MEMASUKI tahun ke-15 penglibatannya dalam dalam industri seni tanah air, Stacy mahu terus berkongsi inspirasi dalam karya muzik yang dihasilkan.
Terbaru, Stacy yang mula menempa nama dalam industri selepas bergelar juara program Akademi Fantasia musim keenam tampil dengan single berjudul Teriak, sebuah karya ciptaannya sendiri menerusi nama pena Bunga Cantik, bersama Hang Nadim atau Akim Ahmad yang juga suaminya.
Kali ini pemilik nama penuh Ummu Syaikhah Stacy Anam, memilih untuk mengetengahkan mesej berkaitan masalah kesihatan mental yang diharapkan dapat memberi sesuatu kepada pendengar dan masyarakat.
"Lagu ini menceritakan perkara yang pernah dilalui ramai orang iaitu berkaitan masalah kesihatan mental dan ia sebenarnya mengenai pengalaman saya sendiri yang pernah mengalami masalah depresi dan tekanan mental.
"Ketika itu saya tidak terlalu mengambil berat emosi saya, sedangkan ia sangat penting dan memberi impak besar dalam kehidupan. Saya rasa ramai orang mengalami masalah sama seperti itu,” ujarnya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai karya tersebut, bintang berusia 33 tahun yang cukup dikenali dengan lagu-lagu berirama rancak itu berkata, berbeza dengan kebanyakan single terdahulu, Teriak menampilkan genre rock yang memberikan cabaran tersendiri kepadanya.
Malah, lirik lagu bertemakan masalah kesihatan mental itu ditulis selepas mendengar melodinya terlebih dahulu.
"Saya berasakan melodi ini memerlukan lirik yang betul-betul kuat. Disebabkan lagu ini dinyanyikan sendiri, saya mahukan lirik yang lebih daripada biasa. Jadi ia mengambil masa agak lama untuk dihasilkan.
"Dari segi genre muzik pula, ia lebih terarah ke genre rock. Agak mencabar buat saya kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu seperti ini dan ia memerlukan usaha yang banyak untuk dapatkan hasil terbaik.
"Apa-apa pun, saya berterima kasih suami, Akim kerana banyak membantu saya. Tanpa adanya bantuan daripada dia, mungkin lagu ini tidak akan menjadi,” katanya.
Konsert solo
Menurut Stacy, istimewa buat peminat, lagu tersebut bakal dipersembahkan
secara eksklusif pada konsert solonya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 25 Februari ini.
"Untuk konsert di DFP nanti, saya akan menyanyikan lagu ini istimewa buat peminat dan penonton yang hadir. Jadi saya sekarang banyak tumpukan perhatian untuk mempersembahkan lagu ini secara langsung dengan baik.
"Saya harap orang ramai dapat faham apa isi sebenar yang ingin disampaikan dalam single terbaharu ini. Oleh sebab pernah mengalami masalah sedemikian, saya yakin mampu berikan penjiwaan sepenuhnya ketika menyampaikan lagu ini,” katanya yang mengharapkan agar segala perancangan untuk konsert tersebut berjalan lancar.
[caption id="attachment_107190" width="800"] Stacy kongsi cerita sendiri dalam single Teriak.[/caption]
Single Teriak terbitan bersama Nova Music dan Rhythm & Rhyme Entertainment itu kini boleh distrim di semula perkhidmatan striming muzik digital bermula 17 Februari lalu. Sementara video liriknya pula di saluran YouTube Nova Music Videos.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.