EJEN Ali terus melebarkan pengaruhnya apabila turut mencipta fenomena di negara jiran, Indonesia.
Berikutan kejayaan Ejen Ali Musim 1 & 2 menerusi Rajawali Televisi (RTV), filem yang dinanti-nantikan Ejen Ali The Movie pula bakal disiarkan di saluran percuma itu, selain turut ditayangkan secara serentak di platform Video On Demand (VOD).
Primeworks Studios dan WAU Animation mengumumkan tayangan filem animasi Malaysia yang mengungguli carta filem pecah panggung itu di Indonesia pada 18 Februari lalu.
RTV merupakan rangkaian TV terbesar di Indonesia yang mempunyai liputan 90% daripada populasi di sana. Ia akan disiarkan serentak di platform lain termasuk penstriman dalam talian dan media digital lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, kerjasama antarabangsa itu dapat dicapai menerusi perjanjian pengedaran bersama RTV, saluran televisyen saluran televisyen percuma nasional di Indonesia.
"Ejen Ali The Movie sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat siri televisyen animasi terutamanya setelah mencapai kejayaan besar serta menjadi fenomena pada tahun 2019. Filem ini mendapat sambutan yang positif daripada pengkritik dan penonton.
"Ramai yang memuji gabungan unik aksi, komedi dan jalan cerita yang memberi inspirasi. Malah kejayaan itu membuktikan penceritaan hebat yang dihasilkan oleh WAU Animation dan bagaimana filem ini dapat memikat hati penonton dari semua lapisan masyarakat.
"Kehadiran RTV Indonesia sebagai rakan saluran televisyen percuma ini memberi peluang besar untuk membawa kandungan animasi Malaysia kepada RTV dan membawa Ejen Ali lebih dekat dengan pasaran Indonesia serta mendapat rangkaian peminat baharu di saluran tersebut,” katanya.
Inspirasi
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin, berbesar hati apabila naskhah tersebut turut mendapat tempat di Indonesia.
"Ini adalah satu penanda aras yang baik buat filem animasi ini kerana disiarkan secara percuma buat pertama kalinya di Indonesia.
"Kami berharap Ejen Ali akan terus menjadi 'ejen' kegemaran penonton dan karya tersebut dapat memberi inspirasi kepada penonton. Kami tidak sabar untuk melihat bagaimana ia berinteraksi dengan penonton,” katanya.
Berkongsi keterujaan sama, Ketua Pegawai Eksekutif RTV, Artine S. Utomo berkaya, pihaknya komited menyampaikan kandungan berkualiti tinggi untuk penonton.
"Sejak Januari, RTV sentiasa berusaha mempamerkan siri TV Ejen Ali sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membawa cerita yang lebih inovatif dan menghiburkan penonton.
"Kami berharap penonton akan terus menyokong dan mengikuti platform sosial sambil kami berusaha untuk membawa lebih banyak kandungan berkualiti dari rantau Asia Tenggara,” ujarnya.
Meraih 2 juta penonton setiap minggu di TV3 yang merupakan saluran percuma terbesar di Malaysia dengan lebih 3.7 juta pelanggan di YouTube setakat ini, Ejen Ali menjadi salah satu jenama animasi yang paling pesat berkembang di Asia.
Siri animasi yang disiarkan di Malaysia sejak 2016 ini telah memasuki pasaran lebih 50 negara, termasuk di rangkaian serantau Netflix, Disney+ Hotstar, Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV di Indonesia dan TV AlMajeed di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Filem itu juga telah mencatatkan kejayaan besar apabila berjaya meraih RM30 juta serta merupakan satu-satunya filem animasi pecah panggung pada 2019 termasuk platform VOD di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, sekali gus menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di Malaysia setakat ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.