Keratong 8, Muadzam Shah, Pahang berkata, daripada jumlah kucing yang banyak, Bibiq dan Mimi merupakan sahabat baik beliau sehingga saat ini.

Bagaikan seorang manusia, kedua-dua haiwan yang comel dan manja itu sangat memahami dirinya.

"Bibiq sudah dibela sejak bayi lagi. Masa itu saya sedang hamil anak sulung. Bila sudah bersalin, Bibiqlah yang sentiasa mendampingi anak saya seolah-olah mahu menjaganya.

"Paling lucu, si Bibiq akan tidur dan ikut mandi sekali. Memang nampak ‘dia‘ sayang betul dengan anak saya. Bibiq pun sudah jadi kawan baik anak," tuturnya.

Baca juga 4 destinasi tarikan si bulus, pengunjung siap boleh sumbang dana untuk keperluan kucing memerlukan

Tidak seperti Bibiq, Mimi menempuh satu perjalanan yang sedikit sukar. Si bulus itu menanggung penyakit yang amat memeritkan.

Beritahu Nor Atikah, selepas mendapatkan pemeriksaan rapi, penemannya itu disahkan dijangkiti kuman pada rahim. Kondisi berkenaan dalam dunia veterinar dikenali sebagai Pyometra.

"Pada awalnya, saya sangkakan Mimi bunting sebab perutnya besar, tetapi rupa-rupanya ‘dia‘ menanggung sakit yang teruk sehingga terpaksa dibedah.

Baca juga Banglo ‘kayangan’ khas untuk kucing tersayang. Diperbuat daripada kayu palet bikin si bulus selesa

"Ketika itu, memang saya tak cukup duit. Namun, tanpa fikir panjang, saya ambil keputusan nekad dengan menggadaikan cincin emas demi menanggung kos pembedahan Mimi," katanya yang bersyukur si bulus itu semakin sihat selepas menjalani prosedur yang disyorkan doktor.

Orang kata, kalau kita berbaik dengan makhluk, walau haiwan sekalipun, golongan itu pandai membalas jasa.

Nor Atikah mengakui hakikat berkenaan. Akui beliau, kesemua kucing kampung yang dibelanya telah bertindak menjadi pengawal keselamatan di rumah.

Baca juga Wanita jumpa kucing kesayangan selepas 10 tahun hilang. Ini tip untuk cari si bulus kalau ‘MIA’

Pernah beberapa kali, sekawan ular cuba masuk ke dalam kawasan kediamannya. Pun begitu, ia berjaya dipatahkan oleh kucing-kucingnya yang membuat benteng menghalang binatang berbisa tersebut.

"Kejadian itu sudah hampir 10 kali terjadi. Kami akan dapat isyarat jika ada ular apabila semua kucing tiba-tiba berkumpul dan berbuat bising.

"Alhamdulillah, kalau tak, tak tahu macam mana nasib kami di rumah ini," ujar ibu kepada seorang anak tunggal itu yang menempatkan semua kucing-kucingnya di sebuah ‘istana khas‘ di luar rumahnya.

Pernah terputus bekalan

Semestinya memelihara kucing dalam jumlah yang banyak memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Tidak kiralah dari segi penjagaan makanan dan minuman, tempat tinggal, kesihatan mahupun pemberian vaksin mengikut sela masa tertentu.

Hanya berstatus suri rumah tangga, sementara suaminya berkerja sebagai pekerja kilang, keadaan itu adakalanya membuatkan si bulus kesayangan terputus bekalan makanan.

Disebabkan kekangan wang, kadangkala jikalau ada kucingnya yang sakit, rawatan terpaksa dilewatkan.

Tidak perlu dimaklumkan oleh Nor Atikah, ramai sedia maklum bahawa kos makanan dan rawatan haiwan ada masanya jauh lebih mahal daripada manusia.

Jika keadaan terlalu mendesak, wanita yang berusia 33 tahun itu hanya menyediakan nasi putih digaul dengan ikan bilis tumbuk sebagai makanan. Nasib baiklah kucing-kucingnya bukan jenis yang memilih makanan.

"Dalam sebulan, sebenarnya saya peruntukkan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk ‘mereka‘," katanya.

Sebagai langkah alternatif, Nor Atikah memberitahu, beliau pernah memuat naik konten di laman TikTok untuk memohon bantuan orang ramai menyumbangkan makanan, pasir dan ubat.

"Alhamdulillah, ada yang tampil tolong. Memang macam tak logik, tapi saya selalu bercakap dengan kucing-kucing saya supaya doakan rezeki kami agar dapat menjaga 'mereka' dengan baik," katanya.

Kepada anda yang ingin sama membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 101619009949 atas nama Nor Atikah Mohd Saharuddin.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi