PELAKON Fasha Sandha berdepan detik cemas apabila terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital pakar di Johor Bahru akibat mengalami kecederaan pada mata kirinya ketika menjalani penggambaran drama berjudul Anak Tuan, pada Rabu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak pengurusan Fasha, insiden tersebut berlaku ketika pelakon itu terjatuh sebelum mata serta kepalanya terhentak pada bucu katil yang tajam.
"Fasha sedang rehat secukupnya. Dia mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika berlakon di set pengambaran Anak Tuan (TV3) pada 1 Mac (pagi semalam). Mata dan kepalanya terhentak di bucu katil yang tajam.
"Tulang mata kiri patah dan bebola mata kirinya berdarah serta bengkak. Fasha kini sedang dirawat di hospital pakar di Johor Bahru,” katanya di akaun Instagram Fasha.
Tambahnya, aktress 39 tahun itu dijangka akan mendapatkan rawatan lanjut di hospital pakar di Kuala Lumpur pada hari ini atau esok pagi.
"Memohon jasa baik peminat dan keluarga untuk mendoakan kesihatan Fasha. Seperti yang ramai tahu Fasha seorang yang kuat semangat dan komited dalam kerjayanya. Saya yakin dia kuat,” katanya.
Dalam hantaran sama, turut dikongsi petikan video drama arahan Along Kamaludin itu yang menyaksikan Fasha bersama Azhan Rani menjayakan salah satu babak tegang di mana aktor tersebut menarik rambut Fasha dari tangga dan menolaknya sebelum terjatuh di bucu katil.
Bagaimanapun Fasha yang juga isteri kepada Aidil Aziz itu tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menyifatkan insiden tersebut sebagai kemalangan yang tidak dijangka.
"Pihak produksi telah memohon maaf pada Fasha dan keluarganya. Kata Fasha, tidak ada sesiapa yang harus dipersalahkan kerana kemalangan ini terjadi di luar jangkaan kita,” ujarnya.
(FOTO: INSTAGRAM FASHA SANDHA)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.