BERLARI menuruni bangunan asrama setinggi lima tingkat dalam keadaan sehelai sepinggang, demikian pengalaman yang dikongsi Zahirul Amin Mohamad, 21, pelajar tahun dua pengajian Sejarah Islam, Universiti Gaziantep, Turkiye saat gempa bumi membadai negara itu.
Mengimbau detik sebelum gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter baru-baru ini, Zahirul ketika kejadian sedang menonton televisyen.
Mengakui masih trauma walaupun berlaku gegaran kecil, mahasiswa itu yang kini berada di bawah jagaan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara menceritakan kejadian cemas yang dilaluinya.
"Kami sering mengalami gegaran kecil di sini (Gaziantep), sekali sekala. Jadi, saya tidak ambil kisah pada mulanya. Tapi pada Isnin, selepas beberapa gegaran kecil, ia berlainan sekali. Kami betul-betul bergoncang (gegaran yang sangat kuat).
"Pada mulanya, saya tidak tahu apa perlu dilakukan. Asrama saya di tingkat lima dan bila saya lihat rakan di aras sama berlari turun. Saya pun ikut berbuat demikian.
Sebelum gegaran susulan, Zahirul berkata dia dan rakan lain termasuk seorang lagi pelajar Malaysia Wan Isyraf Wan Haziq, 19, yang baru empat bulan mengikuti pengajian Bahasa Turki di universiti sama, telah pulang ke bilik masing-masing untuk mendapatkan barangan keperluan.
Menurutnya, walaupun bangunan asrama didiaminya tidak terjejas, namun gempa bumi itu telah mengakibatkan berlakunya retakan dan menyebabkannya tidak selamat untuk diduduki.
Dalam keadaan bencana, anak muda Malaysia itu tinggal di masjid berhampiran pada hari pertama sebelum ia bertukar menjadi sesak.
[caption id="attachment_106153" width="800"] Kredit foto: raillynews[/caption]
"Pada hari kedua, kami dapat maklumat universiti juga menyediakan penginapan, jadi kami kembali ke sana," katanya.
Kedua-dua pelajar Malaysia itu kemudiannya telah dihubungi oleh Kedutaan Besar Malaysia di sana.
"Kami amat berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh Kedutaan Malaysia dan Indonesia di sini,” katanya sambil menambah fokus utama adalah untuk meninggalkan Gaziantep dan pergi ke tempat lebih selamat.
Menurut Zahirul, hari pertama gempa sehingga ke hari ini, gegaran demi gegaran dirasai mereka di sana. Jika diberi pilihan oleh pihak universiti, beliau ingin mengikuti pelajaran secara ‘online.’
"Malah sehingga sekarang, gegaran masih dirasai di Gaziantep setiap tiga jam. Pada hari pertama kami dapat rasai gegaran setiap jam.
Gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di tenggara Turkiye, kira-kira 78 kilometer dari Gaziantep dikatakan gempa paling kuat melanda wilayah itu dalam tempoh lebih 100 tahun dan setakat ini telah mengorbankan 10,000 orang di Turkiye dan Syria.
Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal berkata pihak kedutaan sedia membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi itu. Moga dipermudah urusan rakyat Malaysia di sana dan keadaan baik-baik sahaja.
Sumber: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.