PELAKON Puteri Sarah nekad memfailkan permohonan cerai terhadap suami, pengarah Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin.
Mahkamah menetapkan 7 Mac depan sebagai hari sebutan kes bagi permohonan cerai berkenaan.
Pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, itu mengakui lega apabila proses permohonan tersebut berjalan lancar.
"Alhamdulillah syukur, segalanya sudah selesai difailkan. Saya sangat lega kerana satu beban sudah pun dilepaskan,” ujarnya.
Biarpun tarikh sebutan kes yang ditetapkan mahkamah itu kebetulan jatuh sehari sebelum hari ulang tahun perkahwinan mereka yang kesembilan, pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu berkata, dia tidak lagi mempunyai apa-apa rasa dengan tarikh tersebut.
"Kalau ikutkan, tahun ini sudah cukup sembilan tahun usia perkahwinan kami. Sebenarnya, tarikh 7 Mac yang mahkamah berikan untuk sebutan kes memang cukup significant kerana 8 Mac itu adalah hari ulang tahun perkahwinan kami. Ia memang satu kebetulan.
”Alhamdulillah, cukuplah sembilan tahun saya menjadi isteri kepada Muhammad Syamsul. Nampaknya sudah tiada rezeki lagi perhubungan kami.
"Saya tak rasa apa-apa dah (tarikh ulang tahun perkahwinan). Kita mulakan pada 8 Mac dan kita akhirkan juga 8 Mac,” tegasnya.
Buat yang terbaik
Menurut Sarah, segalanya sudah dilakukan untuk mempertahankan rumah tangganya dan kini akur dengan ketentuan takdir yang menyaksikan jodohnya bersama suami hanya selama sembilan tahun .
"Saya dah buat yang terbaik untuk mempertahankan perkahwinan ini, tapi nampaknya jodoh hanya sampai di sini saja.
"Saya mahu pergi umrah pada 26 Januari ini dengan tenang dan fokus pada ibadah. Saya tidak mahu lagi fikirkan masalah yang tak selesai atau tak terjawab.
"Sekarang ini semua sudah terjawab. Bila balik umrah nanti saya mahu mulakan hidup baharu dengan anak-anak,” katanya yang sentiasa kekuatan daripada keluarga dan anak-anak.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul mendedahkan sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand.
Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.