ADA Apa Dengan Melly? Ada karya dan aura luar biasa yang mampu mengikat pendengar muzik tanpa syarat.
Begitulah keistimewaan pemilik nama sebenar Meliana Cessy Goeslaw, penyanyi dan komposer tersohor kelahiran Indonesia yang turut membuktikan perkara itu dalam konsert Ada Apa Dengan Melly? Live In Kuala Lumpur pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Selama tiga jam, penonton terbuai dengan dendangan koleksi lagu-lagu Melly yang begitu menggamit nostalgia. Malah hampir 30 buah lagu yang dipilih pada persembahan tersebut adalah lagu-lagu popular yang sememangnya begitu dekat dengan pendengar dan peminatnya di Malaysia.
Bukan hanya nyanyian asal daripada Melly, tetapi juga karya ciptaannya yang pernah dipopularkan penyanyi lain, antaranya seperti Datuk Rossa, Bunga Citra Lestari, Agnes Monica dan Kris Dayanti.
Gamat seluruh Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre apabila nyanyian Melly tidak putus diiringi suara latar 2,800 penonton yang benar-benar terhibur dan menghayati persembahannya.
Konsert tersebut tidak hanya dihadiri peminat setia, tetapi juga barisan selebriti dari Indonesia yang sanggup terbang ke Malaysia semata-mata memberikan sokongan kepada Melly termasuk Rossa, Mayang Sari, Raffi Ahmad, Yuni Shara dan lain-lain.
Karya popular
Persembahan yang bermula tepat jam 9 malam itu menyaksikan Melly menyanyikan lagu Ingin Mencintai dan Dicintai, Tentang Dia, Pujaanku, Bimbang, Suara Hati Seorang Kekasih, Pencinta Wanita, Berdua Lebih Baik, Ketika Cinta Bertasbih dan Ayat-Ayat Cinta.
"Selamat datang di Sekolah Muzik Melly Goeslaw. Saya berdoa semoga apa yang saya katakan dalam persembahan ini boleh difahami kerana bahasa kita sedikit berbeza.
"Namun tidak mengapa kerana bagi saya seni itu adalah sesuatu yang tidak mengenal apa pun. Sama seperti anda mendengar muzik dari Korea yang bahasanya tidak difahami, tetapi masih mampu menikmatinya dengan baik,” ujarnya.
[caption id="attachment_106094" width="800"] Aksi Rossa yang mencuri tumpuan ketika hadir menyaksikan konsert dan Melly.[/caption]
Penyanyi berusia 49 tahun itu semakin menghangatkan suasana pada segmen seterusnya menerusi lagu Menghitung Hari, Tegar, I’m, Sorry Goodbye. Jera. Gantung, Jika, Cinta, Denting, My Heart dan Cinta Sejati.
Nyanyiannya diselang-selikan dengan cerita berkenaan lagu tersebut, termasuk pendedahan tentang kisah cinta sahabatnya baiknya, Rossa yang banyak dijadikan inspirasinya dalam menulis lagu.
Tribute P.Ramlee
Pada segmen ini juga, Melly turut melakukan persembahan tribute untuk seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee menerusi lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Bunyi Gitar.
Mengakui sangat meminati P. Ramlee, penyanyi yang digelar The Queen of Sountracks itu sentiasa mengikuti karya-karya Allahyarham yang disifatkan sebagai genius dan merentas zaman.
[caption id="attachment_106092" width="800"] Segmen tribute Melly buat P.Ramlee undang sebak.[/caption]
"Ketika pertama kali menjejakkan kaki ke sini, apa yang saya cari adalah senimannya (P.Ramlee).
"Saya sangat menghormatinya kerana bagi saya beliau adalah magmar kesenian Malaysia. Tanpanya, tiada idea seni pada hari ini. Jadi saya ingin anda generasi muda hari ini, semua tahu siapa P.Ramlee,” katanya yang turut sebak ketika mengalunkan lagu seniman itu.
Melly sememangnya bijak mengatur kata dan menarik perhatian ramai untuk mendengar apa yang diperkatakan. Meski bicaranya dalam nada lucu, ada mesej dibawa bersama seperti bait lirik tulisannya dalam lagu yang sering mempunyai pengertian mendalam dan mengusik hati yang mendengar.
[caption id="attachment_106097" width="800"] Raja Permaisuri Agong, sambil disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, ketika berkongsi ungkapan lirik untuk Melly jadikan lagu secara spontan di pentas.[/caption]
Pada segmen ketiga, Melly menyampaikan lagu Tentang Seseorang, Ada Apa Dengan Cinta, Ratusan Purnama dan Salah sebelum menutup persembahan dengan seleksi lagu rancak yang terdiri daripada Bagaikan Langit, Ku Bahagia, Tak Tahan Lagi, Lets Dance dan Hanya Memuji.
Tiga jam yang tidak terasa, persembahan Melly yang turut diiringi suami, Anto Hoed selaku pengarah muzik dan pemain keyboard itu benar-benar memberi energi dan kepuasan luar biasa buat penonton.
Lebih indah apabila mereka yang hadir ke konsert dinamakan ‘Sekolah Muzik Melly Goeslaw itu mengikuti tema ditetapkan iaitu dengan mengenakan pakaian sekolah.
[caption id="attachment_106093" width="800"] Rata-rata penonton hadir mengenakan baju sekolah, sekali gus memenuhi tema konsert.[/caption]
Bukan sahaja peminat, tetapi tetamu kenamaan dan selebriti yang hadir juga sporting melakukan hal sama dengan berbaju sekolah dalam pelbagai gaya.
Antaranya adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Amy Search, Fazura, Fattah Amin, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Puteri Aishah, Izara Aishah dan lain-lain.
Menarik tentang Melly juga, pastinya tentang fesyen unik yang sentiasa sinonim dengan dirinya. Selain karya, hal yang satu ini turut membezakan dirinya dengan yang lain, sekali gus menjadikan Melly Goeslaw itu istimewa.
(FOTO: ICON ENTERTAINMENT)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.