PENANTIAN empat tahun pelakon dan usahawan popular, Rozita Che Wan atau Che Ta untuk mendiamani rumah banglo mewah hasil titik peluhnya sendiri yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, kini berakhir apabila hasrat tersebut sudahpun terlaksana.
Lebih manis ia menjadi kenyataan pada saat usianya menginjak 50 tahun yang baru sahaja diraikan pada 9 Mac lalu.
Rozita atau lebih mesra disapa dengan panggilan Che Ta sebelum ini mengakui berdepan pelbagai masalah dalam menyiapkan banglo tersebut termasuk kontraktor pembinaan menghilangkan diri selepas dia melabur jutaan ringgit.
"Tak dapat saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini. Tambah pula dapat masuk rumah baharu. Bukan sekecil anak jumlah saya laburkan untuk rumah ini.
"Kena tipu dengan beberapa kontraktor pembinaan lagi. Kemudian kita diuji dengan pandemik Covid-19, jadi proses pengubahsuaian rumah itu pun tertangguh.
"Namun saya bersyukur kini semuanya berakhir. Nak pula, Ramadan dan Syawal bakal disambut umat Islam tak lama lagi. Dapat masuk rumah baharu ini, kira hadiah paling terindah buat saya,” ujarnya.
Muliakan orang tua
Rumah banglo yang bernilai hampir 10 juta itu tidak hanya didiami Che Ta bersama suami, Zain Saidin dan tiga anaknya, tetapi seperti dilaporkan media sebelum ini, pelakon drama Kiah Pekasam itu turut mengajak ibu dan ibu mentuanya tinggal bersama.
"Zain sendiri terkejut dan tak sangka saya nekad mengajak ibunya tinggal bersama. Tak ketinggalan teman rapat saya pun ada yang berperasaan sama.
"Lagipun mak mentua saya tinggal seorang diri selepas cucunya yang juga anak Sasha Saidin berpindah ke luar negara. Jadi saya fikir tak salah ajak dia duduk sekali di rumah baharu.
"Keadaan kesihatannya kebelakangan ini pun tak bagus selepas menjalani pembedahan. Setidak-tidaknya ada yang melihat dan membantunya apabila tinggal sekali,” jelas Che Ta.
[caption id="attachment_108665" width="800"] Che Ta bahagia bersama suami dan anak-anak.[/caption]
Pengasas bersama empayar perniagaan Inai Che Ta itu berkata, Zain pada awalnya ragu dengan keputusan terbabit kerana bimbang jika ibunya menjadi beban.
Bagaimanapun Che Ta yang sentiasa memuliakan orang tua itu mempunyai pandangan dan pendiriannya yang tersendiri.
"Saya tak pernah berfikir begitu (beban) terhadap sesiapapun yang berada di bawah tanggungan ini. Saya percaya kadang-kadang Allah beri rezeki kita melalui orang lain.
"Dia (ibu mentua) pun tak cerewet dan mudah diurus. Di usianya 76 tahun, dia makan apa saja yang dihidangkan, malah enggan menyusahkan saya termasuk pembantu rumah.
"Selama ini, masa tinggal dengan cucunya (anak Sasha Saidin), dia memang sangat kuat dan kental. Dialah yang memandu kereta menghantar cucu ke sekolah dan membeli barangan harian. Namun selepas terjatuh dan pinggulnya retak hingga terpaksa jalani pembedahan, kesihatannya mula terganggu dan dia sedikit lemah,” katanya.
Umrah
Che Ta juga mengakui ibunya seorang yang terbuka dan menyambut baik usaha mengajak ibu mentua tinggal bersama mereka.
"Cuma lucunya, apabila ibu dan ibu mentua bersembang masing-masing macam ayam dan itik. Seorang cakap Melayu, seorang lagi berbahasa Inggeris. Saya pun terhibur melihat gelagat mereka,” kongsinya.
Dalam pada itu, saban tahun menyambut ulang tahun kelahiran, wanita kelahiran Kedah ini tidak ketinggalan menganjurkan majlis.
Sempena genap usia 50 tahun, Che Ta menganjurkan majlis santai bertemakan menuju ke syurga yang dihadiri keluarga, teman akrab dan pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat di sebuah premis terkemuka di ibu kota.
"Tak ada apa lagi yang saya nak kejar. Selagi kuat, insya-Allah saya akan berusaha sehabis baik menjadi isteri, ibu dan anak yang baik. Saya takkan putus membahagiakan mereka yang disayangi.
"Jadi wanita ini kena rajin dan bercita-cita tinggi. Saya pun kena ada keutamaan kepada diri sendiri. Saya kena sedikit berkira untuk diri sendiri, jangan penyegan dan terlalu berserah.
"Cuma kawan akrab bimbang saya kuat bekerja dan tak ada masa berehat. Saya pun bukan makin muda dan bergetah. Jadi kenalah jaga kesihatan di usia emas ini,” katanya.
[caption id="attachment_108666" width="800"] Che Ta rai hari jadi ke-50 bersama kekuarga dan rakan-rakan terdekat.[/caption]
Mengenai kejutan hadiah hari lahir mengerjakan umrah tajaan teman niaganya, Anas Zahrin, Che Ta belum dapat memberikan kata putus tentang tarikh untuk berangkat ke Tanah Suci Makkah.
"Awalnya, saya bercadang nak menunaikan umrah sewaktu sambutan ulang tahun kelahiran tahun ini. Namun tak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.
"Mungkin masa terbaik kalau diizinkan, saya nak ajak suami bersama ke sana pada 10 terakhir Ramadan. Harap niat itu dipermudahkan,” katanya yang turut terbabit mengacarakan program masakan, Rasa tak lama lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.