SELEPAS mencipta magis di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun lalu, penyanyi Marsha Milan mengakui berdepan kepercayaan tinggi diletakkan peminat kepadanya.
Biarpun sudah lebih 15 tahun aktif sebagai anak seni, perhatian yang diterimanya sesudah acara berprestij itu begitu luar biasa dan berbeza berbanding keberadaannya sebelum ini.
Ungkap pemilik nama sebenar Marsha Milan Londoh, situasi itu membuatkan beliau terasa seperti baru sahaja menjejak kaki dalam industri, sedangkan hakikat adalah sebaliknya.
"Jika dikenang kembali, kejayaan manis pada AJL tahun lalu itu begitu bermakna buat saya. Ia benar-benar mengubah persepsi orang terhadap kerjaya nyanyian saya sebelum ini.
"Sebelum ini tiada perhatian sebegitu dan paling penting apa yang diperoleh itu disebabkan usaha yang saya pamerkan dan bukan sebaliknya,” ujarnya kepada SinarPlus.
Pun begitu, bintang yang bakatnya dicungkil daripada program realiti TV, Akademi Fantasia musim ketiga itu berkata, situasi tersebut dalam masa sama turut memberi tekanan apabila peminat terus meletakkan harapan tinggi kepada beliau.
Sebaik sahaja namanya sekali lagi tersenarai sebagai finalis AJL37 yang bakal berlangsung pada 12 Februari ini menerusi lagi Kembali Terang, ramai yang menuntut beliau mengulang kejayaan sama.
Pada edisi tahun lalu, Marsha dinobatkan sebagai Naib Juara dan pemenang kategori Persembahan Terbaik yang diraih menerusi lagu Cinta.
"Saya akui ramai meletakkan jangkaan tinggi disebabkan kejayaan tahun lalu. Mereka mahu melihat persembahan sama seperti itu atau lebih lagi.
"Situasi tersebut sedikit sebanyak memberi tekanan sehingga setiap kali bangun tidur, saya pasti akan fikirkan tentang hal itu. Sedangkan pada tahun lalu, saya relaks sahaja dan hanya menumpukan pada aspek kesihatan,” jelasnya yang baru sembuh daripada jangkitan Covid-19 ketika itu.
Persiapan
Sungguhpun begitu wanita 38 tahun ini menghargai sokongan dan semangat yang diberikan peminat serta rakan-rakan seangkatan dalan industri kepadanya.
Bakal berdepan saingan cukup sengit pada tahun ini, Marsha gigih membuat persiapan sebaiknya agar tidak mengecewakan mereka yang berharap, selain dirinya sendiri.
Katanya, apa yang merisaukan lagu Kembali Terang mempunyai ciri sama dengan lagu Cinta dari segi keperluan dan ketepatan vokal, malah ada not yang ternyata lebih tinggi kali ini.
"Saya cuba jaga kesihatan dan buat persediaan sebaiknya, termasuk berulang-alik jumpa guru vokal bagi memastikan persembahan itu nanti berjalan lancar.
"Saya juga belajar untuk sentiasa reda dan tawakal sahaja. Pengalaman lalu banyak mengajar dan saya bersyukur dengan apa sahaja rezeki yang diberikan,” tuturnya.
Ditanya adakah beliau akan terus mengekalkan genre lagu balada bernada tinggi yang begitu sinonim dengan diri, Marsha yang menimba ilmu vokal dengan Cikgu Shafi itu ada pendapatnya sendiri.
Kata beliau, perkara itu bergantung kepada masa dan keadaan, selain tahap kesihatan diri.
"Selalunya bila seorang penyanyi dikenali dengan lagu-lagu bernada tinggi, orang akan minta lagi dan lagi. Namun hakikat yang perlu diakui, pada satu peringkat umur kita tidak dapat lagi mengekalkan nyanyian dengan tahap vokal sama.
"Bila umur makin meningkat, saya mungkin tidak dapat menyampaikan nyanyian seperti mana sekarang. Jadi mungkin perlu pelbagaikan genre agar lebih sesuai dengan keadaan vokal semasa,” katanya.
Jaga suara
Berkongsi petua menjaga suara, Marsha mengakui tidak mempunyai amalan khusus dalam soal itu. Beliau cuma mengelakkan daripada mengambil air terlalu sejuk bagi mengelakkan kehilangan suara.
"Setiap penyanyi ada cara tersendiri untuk menjaga suara, terutamanya mereka yang kerap menyanyikan lagu nada tinggi. Ada di antaranya yang mengamalkan pengambilan honey lemon atau air asam jawa tetapi saya pula alah dengan minuman itu.
"Tiada petua khusus, cuma saya banyak minum air zam zam, selain air mineral tertentu untuk pastikan suara sentiasa okey,” katanya.
Berkongsi perkembangan terkini, Marsha bakal tampil dengan single baharu tidak lama lagi. Berbeza dengan karya sebelum ini, selebriti asal Sabah itu memilih untuk membuat kelainan dan disifatkan satu kejutan buat peminat.
"Karya kali ini lain daripada apa yang selalu orang dengar daripada saya. Mungkin ini masa terbaik untuk saya cuba benda baharu dan letakkan kepelbagaian warna pada vokal.
"Dulu tak nampak platform sesuai, sekarang peluang itu ada dan saya mahu cuba,” katanya mengakhiri perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.