MEMANG havoc dan riuh-rendah! Demikian rumusan keseluruhan program Sambutan Ulang Tahun SinarPlus kali ke-3 Live Your Life di District 21, IOI City Mall, Putrajaya yang berlangsung pada 1 Mac lalu.
Bersama lebih 120 pembaca setia terpilih dan diserikan dengan kehadiran penyanyi, Syada Amzah dan influencer TikTok terkenal, Nisha Haque, kehangatan taman tema yang berkonsepkan taman pengembaraan itu sudah bermula seawal pukul 9 pagi.
Turut hadir ialah Penolong Pengurus Besar, IOI City Mall, Wilfred Wong; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli; Ketua Pemasaran & Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin dan Editor Eksekutif Gaya Hidup & Hiburan, Meen Tahrin.
Sebelum acara bermula, Wilfred dalam ucapannya berkata, pemilihan District 21 sebagai lokasi Sambutan Ulang Tahun SinarPlus ke-3 sangat bertepatan dan sesuai dengan tagline SinarPlus iaitu Dominasi Gaya Hidup.
"Pihak kami berbesar hati apabila District 21 menjadi pilihan SinarPlus untuk berkolaboratif. Inilah masanya untuk kita melakukan aktiviti bersama memandangkan sebelum ini kita dibelenggu dengan wabak Covid-19," katanya.
Ujar Wilfred, District 21 merupakan platform terbaik kepada mereka yang gemarkan aktiviti lasak, tetapi tidak suka berjemur tengah panas.
"Secara keseluruhan, terdapat enam jenis permainan di sini iaitu Free Fall, Power Station, The Maze, Tubby Ride, Shoot the Ball dan Launch Pad.
"Menariknya di District 21, pengunjung boleh keluar masuk pada bila-bila masa. Sebagai contoh, mereka yang ingin keluar makan sebentar dan kembali semula untuk menyambung permainan tanpa dikenakan sebarang bayaran tambahan," ujar beliau.
Sementara itu, Zamri berkata, kehadiran SinarPlus sebagai sisipan khas yang memaparkan konten gaya hidup dalam akhbar Sinar Ahad bertepatan dengan kehendak pembaca dan selari dengan misi serta visi akhbar ini.
Baca juga SinarPlus dijenamakan semula, fokus kepada trend gaya hidup wanita
"SinarPlus sebenarnya merupakan idea daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Farah Hussamuddin dan sepanjang tiga tahun SinarPlus bersiaran, sidang redaksi bertungkus-lumus mengetengahkan pelbagai kandungan yang menarik.
"Bukan sahaja boleh didapati dalam versi media cetak setiap hari Ahad, cabaran digital pada masa kini mendorong SinarPlus mewujudkan laman web sendiri agar kesemua segmen gaya hidup dihimpunkan di situ dan mempunyai audiens yang lebih spesifik," katanya.
Dalam pada itu, Syada yang merupakan adik Shila Amzah memuji pendekatan SinarPlus dalam mendekati para pembaca.
"Penganjuran sebegini dapat merapatkan silaturahim di antara akhbar ini dengan pembacanya. Tak perlu lagi majlis yang terlalu formal," katanya yang hadir ditemani rakan-rakan terdekatnya.
Baca juga SinarPlus anjur peraduan ‘Live Your Life’ sempena ulang tahun ke-3, tawar hadiah menarik
Bagi influencer Nisha, beliau berpendapat dalam mengeratkan ukhuwah, program melibatkan aktiviti lasak satu pendekatan yang efisien dalam mendekatkan diri dengan pembaca.
Lonjakan adrenalin
Seperti yang dijanjikan, tepat pukul 10.30 pagi acara dimulakan dengan aktiviti regangan badan.
Peserta dibahagikan kepada 11 kumpulan. Mematuhi kehendak penganjur yang wajib menamakan grup sempena nama kasut, maka wujudlah nama-nama seperti Zara, Kasut Made In Gombak, Bata, Asadi, Swan, Puma, Kiki Lala, Converse, XES dan Asics.
Berdasarkan peraturan, mereka perlu melengkapkan enam permainan iaitu The Maze, Tubby Ride, Stack The Cube, Free Fall, Balancing Board dan Shooting Ball.
Kesemuanya memang menguji stamina, mental dan fizikal. Paling mencuri tumpuan pastinya Free Fall (ala bungy jumping) yang akan membuatkan adrenalin setiap peserta melonjak.
Meskipun hanya jatuh menegak pada paras yang tidak terlalu tinggi, gelagat mereka sangat mencuit hati.
Stack The Cube, Tubby Ride dan The Maze pula memerlukan kerjasama dan kesepakatan erat daripada setiap ahli dalam kumpulan.
Shooting Ball menuntut mereka memberi sepenuh fokus memasukkan bola ke dalam gegelung bola keranjang, begitu juga dengan permainan Balancing Board.
Semua peserta menunjukkan kesungguhan untuk menang, namun setiap acara berlangsung dalam suasana girang dan dipenuhi dengan gelak tawa.
Selepas hampir dua jam bertarung, akhirnya kumpulan Zara diumumkan sebagai pemenang dengan menewaskan grup Kasut Made In Gombak yang hanya selisih empat mata.
Baca juga 30 pemenang bertuah dicari! Sertai ‘Live Your Life’ bersama SinarPlus
Tempat ketiga pula diraih kumpulan yang paling riuh-rendah, tetapi sporting iaitu Bata.
Kesemua pemenang meraih hadiah daripada penaja, Kayman Beauty dan OPPO.
Kepada yang tidak berjaya, mereka tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya menerima hadiah khas daripada Kayman Beauty dan pihak SinarPlus.
Selain District 21, IOI City Mall Putrajaya dan Kayman Beauty, jutaan terima kasih diucapkan kepada penaja lain seperti BubblesO2 dan The Chicken Rice Shop yang menaja minuman dan makanan sempena Sambutan Ulang Tahun SinarPlus Ke-3, Live Your Life.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada Perdana Kuala Lumpur City Centre yang menaja penginapan dua hari satu malam buat peserta paling aktif, Nurliyana Mohd Salih yang menghantar foto dan video terbanyak sempena program tersebut.
Apa yang kami dapat katakan, penganjuran program sulung bertemu pembaca setia SinarPlus di lapangan memberi aura yang berbeza dan mendatangkan lebih banyak ilham untuk memberikan yang lebih terbaik.
Ia juga secara tidak langsung menyuntik semangat kami untuk terus menyalurkan informasi terkini dan bermanfaat kepada masyarakat. Insya-ALLAH, jumpa lagi tahun depan. - MAZLINA ABDUL MAJID, ARZIANA MOHMAD AZAMAN dan ZAITON ABDUL MANAF
#ApaKataMereka?
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang penuh inspirasi.