HAMPIR 10 tahun mencipta nama sebagai anak seni, ternyata nama Yura Yunita tidak lagi asing buat peminat muzik di Indonesia dan Malaysia.
Terkenal melalui lagu-lagu ciptaannya yang cukup puitis, setiap karya bekas peserta pertandingan realiti, The Voice ini juga bagaikan magis yang mampu menjadi penyembuh jiwa buat pendengar.
Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Khamis, ternyata menjadi momen penting buat penerima anugerah Artis Solo Wanita Pop Terbaik pada Anugerah Anugerah Musik Indonesia 2022 ini.
Menurut Yura tempoh dua tahun menyimpan impian untuk beraksi secara langsung di hadapan peminat di Malaysia membuatkan dia berasa cukup dengan peluang yang diberikan itu.
"Menjadi impian terbesar saya untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Jadi ini adalah antara impian yang direalisasikan, saya sangat bersyukur dengan komitmen yang diberikan semua pihak dalam menjayakan konsert ini.
"Paling indah, Kuala Lumpur juga merupakan lokasi pertama konsert sebelum ke lokasi lain.
”Semoga dengan penghargaan kecil ini dapat melunaskan hutang saya kepada peminat di sini yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya teruja.
Berkongsi rasa
Menjadikan curahan jiwa sebagai bekal dalam karyanya, penyanyi berusia 31 tahun ini juga memberitahu konsert tersebut menjadi pentas terbaik buat dirinya berkongsi apa yang dilaluinya bukan sahaja sebagai seorang anak seni tetapi seorang wanita dan juga isteri.
"Sejak album pertama sehingga Merakit dan kini, Tutur Batin, ada banyak perkara yang ingin saya kongsikan bersama peminat menerusi karya.
"Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur menjadi pentas saya dan peminat berkongsi rasa dan meraikan kehidupan yang penuh berliku, tetapi tidak pernah patah semangat untuk sentiasa berjuang.
"Soalnya setiap daripada kita mempunyai dugaan berbeza, sama seperti saya. Cumanya saya diberi kelebihan untuk berkongsinya melalui lagu-lagu ciptaan saya yang saya persembahkan kepada peminat saya di Malaysia,” katanya yang mendendangkan 20 buah lagu.
Hargai sokongan peminat
Merupakan rakan duet mendiang Glenn Fredly untuk lagu, Cinta Dan Rahasia, Yura yang juga penerima anugerah Pencipta Lagu Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2017 (AMI 2017) dan menjadi Penyanyi Solo Wanita Terbaik (AMI 2018) mendendangkan lagu-lagu terbaiknya pada konsert tersebut termasuk Tutur Batin dan Dunia Tipu-Tipu.
"Dua tahun saya menantikan saat ini, jadi saya memberikan yang terbaik buat penonton di konsert ini. Terima kasih kepada peminat yang hadir memberikan sokongan.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak penaja Wardah yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menghiburkan peminat di sini,” katanya.
[caption id="attachment_106201" width="800"] Yura hargai sokongan peminat yang hadir menyaksikan persembahan pertamanya di Kuala Lumpur.[/caption]
Sementara itu Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati membawa Yura ke Malaysia bagi memnuhi permintaan peminat penyanyi ini yang mahukan Yura mengadakan persembahan di sini.
"Lagu Yura mempunyai aura yang kuat dan selalu berbicara mengenai semangat dan inspirasi dalam kehidupan.
"Karyanya banyak menyentuh mengenai kelebihan dan kekurangan manusia sehingga mengajak kita agar kuat percayakan diri dan memberi inspirasi kepada ramai orang,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.