Bangkit daripada kegagalan, bekas pekerja bank & jurusolek kini miliki empayar kosmetik sendiri, HAUS Cosmetics
KERUGIAN jutaan ringgit suatu ketika dahulu tidak membantutkan perjuangan usahanita, Eiyma Jalil untuk meneruskan langkahnya dalam bidang tersebut.
Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
Kata Eyma, kegagalan tersebut menjadi 'guru' untuk mengajar beliau lebih berhati-hati.
Hal berkisar jatuh bangun juga menjadi titik tolak kepada kejayaannya kini.
"Ketika itu, saya bersama suami membuka kilang kosmetik hasil duit simpanan sekitar tahun 2016. Masa itu cita-cita besar dan melangit kerana kilang berkenaan menjanjikan formula halal tahap antarabangsa.
"Pun begitu, malang tidak berbau. Kilang tersebut kerugian RM2 juta pada tahun kedua operasi. Semuanya gara-gara kesilapan teknikal bancuhan bahan digunakan dalam produk kosmetik yang tidak memenuhi piawaian pelanggan," kongsi Eiyma lagi sambil menganggap peristiwa tersebut sebagai pengajaran yang cukup berharga padanya.
SELAMAT, BERKESAN DAN HALAL
Tinggalkan momen pahit berkenaan, pemilik nama penuh Norazimah Jalil berkata, kini beliau berjaya memiliki tiga kilang kosmetik sendiri dan jenama produk kecantikan, HAUS Cosmetics.
Tambah pemilik syarikat GIM Cosmetic Industries Sdn Bhd tersebut lagi, istilah putus asa memang tiada dalam kamus hidupnya.
"Saya berusaha bangkit kembali dan mencari idea baharu bagi menaikkan kembali bisnes. Alhamdulillah, ALLAH tunjukkan jalan. Hasil bantuan suami, staf dan ejen, kami bertungkus lumus menaikkan kembali jenama ini.
"Tahun 2020, saya memberanikan diri membuat live di media sosial. Biarpun tidak memiliki wajah yang menarik, saya optimis mengajar masyarakat dan pengguna mengenai bahan, teknologi dan cara cari produk selamat.
"Penat dan kecewa, siang malam buat live tiada orang ‘view’. Pun begitu, berkat tidak putus asa dan terus konsisten, akhirnya membuahkan hasil,” luah bekas pekerja bank dan juga jurusolek itu yang menganggap rezeki Tuhan tidak pernah salah alamat.
Ketika diwawancara, kami tanyakan idea di sebalik nama HAUS itu.
Ujar usahanita tersebut, HAUS berasal daripada perkataan Jerman yang bermaksud rumah.
"Saya yakin setiap rumah pasti akan ada produk HAUS yang berkualiti tinggi dan halal. Selain itu, rumah HAUS juga akan mencipta suasana rumah yang memiliki kecantikan dalaman dan luaran yang luar biasa.
"Konsep promosi brand HAUS adalah mengetengahkan teknologi terkini oleh saintis terkenal. Sementelah HAUS mempunyai kilang dan pasukan penyelidikan dan pembangunan sendiri.
"Selain itu HAUS menjanjikan produk yang berkualiti tinggi, selamat, berkesan dan halal kepada pengguna," ungkapnya sambil memberitahu, HAUS dicipta khas buat pengguna Asia Tenggara hasil kerjasama dengan Mibelle Biochemistry dari Switzerland.
Baca lagi 'Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata
KELUARGA SEDERHANA
Kami terus bersembang dan bersembang. Ujar Eiyma, nikmat terindah dalam hidupnya mula dikecapi pada tahun 2021.
Biarpun ketika itu, negara dilanda pandemik COVID-19, produk keluaran syarikatnya iaitu bedak Magicpink Compact terjual sebanyak 100,000 unit.
Malah, penghasilan produk baharu, suplemen Beaubright juga berjaya dicetuskan dengan kolaboratif saintis dari Switzerland yang juga pengasas Mibelle Biochemistrry, Dr Fred Zullie.
"Lebih manis lagi, satu persatu pengiktirafan saya peroleh, termasuklah Anugerah Superbrand dan Nona Superwoman Award," ungkapnya dengan nada penuh kesyukuran.
Mengimbas kembali zaman silamnya, anak sulung daripada empat beradik itu mengakui, dirinya datang daripada keluarga serba sederhana.
"Sehingga kini, apabila teringat kembali waktu kecil, hati saya berbisik rindu terutama sekali zaman kanak-kanak dan remaja.
"Kalau nak diikutkan, saya bukannya datang daripada keluarga senang. Dahulu saya pernah belajar di sekolah agama. Lagak saya dulu macam ustazah, jangan main-main," ujar Eiyma sambil ketawa kelucuan.
Berbicara lagi tentang zaman persekolahannya, anak kelahiran Pahang itu rupa-rupanya pernah melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional di Bangi, Selangor dalam bidang Teknologi Maklumat.
"Tamat pengajian, saya diterima bekerja di sebuah bank. Tahun 2018 saya berkahwin dengan suami Azizi Mohd. Saya juga sempat sambung pengajian ijazah Sarjana di UiTM, Shah Alam pada 2019 dalam bidang yang sama.
"Masa itu, saya bekerja bank sambil belajar selain jadi jurusolek artis,” kata Eiyma lagi.
KEPERCAYAAN & HORMAT PENTING
Ditebak persoalan bagaimana beliau bekerja bersama suami di bawah satu bumbung? Tidakkah berlaku perselisihan pendapat? Ini jawapan jujur empunya diri.
"Sebenarnya saya dan suami mempunyai kekuatan yang berbeza dan kami amalkan prinsip untuk tidak masuk campur dalam bidang masing-masing-masing. Sebagai contoh suami saya pakar dalam jenama dan rekaan, manakala saya pula bahagian jualan.
"Jadi, kami perlu hormat apa-apa keputusan setiap jabatan. Malah, suami sentiasa bagi ruang pada saya untuk bawa syarikat ke peringkat yang lebih baik," ujar Eiyma sambil berkata, kepercayaan dan hormat itu sangat penting buat dirinya.
Pun demikian, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui adakalanya berlaku juga ketidaksefahaman dalam sesuatu perkara.
"Bohonglah kalau cakap tak pernah berlaku sedemikian. Pernah juga sampai terbawa-bawa ke rumah. Pun begitu, suami selalu akan ingatkan di pejabat kita perlu profesional.
"Pulang ke rumah, walau setinggi mana pun jawatan, saya kena hormat beliau sebagai ketua keluarga. Malah, suami juga banyak mengalah. Suami percaya, dalam satu-satu kapal tidak boleh ada dua nakhoda yang mengemudi. Jadi, untuk keputusan terakhir, ditentukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat," ungkap Eiyma lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi